Spokojan - Lingkaran Pembunuh Nyamuk

Kita sering melihat lingkaran ubat nyamuk pelbagai jenama di pasaran.

Tahukah anda, bahawa lingkaran ubat nyamuk itu hanya berfungsi hanya sebagai penghalau nyamuk bukannya membunuh serangga merbahaya tersebut.

Universiti Malaya melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Prof. Dr Sazaly Abu Bakar telah menghasilkan lingkaran pembunuh nyamuk yang diberi nama Spokojan.

Prof. Dr Sazaly yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Jabatan Mikrobiologi Perubatan Universiti Malaya, menjelaskan lingkaran penghalau nyamuk yang ada di pasaran berbeza dengan hasil ciptaannya.

Lingkaran penghalau nyamuk memiliki kadar tar yang tinggi dan membahayakan kesihatan pengguna.

Sebaliknya, Spokojan ciptaan beliau ialah lingkaran yang berfungsi memujuk dan memanggil nyamuk berkumpul di sekitarnya sebelum serangga tersebut mati akibat terlalu asyik dengan asap yang beracun.

Kerana peranannya sebagai pembunuh nyamuk, lingkaran Spokojan hanya boleh diletakkan jauh dari pengguna.

“Daripada kita halau, lebih baik dikumpulkan dan dimatikan jauh dari kediaman atau ruang di dalam rumah”, ujar beliau.


Menurut Prof Sazaly lagi, inovasi tersebut bertindak dengan menarik perhatian nyamuk melalui ekstrak tumbuhan tertentu menyebabkan nyamuk mendatangi lingkaran Spokojan yang dibakar sebelum mati akibat menyedut asap beracun.

“Nyamuk akan berlegar-legar dengan asyik di sekitarnya kerana menyangkakan terdapat makanan,” katanya.

Oleh itu nyamuk tidak akan sempat masuk dan menggigit penghuni di dalam rumah. Lingkaran tersebut diletakkan di luar rumah bukannya di dalam rumah seperti lingkaran penghalau nyamuk biasa.


Menerusi kajian dan inovasi yang dijalankan lebih lima tahun, Dr. Sazaly menggunakan ekstrak yang diambil daripada sejenis tumbuhan yang dapat meniru bau atau feromon yang sangat digemari oleh nyamuk.

Bahan yang digunakan dikenali sebagai bahan kimia semio (Semiochemical) yang membawa maksud isyarat kimia atau kaedah berkomunikasi menggunakan feromon.

Menurut beliau, di dalam hutan terdapat pelbagai jenis tumbuhan yang dapat menarik perhatian serangga termasuk nyamuk melalui bahan tersebut.

Oleh yang demikian, ekstrak feromon daripada pokok yang telah dikenalpasti menjadi kegemaran nyamuk dicampurkan ke dalam adunan untuk membentuk lingkaran Spokojan mengikut dos dan formula bersesuaian.

Lingkaran Spokojan mampu bertahan selama 12 jam apabila dinyalakan dan akan diletakkan di luar rumah, samada di halaman atau sekitarnya.


Sumber: Majalah Sains