Widad Kids Comel Bergaya

Rashidah Hussin, 33, banyak menyimpan kisah keperitan sebelum berjaya di bidang jahitan dan industri pakaian kanak-kanak.
 

Namun, pengalaman lalu yang dihadapi itu mematangkan dan menguatkan dirinya untuk mencipta kejayaan.

Semua keputusan persekolahannya ditentukan oleh arwah ayahnya. Biarpun ketika itu, dia takut untuk menentang, kini Rashidah akui banyak kebaikan perancangan yang dilakukan ayahnya untuk dirinya.

Sejak usia 13 tahun dia diajar berdikari oleh arwah bapanya dengan menghantar ke sekolah berasrama yang terletak jauh dari kediaman keluarga.

“Selepas tamat pengajian Sijil Pengajian Malaysia (SPM), saya memberontak untuk menyambung pelajaran dalam bidang Matematik kerana begitu meminati perkara berkaitan dengan nombor.

“Namun, ayah menyuruh menyambung persekolahan hingga ke Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di sekolah sama. Saya akur dan sekali lagi ayah mencadangkan saya menyambung pelajaran di maktab perguruan selepas itu.

“Tujuan utamanya adalah bekerja sebagai guru dapat memastikan saya boleh menghabiskan masa dengan seimbang antara kerjaya dan keluarga biarpun ia bukan bidang yang diminati,” katanya.

Ujar anak bongsu daripada lima beradik ini lagi, ketika menunggu untuk panggilan ke universiti, dia bekerja sebagai guru kontrak.

Ketika itu, ayah sakit dan tanggungjawab menjaga dua adik tiri perlu digalas memandangkan hanya Rashidah yang tinggal bersama dengan keluarga.

Dalam tempoh singkat, ayahnya meninggal dan ketika itu dia berasa sangat sedih.

Akhirnya, Rashidah membawa diri ke Melaka untuk menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pengkhususan kewangan.

Rashidah perlu kuat dan berani kerana itu adalah kali pertama dia keluar jauh dari negeri kelahirannya, Kelantan dan wanita ini harus berdikari memandangkan kakak dan abangnya duduk berjauhan.


“Setiap kali cuti semester, saya tidak balik ke kampung atau ke rumah abang dan kakak. Sebaliknya, saya lebih suka bekerja untuk menampung perbelanjaan di kolej.

“Saya kumpul duit gaji sementara dan menggunakannya untuk membeli motosikal bagi memudahkan diri berulang-alik ke kolej dan rumah. Tambahan pula, saya bukan jenis wanita yang suka menyusahkan adik-beradik lain semata-mata untuk kesenangan diri sendiri,” katanya.

Ibu kepada tiga anak ini tidak betah untuk duduk diam selepas tamat pengajiannya. Tanpa menunggu masa lama, dia merantau ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan dan berjaya diterima sebagai pelatih pengurusan di kedai serbaneka 24 jam.

Hasil bekerja dengan bersungguh-sungguh, dia dinaikkan pangkat menjadi penolong pengurus di cawangan Masjid Jamek dalam tempoh singkat.

Enam bulan bekerja di situ, Rashidah berhenti kerja dan merantau ke Terengganu kerana abangnya yang tinggal di negeri berkenaan mencadangkan dirinya mencari pekerjaan di sana.

Dia bersyukur kerana diterima bekerja sebagai pelatih pengurusan di pasar raya terkemuka biarpun ditugaskan di cawangan utamanya di Subang Jaya.

“Bekerja di bahagian pembelian pakaian perempuan mendedahkan saya dengan pelbagai urusan belian dari dalam dan luar negara. Banyak ilmu yang diperoleh terutama berkaitan dengan fabrik.

“Biarpun hanya bekerja makan gaji, saya suka memberikan sepenuh tumpuan dan bersungguh-sungguh menyiapkan semua tugasan hingga dikenali dalam kalangan rakan sekerja sebagai pekerja yang rajin.

“Awal tahun 2009, saya terfikir sejenak sampai bila perlu bekerja dengan gaji kecil sedangkan saya mahu berkahwin dan memiliki anak selepas itu,” katanya.

Tingkatkan kelebihan diri dengan ilmu Justeru, dia perlu merancang awal sebelum mengambil keputusan berhenti kerja.

Tiga tahun bekerja, dia yakin dengan kelebihan yang ada dan menggunakan duit simpanan sebagai modal permulaan untuk berniaga dalam bidang jahitan secara kecil-kecilan.


Widad yang bermaksud kasih sayang dipilih untuk dijadikan nama syarikatnya, Widad Creative & Resources yang menyediakan perkhidmatan tempahan jahitan secara pukal.

Disebabkan mempunyai pengalaman luas dalam bidang pakaian dan fabrik, dia perlu memperbaiki kualiti jahitan untuk memastikan perniagaannya mampu bersaing dengan syarikat lain.

“Bagi mendapatkan tender di pasar raya terkemuka, saya perlu tebalkan muka untuk membuat pinjaman di bank, namun tidak berjaya. Namun, saya bersyukur kerana abang meminjamkan sejumlah wang untuk membeli mesin jahit industri, mesin pemotong kain dan menyewa kedai.

“Selepas berusaha tanpa jemu, akhirnya saya berjaya mendapatkan tender di pasar raya besar. Pada masa sama, saya juga mencari pekerja untuk menyiapkan semua tempahan yang diterima.

“Tiga bulan pertama, saya perlu berhutang dengan pekerja kerana masih belum mampu membayar gaji mereka dan bertuah kerana pekerja saya sanggup sabar dan memahaminya,” katanya.

Semua kerja seperti pembungkusan dan menghantar barang dilakukan sendiri bersama pekerja yang ada.

Biarpun tahun pertama perniagaannya hanya mendapat untung cukup-cukup makan, kini dia berasa bangga melalui kesusahan yang dilalui itu Rashidah mampu mengekalkan jenamanya di pasaran.

Bagi memastikan pendapatan mampu diperoleh setiap bulan, Rashidah memulakan idea menghasilkan pakaian kanak-kanak berusia tiga bulan hingga 12 tahun menggunakan jenama sendiri.

Idea berkenaan tercetus selepas dia disahkan mengandung anak pertama dan pada masa sama berharap agar ia dapat membantu ibu bapa mendapatkan pakaian anak yang selesa dengan mudah.

Bermula daripada 3,000 helai dengan lima rekaan pakaian kanak-kanak diletakkan di pasar raya Mydin ia meningkat ke 15,000 helai yang berjaya dijual.

Lebih membanggakan apabila dia berjaya menjual hampir 30 ribu helai pakaian kanak-kanak pada tahun 2014 melalui usaha sendiri dengan mengikuti jualan di bazar, pasar raya dan membuka kedai di Pusat Pemborong GM Klang.

Bagi memastikan kualiti pakaian dikekalkan, Rashidah sanggup berulang-alik ke Indonesia, China dan Vietnam bagi mendapatkan fabrik yang sesuai.

 
Asam garam dalam kehidupan, orang akan mendekati apabila kita mula berjaya. Disebabkan keinginan tinggi untuk membantu rakan yang susah, dia pernah ditipu dan mengalami kerugian hampir RM200,000 sepanjang empat tahun berniaga.

Pengalaman yang dilalui sepanjang menjalani perniagaan menjadikan mindanya lebih terbuka untuk mengelak daripada ditipu di kemudian hari.

Selain memiliki kedai dan kilang, Rashidah juga giat menjalankan perniagaan secara dalam talian di laman sosial Facebook (Widad Kids - Comel Bergaya) dan Instagram (WIDADKIDS).

Namun, apabila perniagaan yang dibuka berada di tangga kejayaan, dia mengalami tekanan kerana tidak mempunyai masa untuk berehat hingga menyebabkan tubuhnya lesu serta tidak sihat.

Justeru, bagi mengimbangi antara perniagaan, keluarga dan diri sendiri, dia mengikuti seminar motivasi. Rashidah kini berasa lebih segar dan tenang kerana berjaya mengurangkan tekanan yang dilalui.

Selain berusaha mengekalkan jenamanya, Rashidah juga tidak pernah lupa untuk membantu golongan kurang bernasib baik sebagai terapi diri.

Sumber: myMetro