Tudung Qnergy Cas Tenaga

“Saya mengkaji apa sebenarnya yang terjadi dan kenapa semakin ramai orang menderita kerana pelbagai jenis penyakit. Saya percaya, semua itu berpunca daripada air yang kita ambil setiap hari.”

Itulah luahan Pengerusi Eksekutif Qnergy Sdn. Bhd., Profesor Datuk Dr. Noordin Darus.

Ekoran daripada itu, beliau mendapat inspirasi untuk menghasilkan tudung Qnergy yang mengambil konsep cas tenaga secara semula jadi.

Menjadi hijab pertama di dunia yang mempunyai cas tenaga secara semula jadi, Noordin memberitahu, tudung itu bukan sahaja mudah dipakai tetapi menjadikan si pemakai lebih bergaya.

Tambah Noordin, material atau fabrik yang digunakan adalah sama seperti tudung-tudung lain yang terdapat di pasaran. Namun, yang membezakannya adalah proses yang dilakukan untuk menambah tenaga dalaman terhadap hijab itu.

Menjelaskan tentang aura tenaga hijab berkenaan, beliau berkata, aura tersebut diperoleh melalui proses teknologi tenaga zero-point yang membolehkan setiap tudung mempunyai tenaga tersendiri.

Proses fermentasi

“Setiap tudung akan melalui proses fermentasi atau penapaian dan pengewapan. Semua tudung akan disalurkan tenaga alami yang baik dan hasilnya dapat memberi manfaat kesihatan kepada si pemakai.

“Teknologi yang digunakan mampu menstabil dan mengharmonikan ketidakseimbangan dalam kepala si pemakai.

“Tudung Qnergy bertindak sebagai pelindung atau perisai kepada elemen-elemen negatif seperti gelombang elektromagnetik daripada memasuki badan,” tuturnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mengambil contoh pemakaian loket tenaga iaitu gelang jed, Noordin terfikir bahawa ramai wanita bertudung di negara ini dan mereka mahu memasukkan gelombang tenaga semula jadi ke dalam kain yang digunakan untuk menutup aurat.

Terangnya, di Korea dan Jepun, sudah ada individu yang cuba memindahkan gelombang tenaga dalam pakaian seperti stoking. Namun, beliau mahu menggunakan hijab sebagai agen tenaga.

“Meskipun hijab sinonim dengan Muslimah, koleksi selendang yang menggunakan konsep sama turut diperkenalkan dan ia boleh digunakan oleh wanita bukan Muslim untuk menyerap tenaga semula jadi itu apabila dijadikan alas kepala.

“Tudung ini berfungsi melawan anasir tekanan, toksid dan kekurangan vitamin yang membelenggu kaum wanita.

“Oleh sebab itu, ia mampu mengurangkan ketegangan, melancarkan pengaliran darah ke otak, merangsang pertumbuhan rambut, menghilangkan rasa pening, migrain dan meningkatkan kecerdasan minda,” kongsi Noordin.

Menggunakan fabrik sifon berkualiti, material digunakan bertepatan dengan kondisi cuaca di negara ini dan ia mampu memberi pengudaraan yang baik di kepala.

Sesuai digayakan oleh semua peringkat umur, tudung itu diperkenalkan tanpa corak agar mudah dipadankan dengan busana dan menampilkan imej kasual atau formal buat si pemakai.

Sumber: Kosmo! Online