Usahawan Muda Dahulunya Mangsa Buli

Pengalaman hidup sering dibuli oleh rakan-rakan sekolah mendorong Ollie Forsyth, 17, nekad untuk ‘membalas dendam’ melalui kejayaan.
 

Beliau kini merupakan seorang usahawan muda yang berjaya melalui perniagaan cenderamata dengan mengaut keuntungan sebanyak 30,000 Pounds (RM165,586) setahun.

Anak kelahiran Northamptonshire, England ini menghidap disleksia yang menjadikannya tidak boleh membaca dan menulis sehingga usianya 15 tahun.

Namun, itu tidak menjadi penghalang untuknya membuka perniagaan Ollie’s Shop dengan menjual aksesori seperti gelang, rantai dan sebagainya pada usia 13 tahun.

Lebih membanggakan, perniagaannya yang semakin berkembang pesat itu turut mendapat penghargaan dengan menerima anugerah The Great British Entrepreneurs.

Selain itu, dia juga berkolabarasi dengan lapan buah syarikat lain bagi meningkatkan perniagaannya dan dijangka akan menjadi jutawan menjelang umurnya 20 tahun.

Menceritakan mengenai pengalamannya dibuli, katanya, semua itu terjadi apabila dia berpindah sekolah di Dorset.

Sejak itu, dia sering dibuli selama tiga tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti sekolah pada usia 16 tahun.

Ollie berkata, kekurangan dirinya (Disleksia) menjadi punca dirinya selalu dibuli sehingga dia mengalami kemurungan dan pernah mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Dia bernasib baik apabila guru kaunseling di sekolahnya tidak putus-putus menasihatinya agar bersabar dan berusaha menjadi seorang yang berjaya pada masa hadapan.

“Setiap hari, saya dibuli dengan teruk tetapi guru banyak membantu dengan mengajar saya membaca dan menulis sehingga mahir. Dari situ, saya tekad bahawa suatu hari nanti, saya akan menjadi seorang jutawan.

“Perniagaan bermula apabila saya tertarik melihat guru kelas memakai rantai tangan persahabatan. Selepas itu, saya mengambil peluang dengan membeli rantai tangan daripada pembekal dan menjualnya pada harga 10 Pounds (RM55),” katanya seperti dilaporkan Forbes.com dan Startups.co.uk.

Tambah Ollie, tujuan utama dia ingin berjaya dalam perniagaan adalah untuk membuka mata rakan-rakan yang pernah membulinya, selain menjadikan dirinya inspirasi kepada remaja yang senasib dengannya.

Lebih mengejutkan lagi, Ollie berkata, ada di antara pembuli-pembuli itu meminta kerja di syarikatnya dan itu yang membuatkan dia berjaya membuktikan bahawa kejayaan yang dicapai tidak membezakan kekurangan seseorang.

Dalam pada itu, Ollie turut dijemput untuk memberi ceramah berkaitan usahawan muda di sekolah lamanya di Dorset.


“Walaupun saya berasa sedikit janggal untuk berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan di sekolah, saya jadikan itu sebagai pendorong kepada kejayaan yang saya cipta selepas menderita menjadi mangsa buli,” katanya.

Antara kejayaan lain yang dicipta Ollie ialah menjadi pengasas agensi pemasaran digital UNBXD dan beberapa projek lain termasuk pembinaan inkubator dan sebuah sekolah untuk usahawan di India.

Selain daripada perniagaan yang diuruskan, Ollie turut aktif menulis buku inspirasi iaitu "The Budding Entrepreneur Magazine" yang mengandungi nasihat, panduan perniagaan, kisah-kisah perniagaan, selain turut berkongsi pengalaman dengan tokoh-tokoh usahawan yang telah berjaya.

“Bagi menjadi usahawan berjaya, kita perlu bersedia untuk bekerja keras 24 jam setiap hari dan jangan terlalu fokus terhadap duit, sebaliknya memberi tumpuan kepada cara memajukan perniagaan.

Daripada situ, kewangan dan kejayaan akan diperolehi,” katanya sambil memberi nasihat kepada golongan muda.

Sumber: Utusan Online