Rumit dan memerlukan ketelitian membuatkan penghasilannya sangat jarang, jika ada pun sesuatu yang sangat eksklusif dan premium.

Berkecimpung dalam penghasilan beg tangan tekat sejak tahun 2014 lagi, Raja Nazhatul Shima mendapat idea mengasaskan jenama Nazha Exclusive ketika mengunjungi kawasan pembuatan tekat tradisional di Sayong, Kuala Kangsar.

Ketika itu beliau mendapati kebanyakan pengusaha tidak mendapat permintaan yang menggalakkan kerana masyarakat tidak lagi berminat untuk mengkomersialkan seni tersebut.

“Saya berasa simpati memikirkan keadaan itu sedangkan mereka begitu berbakat menghasilkan seni tekat dan sanggup meneruskan legasi tersebut walaupun tiada permintaan.

“Dahulu, nenda saya seorang pembuat tekat. Saya mula terfikir mengapa tidak saya meneruskan legasi itu dan cuba mempromosikan kepada pasaran tempatan, malah jika ada peluang membawanya hingga ke peringkat antarabangsa supaya seni tekat dikenali di seluruh dunia.

“Keluarga saya kebanyakannya mempunyai darah seni. Agak sayang jika tidak menggunakan kemahiran dan kepakaran ini untuk dikomersialkan di samping menjaga warisan kita yang hampir ditelan zaman ini,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran koleksi Nazha Exclusive disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, di Kuala Lumpur.

Bercerita tentang cara pembuatannya, proses tekat bermula dengan mempulur, iaitu kertas keras yang dipotong mengikut motif atau corak yang diingini. Kemudian mempulur dijahit dengan sulaman benang emas atau benang perak di atas kain baldu.

Raja Nazhatul Shima berkata, ketelitian dan kesabaran tinggi dalam menyiapkan sesuatu hasil tekat mengambil masa yang lama.

Sebab itu, kebanyakan pelanggan pasti memahami jika harga beg tekat ini mahal kerana sedia maklum bahawa ia adalah hasil kraf tangan premium dengan kos penghasilan agak tinggi.

Mengenai Nazha Exclusive, beliau berkata, setiap rekaan adalah eksklusif kerana direka sendiri dengan menggunakan fabrik baldu hitam dan merah hati, selain mempunyai 13 motif signatur yang diinspirasikan daripada flora dan rama-rama.

Setiap rekaan juga dinamakan dengan nama bunga tempatan. seperti Ros, Dahlia, Anggerik, Melati, Cempaka Tanjung, Kenanga dan Melur.

Sebagai permulaan, Nazha Exclusive memasarkan rekaan tekat pada beg tangan dan beg bimbit dengan harga bermula RM1,999 sehingga RM2,699.

Beliau juga mempunyai perancangan untuk membuat rekaan barangan rumah seperti bingkai gambar, kotak serbaguna, kotak pensel, dan pelbagai lagi yang bermotifkan tekat.

Mengakui, rekaan seni tekat sangat sensitif dan memerlukan penjagaan yang rapi, Raja Nazhatul Shima, memberikan tip penjagaan, seperti tidak memegangnya ketika tangan basah atau berpeluh kerana sulaman benang emas tersebut boleh menjadi kehitaman.
 
Sumber: Utusan Online