Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia

Orang bekerja sendiri, suri rumah dan mereka yang tiada pendapatan tetap juga berhak mempunyai perlindungan persaraan yang formal seperti yang dinikmati oleh pekerja sektor swasta (simpanan KWSP) dan penjawat awam (skim pencen).
 

1. Apakah itu Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia?

Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia adalah inisiatif kerajaan untuk memastikan golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap mempunyai simpanan apabila mencapai umur persaraan.

2. Apakah konsep dan rasional Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia?

Konsep atau kemudahan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia adalah bertujuan menggalakkan golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela mengikut kemampuan.

Rasional Skim Simpanan Persaraan 1 Malaysia:

a) Menyediakan saluran untuk golongan yang bekerja sendiri dan mereka yang tiada pendapatan tetap menabung bagi tujuan persaraan.

b) Meningkatkan jumlah orang yang bekerja sendiri menabung dengan KWSP

c) Menzahirkan keprihatinan Kerajaan kepada orang yang bekerja sendiri melalui pemberian insentif untuk menabung bagi persaraan mereka.

d) Mengurangkan jumlah warga tua yang bergantung kepada peruntukan program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

3. Siapakah tergolong dalam golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap?

Antara pihak yang tergolong dalam golongan bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap adalah:

- Petani/ nelayan/ pemandu teksi
- Peniaga kecil/ penjaja/ peniaga pasar malam/ peniaga uptown
- Baby-sitter
- Ejen menerima komisyen (cth: ejen insurans, ejen hartanah)
- Freelancer (cth: menerima bayaran selepas memberi perkhidmatan sebagai deejay, penyanyi, pelakon, fitness instructor, perunding)
- Pemilik perniagaan (pemilik tunggal/rakan kongsi) yang membeli dan menjual barangan/perkhidmatan
- Pemilik perniagaan dalam talian (online business)
- Pemilik praktis sendiri (cth: akauntan, doktor, peguam)
- Surirumah

4. Syarat-syarat kelayakan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia?

a) Warganegara Malaysia

b) ‘Orang Yang Bekerja Sendiri’ ertinya mana-mana orang yang melakukan sesuatu pekerjaan yang mendatangkan hasil dan bukannya seorang pekerja.

c) Merupakan ahli KWSP; DAN

d) Telah membuat pilihan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia menggunakan Borang KWSP 16G(1M).

5. Bolehkah ahli yang sedang mencarum di bawah ‘Caruman Bekerja Sendiri’ memilih Skim ini?

Boleh. Ahli perlu membuat permohonan pilihan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia menggunakan Borang KWSP 16G(1M) terlebih dahulu tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

6. Bolehkah saya menyertai Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia jika saya merupakan seorang pekerja bergaji tetap?

Tidak boleh dan tidak layak untuk menerima sumbangan Kerajaan.


7. Bagaimanakah untuk membuat permohonan pilihan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia?

Ahli perlu mendaftar sebagai pencarum SP1M dengan cara berikut:

a) Menggunakan Borang Permohonan Pilihan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia [KWSP 16G(1M)] yang boleh diperolehi di Kaunter KWSP atau Laman Web KWSP.

b) Serahan permohonan di Kaunter KWSP atau melalui mel.

8. Bagaimanakah untuk membuat bayaran caruman Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia?

Cara membuat bayaran caruman Simpanan Persaraan 1Malaysia:

a) Menggunakan Borang Bayaran Simpanan Persaraan 1Malaysia [KWSP 6A(2)] yang boleh diperolehi di mana-mana Kaunter KWSP atau Laman Web KWSP.

b) Borang KWSP 6A(2) hendaklah diserahkan bersama tunai/cek di kaunter KWSP/mel atau di kaunter ejen bank yang dilantik iaitu RHB, MBB, PBB dan BSN.

9. Bolehkah amaun bayaran caruman Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia berubah-ubah?

Boleh. Tertakluk kepada amaun minimum RM50.

10. Adakah bayaran caruman Skim Simpanan Persaraan 1 Malaysia perlu dibuat setiap bulan secara tetap?

Tidak semestinya. Bayaran caruman Skim Simpanan Persaraan 1 Malaysia boleh dibuat pada bila-bila masa mengikut kemampuan.

11. Adakah amaun caruman Skim Simpanan Persaraan 1 Malaysia mendapat dividen?

Ya, simpanan di bawah Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia akan menerima dividen tahunan sehingga ahli berumur 75 tahun.

12. Adakah amaun caruman Skim Simpanan Persaraan 1 Malaysia mendapat apa-apa sumbangan dari Kerajaan?

Ya, simpanan ini akan menerima sumbangan Kerajaan sebanyak 10% dari amaun caruman tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM120 setahun (Kadar baru berkuatkuasa 1 Januari 2014).

Sumbangan Kerajaan ini hanya untuk tempoh 4 tahun mulai tahun 2014 – 2017.

Walau bagaimanapun sumbangan ini tidak layak bagi ahli yang mempunyai caruman majikan secara tetap (bekerja dan mempunyai pendapatan tetap). Sumbangan Kerajaan juga adalah terhad kepada ahli SP1M yang berumur kurang daripada 55 tahun sahaja.

13. Bilakah sumbangan Kerajaan akan dikreditkan ke akaun saya?

KWSP akan membuat tuntutan sumbangan kerajaan secara berkala. Wang sumbangan akan dikreditkan ke akaun ahli selepas KWSP menerimanya daripada Kerajaan.

14. Bolehkah Simpanan Persaraan 1Malaysia digunakan untuk pengeluaran?

Simpanan Persaraan 1Malaysia merupakan sebahagian daripada simpanan KWSP ahli. Oleh itu, ahli boleh menggunakan / mengeluarkan simpanan ini tertakluk kepada syarat & prosedur semasa pengeluaran KWSP.

Sumber: Laman web KWSP