Susu Lembu Segar Ladang Mega Ternak

Deringan penggera telefon bimbit seawal pukul 4.30 pagi itu mengejutkan Asnol Hadi Johan. Dia bersiap ala kadar lalu bergegas ke ladang ternakan lembu seluas 20 hektar miliknya yang terletak tidak jauh dari kediamannya.


Sebaik sampai, lelaki berusia separuh abad itu perlu memastikan kawanan 60 ekor lembu baka Jersey Friesian tersebut bersih sebelum kerja memerah susu menggunakan mesin yang mengambil masa kira-kira dua jam boleh dimulakan.

Lebih canggih, ruang pemerahan yang dibina berasingan dengan kandang lembu itu mempunyai sistem saluran khas menghubungkan terus hasil perahan ke dalam tangki penyejuk yang boleh menampung sehingga 3,000 liter susu pada satu-satu masa.

Tugas tauke ladang Mega Ternak Sdn. Bhd. itu tidak berakhir di situ sahaja. Hasil bantuan empat pekerja, haiwan itu diberi makan dedak dan rumput yang telah siap dipotong sebelum dikumpul menggunakan jentera menuai.

Asnol berkata, dia bergiat dalam bidang penternakan sejak 1997 dengan memelihara 12 ekor lembu induk yang diimport dari Belanda sebagai permulaan.

“Ketika itu, kami memerah susu menggunakan tangan. Hasilnya tidak begitu banyak. Kami mula menggunakan mesin pada 2006.

“Susu diperah dua kali sehari iaitu sesi pertama pada pukul 5 hingga 7 pagi dan sesi berikutnya pada pukul 5 petang hingga 7 malam.

“Kami juga menanam sendiri rumput yang benihnya diimport dari Belanda daripada jenis Signal dan Guinea.


“Rumput itu lebih berkualiti sementelah kandungan nutrisinya sesuai dengan persekitaran asal lembu tersebut” katanya ketika ditemui pada program Farmer2Farmer (F2F) anjuran Dutch Lady Milk Industries Bhd. (Dutch Lady Malaysia) di Tapah, Perak.

Program yang memasuki edisi ketiga itu memfokuskan kepada 60 penternak lembu di sekitar Tapah, Parit, Sungai Siput, Perak selain Jasin, Air Molek serta Merlimau di Melaka yang mengambil masa selama 14 hari.

Asnol yang menyertai F2F buat kali kedua berkata, berbeza pada tahun lalu, sesi bimbingan dan perkongsian kepakaran yang dilakukan bersama penternak berpengalaman dari Belanda itu dibuat secara individu di ladang setiap peserta.

“Kali ini lebih bagus kerana peserta dapat menyuarakan masalah yang dihadapi secara terus dan pihak penganjur memberikan maklum balas yang lebih tepat dengan melihat sendiri suasana sebenar ladang di sini.

“Berbanding pada tahun lalu, peserta dikumpulkan dalam satu bengkel dan tempoh taklimat lebih singkat,” ujarnya.


Asnol menambah, ladang ternakannya mampu menghasilkan 15,000 liter susu segar sebulan dengan purata pengeluaran antara 8 hingga 14 liter bagi setiap ekor lembu dalam tempoh sehari.

Namun, cuaca panas yang melanda negara sejak beberapa bulan lalu sedikit sebanyak menjejaskan produktiviti pengeluaran susu dengan anggaran kemerosotan kira-kira 20 peratus.

Bagi memastikan lembu peliharaannya berada dalam keadaan selesa, Asnol memasang kipas siling dan dinding di dalam kandang di samping memandikan haiwan itu lima hingga enam kali sehari.

“Musim panas seperti ini bukan manusia sahaja sakit, lembu juga mudah terkena jangkitan selesema. Sebab itu, penjagaan perlu lebih khusus dan rapi terutamanya dalam keadaan cuaca seperti ini.

“Musim kemarau yang agak panjang kali ini juga mempengaruhi kesuburan dan kesegaran rumput yang menjadi makanan utama lembu,” katanya yang hanya pulang ke rumah sekitar pukul 10 malam selepas memastikan haiwan ternakan berada dalam keadaan baik.

[Sumber gambar: The Star Online]
Sementara itu, penternak berprofil tinggi dari Langbroek, Belanda, Aad Kester berkata, ladang Asnol mampu menampung 150 ekor lembu dengan pengeluaran melebihi dua kali ganda jika beroperasi pada tahap optimum.

Tambahnya, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki antaranya mempertingkatkan nutrisi rumusan makanan lembu dengan memperbanyakkan rumput berbanding dedak selain pemberian makanan tambahan lain dalam diet haiwan itu.

Pertama kali berkunjung ke Malaysia, Kester mengakui, cuaca di negara ini agak mencabar.

Bagaimanapun, dia memuji inisiatif penternak tempatan dalam menyesuaikan penjagaan lembu tenusu yang berasal dari negara empat musim itu.

“Ladang ini mengingatkan saya terhadap ladang yang diusahakan datuk saya ketika zaman kanak-kanak dahulu. Memang ladang di Belanda lebih maju tetapi banyak ruang yang boleh ditambah baik penternak di Malaysia dalam usaha meningkatkan pengeluaran mereka.

“Keadaan sama dialami di negara beriklim tropika seperti di Vietnam, Thailand dan Indonesia. Apa yang penting ialah mengamalkan tadbir urus dan sentiasa mempersiapkan diri dengan pengetahuan serta teknik penternakan yang betul,” katanya.

Kester pernah bertugas sebagai pegawai pengaturcaraan teknologi maklumat dan komunikasi selama beberapa tahun di Belanda sebelum terlibat dalam sektor penternakan pada 1991 berkata, ladangnya di Belanda menghasilkan 700,000 liter susu setahun.

Lembu Kester terdiri daripada 85 baka induk dan 55 ekor anak yang dibiarkan bebas di padang ragut seluas 45 hektar di Langbroek.

Tambahnya, tugas-tugas mengurus ladang ternakan hanya dibantu isteri dan dua anak lelakinya yang bekerja separuh masa selepas sesi persekolahan.

Sementara itu, Pengurus Program Pembangunan Tenusu Dutch Lady Malaysia, Ching Su Poo berkata, Program F2F yang tercetus hasil kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Kedutaan Belanda itu bertujuan untuk membantu penternak terpilih meningkatkan pendapatan mereka, seterusnya melonjakkan industri tenusu negara.

Modul latihan

Pihaknya berharap, kemahiran penternak dapat ditingkatkan dengan modul latihan yang disusun meliputi aspek pemakanan, pengendalian anak lembu, pengeluaran susu, kesuburan, reka bentuk kandang, penjagaan dan rawatan tapak kaki dan kuku serta penyimpanan data ternakan.

Beliau berkata, keperluan susu cecair untuk negara adalah 50 juta liter setahun bagaimanapun hanya 34 juta liter adalah hasil pengeluaran tempatan manakala selebihnya diimport.

Tambahnya, Dutch Lady Malaysia adalah pembeli susu segar terbesar di negara ini meliputi kira-kira 40 peratus daripada hasil pengeluaran negara untuk menghasilkan produk susu segar Dutch Lady yang dipasteur dan produk susu segar Dutch Lady yang disteril.

“Program F2F adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk memenuhi permintaan bagi susu keluaran tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import susu.

“Ia adalah unik dan menyediakan platform kepada penternak tempatan untuk berinteraksi serta bertukar maklumat dengan penternak berprofil tinggi di samping mempelajari tip dan amalan penternakan baik secara praktikal,” ujarnya.

Sumber: Kosmo! Online