Sajian Nyiru A La Bendang Pendeta Coffee House INTEKMA

Menikmati hidangan makan tengah hari ala kampung yang disajikan di dalam nyiru tentunya memberi kelainan buat pelanggan kerana ia menggamit suasana menjamah hidangan di desa.

[Gambar: Blog AyueIdris]

Dijamah pula di hotel yang menawarkan harga seperti kedai biasa bermula RM30 untuk dua orang, set A La Bendang Pendeta menu perlu dicuba jika anda berada di Shah Alam.

Menu makan tengah hari ini disediakan Pendeta Coffee House, INTEKMA Resort & Convention Centre sejak 29 Februari lalu yang dihidangkan cukup padat di dalam nyiru atau dulang anyaman.

Serendah RM30, dua pelanggan akan memperoleh nasi putih berserta lauk-pauk terdiri daripada ayam kampung, aneka ulaman, tauhu goreng, telur masin, ikan pekasam, sup kosong, keropok ikan, sambal belacan dan sambal bendang disertai air limau kasturi.

Bagi yang kurang menggemari ayam kampung, ada dua pilihan lain iaitu ikan siakap dan kambing bakar yang turut ditawarkan untuk set dua orang pada harga masing-masing RM40 dan RM45.

Cef Eksekutif INTEKMA Resort & Convention Centre Rosman Hussin berkata, pemilihan tiga lauk itu dibuat bagi memenuhi citarasa pelanggan yang berbeza selain menyesuaikan hidangan berkonsepkan ala kampung di dalam nyiru.

Menurutnya, berbanding ayam biasa, ayam kampung lebih menarik dan sukar didapati. Pelanggan boleh memilih sama ada mahu ia digoreng berempah atau berlada.

“Bagi ikan siakap, kami sediakannya dalam dua pilihan masakan iaitu tiga rasa atau goreng tepung.

“Sementara kambing bakar pula, ia diperap dengan rempah khusus dan disediakan bersama sos lada hitam. Kami bakar di perkarangan restoran pada waktu tengah hari yang boleh dilihat pelanggan,” katanya.

Mencuba sendiri set ini, ternyata bahagiannya sangat besar terutama lauk-pauk yang begitu banyak dan sukar dihabiskan dua orang.

Ayam kampung yang disediakan membabitkan satu perempat bahagian ayam, ikan siakap pula disediakan seekor pada saiz sederhana besar manakala kambing bakar sangat mengenyangkan dan berbaloi melebihi harga dibayar.


Antara yang menarik dalam set A La Bendang Pendeta ialah ikan pekasamnya yang cukup enak.

Difahamkan ia didatangkan khusus dari Kedah untuk melengkapkan hidangan istimewa itu.

Kata Cef Rosman, bagi mereka yang datang bertiga, pihaknya turut menyediakan set untuk tiga pelanggan pada harga RM45 untuk set ayam kampung, RM55 set ikan siakap dan RM60 set kambing bakar.

“Sasaran kami golongan bekerja pada hari biasa dan keluarga pada hujung minggu serta hari cuti. Bagi kami, harga RM30 untuk set ayam kampung buat dua pelanggan sangat munasabah.

“Kami tidak menyediakan set ini untuk seorang makan, namun jika individu itu mampu menghabiskan set RM30 seorang diri, tiada masalah.

“Mungkin dalam empat pelanggan yang datang bersama, hanya dua mahu cuba set ini. Jadi dua lagi mungkin boleh cuba pakej bufet kami yang disediakan setiap hari pada harga RM42 seorang untuk menikmati lebih 80 pilihan makanan termasuk menu ‘signature’ iaitu sup ekor dan sup tulang,” katanya.

Set A La Bendang Pendeta disediakan setiap hari bermula jam 12 tengah hari hingga 4 petang.

Selain set A La Bendang Pendeta, pada masa sama ABC (Air Batu Campur) Kelapa turut disediakan pada harga 50 sen sebagai pencuci mulut juga boleh dikongsi dua orang.

Sumber: myMetro