Tudung Peteh Terengganu Peteh

Minat dalam kalangan wanita terhadap sukan bola sepak kini semakin meluas dan mereka tidak lagi berasal janggal berada di stadium untuk menyaksikan pasukan negeri masing-masing beraksi.

Perkara itu mendorong sebuah butik di pusat bandar raya ini, Susy Collections menghasilkan tudung Peteh Terengganu Peteh bagi mereka sebagai simbol sokongan kepada pasukan negeri.

Pemiliknya, Susiarina Mohd. Hasry berkata, tudung eksklusif itu yang pertama seumpamanya di pasaran, direka mengikut cita rasa wanita semasa yang memberikan kepuasan daripada segi penampilan dan keselesaan memakainya.

“Sebagai peminat bola sepak dan sering menonton perlawanan di stadium saya selalu berharap ada aksesori yang sesuai untuk dipakai bagi memberi sokongan kepada skuad Penyu.

“Tetapi kebanyakan barangan dijual seperti mafela mahupun topi lebih menjurus untuk kegunaan lelaki. Memandangkan semakin ramai kaum hawa yang meminati bola sepak tanpa mengira peringkat umur, saya fikir tudung merupakan medium yang tepat untuk diketengahkan.

“Tidak sangka percubaan kami mendapat sambutan luar biasa daripada anak-anak negeri yang berada di seluruh negara,” katanya ketika majlis pelancaran tudung tersebut di butik di Wisma Cemerlang.

 Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran dua pemain bola sepak negeri iaitu Issey Nakajima dan Dhiyaulrahman Mohd. Hasry yang juga merupakan adik kepada Susiarina.

Setiap tudung bawal dijual pada harga promosi RM25 sehelai de­ngan dua pilihan fabrik iaitu crepe dan cotton.

Susiarina memberitahu, sehingga kini sebanyak 700 helai tudung habis dijual dalam tempoh hanya tujuh hari sejak Isnin lalu sekali gus terpaksa meningkatkan lagi pengeluaran bagi memenuhi permintaan.

Katanya, rekaan yang ditampilkan pada tudung berwarna hitam dengan perkataan tertulis Terengganu Peteh Ganu Peteh itu cukup istimewa kerana akan membuatkan seseorang kelihatan seolah-olah memakai mafela.

“Selain jualan untuk peminat, Susy Collections juga menjalin kerjasama dengan kelab penyokong Terengganu Fan Club (TFC) bagi penajaan tudung khas buat The Batik Girls,” katanya.

Menurut Susiarana, pihaknya turut mendapat permintaan untuk menghasilkan produk sama buat pasukan negeri lain antaranya Sabah bagaimanapun keutamaan ketika ini tertumpu pada Terengganu.

Sumber: Utusan Online