Bakat Seni Anak Autisme

Sejak kecil, Yuri Azzari Yuri Zaharin, 26, menunjukkan kecenderungan yang tinggi terhadap lukisan walaupun dia dikesan menghidap autisme.


Autisme ialah satu keadaan yang mampu menjejaskan interaksi sosial, komunikasi sama ada melalui perkataan atau perbuatan serta kelakuan yang berulang-ulang.

Minatnya yang mendalam terhadap lukisan mendorong ibu bapanya membuat keputusan menghantarnya mendapatkan bimbingan daripada pelukis terkenal di negara ini, Raja Azhar Raja Idris.

Melihat hasil lukisannya jelas menunjukkan Yuri Azzari seorang yang kreatif dan mempunyai bakat seni tersendiri.

Hasil lukisannya bukan calang-calang kerana ia mendapat permintaan, malah dijual pada harga mencecah ribuan ringgit bagi setiap satu terutama dalam kalangan peminat lukisan.

Bakat seninya mendapat perhatian ibu bapanya, Dr Che Ain Abdul Ghani dan Yuri Zaharin Wahab yang mahu menyediakan segala yang terbaik buat anak sulung mereka.

Menurut Che Ain, dia mula menyedari bakat yang ada pada anaknya ketika usianya sekitar tiga tahun apabila dia pasti menconteng setiap kali memegang pen atau pensel.

Katanya, ketika usia Yuri Azzari mencecah 18 bulan iaitu waktu yang sepatutnya kanak-kanak mula bercakap, anaknya masih tidak menunjukkan kemahiran bertutur membuatkan dia membawanya bertemu pakar.

“Saya membawanya ke pakar audiologi bagi memeriksa pendengaran anaknya dan ketika itulah, saya mendapat tahu dia sebenarnya menghidap austime.

“Dia masih tidak boleh berkata-kata dan hidup dalam dunia sendiri. Saya tidak pasti apa yang bermain dalam fikirannya kerana tidak diluahkan tetapi kami tahu dia minat melukis.

“Kami menghantarnya ke sekolah biasa dan belajar di kelas istimewa. Dari segi akademik, dia memang menunjukkan minat pada lukisan, lalu kami berusaha menghantarnya belajar lebih mendalam dalam bidang seni itu,” katanya.

Che Ain ditemui pada majlis graduasi program bimbingan seni istimewa, Nukilan Jiwaku, anjuran Yayasan Maybank di Balai Seni Menara Maybank, Kuala Lumpur.


Menurutnya, dia kemudian menggalakkan Yuri Azzari menyertai pameran lukisan sejak enam tahun lalu dan ia memberi pengalaman baru kepada anaknya itu apabila lukisan yang dihasilkan menjadi perhatian dan mula mendapat permintaan.

Antara pameran lukisan yang disertainya ialah Art Case Gallery (2012), Publika Art (2015) dan Nukilan Jiwaku (2015).

Katanya yang juga seorang pensyarah bahasa di Universiti Putra Malaysia (UPM), Yuri Azzari banyak menumpukan pada tema persekitaran selain menggunakan media akrilik untuk menghasilkan lukisan.

Ibu kepada lima anak itu berkata, sesuatu yang menonjol mengenai anaknya itu apabila dia sentiasa membawa bersama buku lukisan untuk membuat contengan seolah-olah ia menjadi idea kepada lukisan terbarunya.

“Ketika dia melukis, dia sangat khusyuk dan dia melukis kira-kira tiga hingga empat jam untuk menyiapkan satu lukisan, selain melukis dengan pantas.

“Apa yang saya lihat mengenai anak yang mengalami autisme, mereka memang nampak lebih cenderung kepada kerja seni seperti bermain alat muzik ataupun menghasilkan kraf,” katanya.

Menurutnya, sebagai anak sulung daripada lima beradik, Yuri Azzari tidak berbual-bual atau bermain bersama adik-beradiknya, namun ia sudah dianggap kebiasaan dan semua adiknya juga sudah cukup faham dengan keadaan itu.

Sumber: myMetro