Shawarma Halap Jalan Bukit Bintang

Hujan renyai-renyai pada lewat petang itu tidak sedikit pun menghalang deretan manusia daripada terus beratur di hadapan sebuah premis makanan yang terletak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur untuk membeli juadah makan malam.

Di sebuah kedai kecil dengan papan tanda berwarna coklat cair bertulis ‘Shawarma Halap’, seorang lelaki berbaju hitam kelihatan leka menghiris nipis daging ayam yang sedang dipanggang pada sebuah alat pemanggang besar.

Sesekali dia mengelap peluh yang kelihatan mula menitis di dahi menggunakan sehelai tuala kecil yang disangkut pada bahu.

Lelaki itu kemudiannya menghulurkan sekeping shawarma ayam sepanjang kira-kira 15.2 sentimeter kepada kru Jurnal untuk dicuba.

Begitulah rutin harian Abdul Rahman Sh, 23, yang menguruskan sebuah kedai menjual menu shawarma ayam yang terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur yang cukup sibuk itu.

Kedai kecil bersebelahan bank Hong Leong itu sentiasa sesak dengan deretan manusia yang tidak putus-putus beratur untuk menikmati keistimewaan shawarma yang disajikan.

Dada ayam

Memulakan operasinya setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 4 pagi, deretan manusia yang beratur panjang semata-mata untuk menikmati shawarma ayam merupakan satu pemandangan biasa.

Menu shawarma itu dijual dalam dua saiz iaitu yang kecil pada harga RM5 sekeping, manakala saiz besar berharga RM8.

Ia dibuat daripada hirisan ayam panggang segar yang diperap dalam ramuan rahsia dicampur sos istimewa Shawarma Halap, jeruk timun, kentang goreng dan kemudian dibalut dengan sekeping roti Arab nipis.

Salah seorang pengunjung yang merupakan pelanggan tetap kedai itu, Mohd. Fazly Azran, 39, menyifatkan shawarma ayam di situ merupakan yang paling sedap pernah dicubanya setakat ini di Kuala Lumpur.

“Dahulu, pejabat saya terletak berhampiran kawasan ini, jadi saya memang gemar membeli shawarma ini. Kini, walaupun sudah bertukar kerja di Cheras, saya tetap datang ke sini untuk menikmati shawarma.

“Saya memang gemarkan menu dari Arab ini dan telah mencuba pelbagai shawarma lain, namun shawarma ayam di sini paling sedap,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Abdul Rahman, kedai kecilnya itu hanya menyajikan shawarma daripada daging ayam sahaja kerana ia tidak mengambil masa yang lama untuk dimasak.

Daging ayam yang digunakan adalah daripada pembekal ayam mentah dari Cheras yang turut membekalkan dada-dada ayam ke beberapa lagi restoran Arab sekitar Bukit Bintang.


Terlebih dulu, ketulan dada-dada ayam akan dimampatkan dalam satu batang besi yang besar sebelum dipanggang menggunakan satu alat khas. Proses tersebut mengambil masa selama 10 minit sahaja sebelum siap untuk dihidangkan kepada pelanggan.

Pada masa sama, beberapa orang pekerja akan menyediakan kentang goreng dan timun yang sudah dijerukkan bersama campuran sos shawarma lalu membungkusnya ke dalam kertas pembalut berwarna putih dan sedia untuk dimakan.

Abdul Rahman berkata, Shawarma Halap menggunakan sekitar 70 hingga 90 kilogram ayam setiap hari.

“Siapa sangka gabungan sos istimewa yang dicipta sendiri oleh adik saya begitu digemari warga kota.

“Kami mengimport beberapa jenis sos dari Syria seperti tahini dan garam Kosher dan kemudian mencampurkan kesemua bahan tersebut bagi menghasilkan sos shawarma yang unik,” ujarnya.

Tahini merupakan pes berminyak diperbuat daripada kisaran kulit bijan bakar yang lazimnya digunakan dalam masakan masyarakat di beberapa negara Afrika Utara, Armenia, Greece, Iran, Turki dan Iraq.

Abdul Rahman mengusahakan kedai tersebut dengan abang, Ismail Sh, 34, dan adik lelakinya, Mahmood Sh, 21, yang merupakan seorang cef di Aleppo, Syria.

Ceritanya, Mahmood mula-mula datang ke Malaysia dengan niat untuk mencari kerja baharu.

Dia tiba di Kuala Lumpur pada tahun 2011 dan mula mencari apa sahaja kerja yang boleh dilakukan demi membantu keluarga yang hidup susah di Syria sehinggalah mampu mengumpulkan modal untuk menyewa sebuah kedai kecil di Bukit Bintang.

“Sekitar 2013, saya pula datang ke Malaysia untuk membantunya, manakala abang saya menyusul setahun kemudian. Alhamdulillah, semua ini adalah rezeki daripada Allah,” ujar Abdul Rahman merendah diri.


Menurut Abdul Rahman yang telah mendapat taraf penduduk tetap negara ini dan kini menetap di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, kedai kecil yang beroperasi betul-betul di deretan kedai makanan Arab yang digelar ‘Arab Street’ oleh penduduk tempatan itu masih ‘bernyawa’ dan dipenuhi warga kota sehingga pukul 4 pagi.

Makanan jalanan

Kedudukannya yang strategik iaitu berhampiran pusat beli-belah Pavilion dan Lot 10 serta hotel-hotel di ibu negara menjadikan kedai tersebut sebagai tumpuan orang ramai yang mahu mencari makanan pada awal pagi.

Pelanggan akan duduk di deretan bangku yang disediakan di sekitar kedai atau hanya makan secara berdiri.

Ini kerana menurut Abdul Rahman, masyarakat Arab sememangnya menikmati shawarma sebegitu kerana ia dikategorikan sebagai makanan jalanan.

“Di Syria, shawarma lazimnya dimakan di jalanan. Ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana ia sebahagian daripada budaya kami,” jelas Abdul Rahman mengenai premisnya yang tidak menyediakan ruang menjamu selera yang besar.

Ketiga-tiga beradik itu turut merendah diri dan sentiasa bersyukur diberi peluang untuk menjalankan perniagaan makanan di negara ini.

Abdul Rahman yang enggan mendedahkan pendapatan yang diperoleh berkata, pemilihan Bukit Bintang sebagai lokasi perniagaan juga tepat memandangkan lokasi itu strategik dan boleh menarik bukan sahaja warga kota, tetapi pelancong untuk berkunjung ke situ.

Biarpun berdepan pelbagai cabaran seperti bekerja siang dan malam demi mendapatkan modal perniagaan, selain terpaksa meninggalkan keluarga di tanah air, tiga anak muda itu bersyukur kerana perniagannya dipermudahkan oleh Allah.

Sumber: Kosmo! Online