Sayuran Segar Hasilan Urban Farming

Tiada kawasan tanah yang luas kini bukan lagi alasan untuk anda tidak menanam sendiri sayur-sayuran dan ulam-ulaman.

Selain boleh mendapatkan bekalan segar, organik dan bebas racun, jika kena gayanya menanam sayuran juga boleh mewujudkan landskap menarik di persekitaran rumah.

Menggunakan idea kreatif dan menjimatkan, taman hijau mampu menghiasi ruang kecil di tepi rumah dengan landskap sayur-sayuran unik dan tersendiri.

Ini dibuktikan Noor Harmauzailatulisa Md Yusuff, 33, yang bijak menggunakan konsep kebun bandar (urban farming) di tanah kawasan rumah berkembar seluas 90 meter persegi untuk menanam pelbagai sayuran.

Lanskap tanaman sayurannya tersusun dan terletak dengan cantik dan kemas, secara tidak langsung mengundang jiran bertandang untuk berkongsi rahsia dan menikmati kesegaran sayuran yang diberikan secara percuma.

Lebih istimewa, Pembantu Penguasa Kastam Bahagian Perkhidmatan Teknik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) cawangan Pahang itu hanya menggunakan bahan kitar semula seperti kayu palet, botol terpakai dan plastik untuk dijadikan bekas penanaman sayur dan ulaman.

Katanya, dia memilih tanaman jangka pendek seperti jagung, sawi, terung, tomato, cili, petola, timun, daun kesum, kucai, bendi, bayam, kacang panjang, kangkung, kobis, pegaga dan kailan untuk dinikmati ahli keluarganya.

“Ada juga mencadangkan sayur itu dijual tapi buat masa ini saya lebih suka menjadikannya hidangan keluarga selain diberikan kepada jiran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mutiara Height, Sungai Karang Darat, Kuantan, baru-baru ini.

Menurutnya, dia mendapat idea menghasilkan kebun sayur berkonsepkan taman itu kerana minatnya melakukan dekorasi sama seperti menghias rumah supaya kelihatan cantik serta sedap mata memandang.


“Saya minat bercucuk tanam sejak kecil lagi dan sebelum ini lebih fokus kepada pokok bunga sehingga disindir suami supaya menanam tanaman yang boleh dimakan.

“Saya gunakan idea berbeza dengan menggunakan barang terpakai seperti botol sabun pencuci pakaian untuk menampakkan kesungguhan dan mencari kelainanan bagi mengindahkan kebun ‘kitar semula’ ini,” katanya yang berasal dari Tumpat, Kelantan.

Noor Harmauzailatulisa berkata, dia memperuntukkan waktu ‘membelek’ dan menyiram tanamannya selepas solat Subuh setiap hari.

“Kebiasannya, siraman dilakukan seawal jam 6.30 pagi sebelum saya menghantar anak ke sekolah dan ke pejabat di Indera Mahkota.

Siraman dilakukan sekali lagi di sebelah petang selain memeriksa tanaman untuk memastikan tiada serangga perosak atau pokok bermasalah antara jam 5 petang sehingga 7 malam,” kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Dia hanya menggunakan baja dan tanah sesuai untuk bercucuk tanam dan ketelitiannya itu membolehkan sayuran ditanamnya hidup segar dan ‘montok’.

Menurutnya, dia menggunakan campuran bawang putih, minyak masak, cili api, sabun basuh dan air yang dikisar halus sebelum ditapis untuk menghasilkan racun organik yang disembur pada tanamannya untuk menghindari serangan makhluk perosak dan gangguan penyakit.

“Dari segi penggunaan tanah, saya gabungkan tanah organik, tanah hitam, tanah baja sawit dan sabut kelapa serta serta bancuhan air baja AB,” katanya yang mengusahakan kebun bandarnya itu sejak lima bulan lalu.

Dulu peguam, kini pekebun Sepiah Abdullah, 44, mendapat idea bercucuk tanam di kawasan rumahnya selepas berhenti kerja sebagai peguam, beberapa tahun lalu.

“Saya memang minat berkebun. Apabila ada masa terluang, saya jadikan kawasan di sekeliling rumah untuk menanam pelbagai jenis sayuran dan herba untuk kegunaan sendiri, manakala anak pokok pula dijual.


“Saya tak pernah menganggap status sebagai wanita menghalang saya berkebun. Saya nekad melakukan sendiri kerana puas hati dan seronok menjaga kebun sendiri serta melihat pokok ditanam membesar depan mata.

“Setiap hari, saya akan memantau tanaman. Kerja ini juga membuatkan badan makin sihat kerana menjaga tanaman pun seolah-olah senaman,” katanya yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa.

Menurutnya, antara ulam-ulaman yang ditanamnya ialah sambung nyawa batik, belalai gajah, selasih hijau, tenggek burung, pokok cecumar, beluntas, bebuas, pegaga, ulam raja, cekur hijau, pokok tujuh duri, pokok mata itik, kemangi dan pudina.

“Selain itu, bunga telang, pokok mungal, daun rerama, pokok tin, terung, serai, kunyit, cili serta pelbagai sayur-sayuran lain.

“Saya manfaatkan kawasan depan dan belakang rumah untuk bercucuk tanam. Kebanyakannya saya tanam di dalam pasu untuk menjimatkan ruang,” katanya yang memiliki kediaman dua tingkat di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Sepiah memperuntukkan masa dua jam setiap hari untuk melihat tanaman selepas menghantar anak-anaknya ke sekolah pada waktu pagi.

“Ia mudah untuk diuruskan jika kita minat pertanian selain untuk menjimatkan kos sara hidup yang makin meningkat,” katanya.

Sumber: myMetro