Sut Lelaki O’oi Couture

Laksana jejaka idaman dara, Mohd. Shahril Shaari kelihatan segak bergaya apabila tampil dengan menyarungkan sepasang sut.

Auranya begitu menyerlah, sekali gus menzahirkan keyakinan pada tata rias penampilannya.

Sut kini bukan lagi busana yang dipakai untuk keraian korporat sahaja, tetapi menjadi pakaian santai, semi formal dan formal.

Ia juga menjadi pakaian popular aktor-aktor dalam drama Korea.

Bagi Mohd. Shahril, pemakaian sut tersebut sangat sinonim dengan imej elegan, ada kelas, kelakian dan menggambarkan status seseorang.

Personaliti yang mencipta nama sebagai penyanyi di Korea dengan nama komersial Dior itu berkata, dia sering mengenakan sut ketika membuat persembahan khususnya di Korea.

“Saya sangat setuju dengan pendapat yang menyatakan sut sebagai lambang maskulin dan menyerlahkan kelakian.

“Pemakaian sangat penting kerana ia melambangkan kebijaksanaan seseorang untuk menyerlahkan identiti,” kongsi lelaki kelahiran Kuala Lumpur itu.

Bercerita tentang pemakaian sut di Korea, Dior memberitahu, sut bukan bersifat trend sebaliknya menjadi pakaian wajib di sana.

Cuaca

Dia juga tidak menolak faktor cuaca sebagai sebab utama, sut menjadi pakaian harian kaum lelaki Korea sama ada pelajar, golongan dewasa mahupun berusia.

“Selain faktor gaya, pemakaian sut juga dapat memanaskan badan kerana rata-rata pemakainya bekerja di dalam pejabat berpendingin hawa. Selain itu, ia dapat menyerlahkan sisi korporat mereka,” terang Dior.

Berkongsi tentang sut yang digemarinya, Dior memberitahu, dia menyukai pakaian yang dapat menyerlahkan sisi maskulin dan ceria. Justeru, dia sering memilih persalinan yang menampilkan unsur terang, sofistikated, bersinar dan tajam.

Lebih gemarkan sesuatu yang unik, Dior juga tidak kekok untuk menggayakan busana yang berbeza daripada arus perdana. Akuinya, penggayaan imej berbeza daripada masyarakat umum memberi konotasi yakin yang luar biasa terhadap dirinya.

“Disebabkan itu, saya suka bermain dengan warna terutamanya warna terang dalam pemilihan pakaian.

“Dalam pemilihan fesyen, saya lebih kepada double breasted sut dan stylish ‘swag’ atau Korean Look,” jelas jejaka itu.

Dalam pada itu, pelakon, Amai Kamarudin memberitahu, dia gemar memakai sut terutamanya pada majlis-majlis tertentu bagi menyerlahkan imej bergaya dan kemas.

“Bagai ada satu semangat luar biasa, saya rasa gah saat sepasang sut membaluti tubuh. Selain impak maskulin, ia juga menampilkan gaya elegan dan sesuai untuk menyerlahkan personaliti seorang lelaki.

“Apa yang paling penting, saya gembira apabila menyarung sut. Ia membangkitkan aura positif serta keyakinan luar biasa dalam diri terutama saat berhadapan orang ramai,” tutur Amai yang bakal muncul dengan filem Kanang Anak Langkau tidak lama lagi.

Padanan sut dalam corak dan rona pelbagai, ia boleh digayakan dengan banyak cara sama ada bersama seluar panjang atau seluar pendek.

Amai menyifatkan rekaan sut kini tampak lebih moden dan tidak terlalu formal menyebabkan ia boleh disuai padan dengan mudah.

Kain kapas

Sementara itu, pemilik label fesyen O’oi Couture yang kini tampil dengan koleksi sut terbaharu khusus buat lelaki, O’oi Azrul Muhamad Taib memberitahu, sut dan lelaki memang tidak dapat dipisahkan kerana perlambangan maskuliniti yang terdapat pada busana tersebut.

Jelasnya yang sudah berkecimpung lebih 10 tahun dalam rekaan busana, rekaan yang dihasilkan mementingkan penampakan imej yang dizahirkan tatkala persalinan disarung.

“Saya tidak gemar jika imej maskulin itu dikaburi dengan unsur feminin. Disebabkan itu, saya cuba memastikan rekaan saya benar-benar menyerlahkan kelakian melalui jenis potongan yang dihasilkan,” katanya yang mesra disapa sebagai O’oi itu.

Menggunakan material kain kapas sebagai fabrik utama penghasilan sut, O’oi memberitahu, fabrik tersebut sangat sesuai dengan iklim dan cuaca di negara ini.

Bagaimanapun, O’oi yang bijak memadankan elemen budaya tempatan turut menyelitkan unsur songket dalam rekaannya menjadikan sut hasil tangannya tampak unik, kontemporari dan klasik.

Selain jaket atau sut kosong, koleksi terbaharu O’oi Couture turut tampil dengan sut bercorak harimau bintang selain koleksi black rose, jaket maskulin dan songket. Koleksi tersebut menggunakan tema klasik moden, harimau bintang, Gothismania dan dolls.

“Sut-sut ini boleh tampak formal, kasual atau semi formal bergantung kepada cara pemakaian atau bagaimana ia dipadankan dan disesuaikan mengikut tema.

“Warna-warna yang dipilih juga lebih kepada warna bumi dan bukan tona yang sering dipapar pada imej sut seperti warna hitam secara keseluruhan,” terang O’oi.

Sumber: Kosmo! Online