Sumber Rezeki Ikan Laga

Memelihara ikan laga adalah hobi yang tidak pernah lekang dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, Nazarudin Ja’maat, 40, menjadikan hobi itu sebagai sumber pendapatan apabila menjadi penternak ikan hiasan itu.

Beliau yang juga Presiden Peminat Ikan Laga Hiasan Malaysia memiliki pusat ternakan sendiri di kediamannya di Kangkar Pulai, Johor Bahru.

Ikan laga ternakannya pernah mencecah 15,000 ekor pada satu musim selepas tempoh mengawan.

Nazarudin berkata, minatnya terhadap ikan laga bermula sejak kecil kerana kecantikan, seni dan kepelbagaian warna pada ikan berkenaan.

“Kalau ikutkan ikan laga hiasan ini pada mulanya berasal daripada ikan laga tradisional daripada zaman datuk nenek kita lagi. Ketika kecil dulu, saya juga pernah membela ikan laga yang ditangkap sendiri di paya berhampiran rumah.

“Selepas tamat belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Perancangan Bandar dan Wilayah pada 1998, saya merantau ke seluruh negara untuk mengikuti pertandingan ikan laga dan lihat ia boleh dikomersialkan.

“Saya dapat hasilkan 2,000 hingga 5,000 ekor anak ikan laga dalam bulan tertentu dan pada waktu kemuncak sekitar Julai pernah mencecah sehingga 15,000 ekor,” katanya.

Nazarudin kini menternak lima jenis ikan laga iaitu Halfmoon Single Tail, Halfmoon Double Tail, Crowntail, Plakat dan Dumbo.

“Saya jual RM10 hingga RM20 seekor bagi ikan laga biasa. Bagi ikan laga yang mempunyai nilai serta seni tersendiri jualan pernah mencecah RM300 hingga RM500 seekor.

“Selain untuk pasaran sekitar Johor, ikan laga ternakan saya juga mendapat tempat di Indonesia, Singa­pura, Brunei dan Hong Kong.

“Penjagaan ikan laga mudah kerana tidak memerlukan oksigen dan jangka hayatnya boleh mencecah 14 bulan. Jika ada permintaan di luar negara, saya akan poskannya yang biasanya mengambil masa dua hari,” katanya.

Beliau juga pernah menjuarai pertandingan bertaraf antarabangsa Tan Hong Keat Cup Betta Competition pada Disember lalu yang turut disertai peserta dari Jerman, Itali dan Australia.

“Selain itu, saya juga pernah menjadi juara Vortex Betta Cup tahun lalu dan kini tiga ekor ikan saya dari jenis Halfmoon Single Tail, Halfmoon Double Tail dan Crowntail berada di Indonesia untuk satu pertandingan ikan laga di sana,” katanya.

Mengenai pembiakan, Nazarudin berkata, ikan laga jantan dan ikan laga betina yang matang akan dipilih untuk proses mengawan.

Katanya, selepas tempoh mengawan, ikan laga betina akan dipisahkan bagi mengelak ia bergaduh manakala telurnya akan disenyawakan ikan jantan sehingga menetas.


“Ikan laga jantan yang bersedia untuk mengawan akan membuat sarang buih bagi meletak dan menjaga telurnya selepas tempoh mengawan.

“Anak ikan laga atau fry yang berusia lima hari selepas menetas kemudian perlu diasingkan daripada ikan laga jantan. Pengasingan dalam bekas itu akan dibiarkan selama sebulan.

“Selepas sebulan, anak ikan laga akan dibiakkan secara berkelompok di dalam akuarium bersaiz sederhana sehingga dua bulan lebih,” katanya.

Nazarudin berkata, selepas dua bulan, anak ikan laga akan diasingkan seekor demi seekor ke dalam cawan plastik lut sinar bagi mengelak ia berlaga sesama sendiri.

Sumber: myMetro