Biskut Raya Monies Pastries & Food

Bermula dengan memperkenalkan beberapa jenis biskut seperti badam potong, semperit, almond London dan tart gulung, dia kini mampu membuktikan jika mempunyai kesungguhan pastinya perniagaan yang dilakukan akan berjaya.
 

Biarpun Ramoni Mohd Sapiei akui ada jatuh bangun dan risiko yang perlu dihadapi di dalam perniagaan, dia tidak kisah asalkan dapat merealisasikan impian bergelar usahawan.

Minatnya dalam dunia perniagaan disedari sejak zaman sekolah lagi kerana sudah mula membantu ibunya menjual kuih. Pada masa sama, dia juga mengambil upah menjual karipap dan nasi lemak di sekolah.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia bekerja di kilang. Namun, atas kesedaran untuk mengubah hidup dan menambah pendapatan berpandukan minatnya, Ramoni mencuba memulakan perniagaan biskut secara kecil-kecilan di rumah pada 1995.

Apabila permintaan daripada pelanggan semakin meningkat, dia mula mencari lokasi sesuai dan menyewa dua kedai empat tahun lalu bagi menyiapkan tempahan yang banyak terutama apabila menjelang musim perayaan.

“Biskut mula dijual ketika musim perayaan iaitu Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Ketika itu, saya masih lagi berniaga separuh masa dan kebanyakan biskut dijual kepada pelanggan hasil promosi dari mulut ke mulut.

“Pada masa sama, saya buat kajian dan pemerhatian terhadap maklum balas daripada pelanggan sekali gus cuba mengubah suai jenis biskut yang biasa dijual di pasaran untuk menampilkan kelainan di samping memenuhi cita rasa mereka,” katanya.

Gigih usaha sendiri

Melalui modal sendiri kira-kira RM800, Ramoni memasarkan sendiri semua biskutnya dalam kalangan rakan sekerja ketika itu.

Tanpa disangka permintaan yang tinggi selain dorongan daripada rakan sekerja yang menyarankan membuka perniagaan banyak membantu menambah keyakinan serta menaikkan semangatnya untuk berhenti kerja.

Tidak mahu berlengah, dia meneruskan usahanya dengan lebih gigih di dalam perniagaan biskutnya itu hinggakan kini dia mampu menyewa kedai untuk dijadikan sebagai kilang pemprosesan biskut.

Bermula dengan diri sendiri, dia mengupah tujuh pekerja dan kini memiliki hampir 40 pekerja di kilang pembuatan biskutnya itu untuk dijual secara pukal kepada pemborong.

Dia lebih suka membuka peluang perniagaan kepada generasi muda yang tidak mempunyai kelulusan tinggi untuk dididik bekerja dengan gigih.

Bina hubungan erat

“Enam tahun kebelakangan ini, saya turut membuka peluang kepada individu berminat untuk menjadi ejen biskut kami.

“Saya bersyukur kerana kehadiran ejen dalam kalangan peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta persendirian ini banyak membantu memasarkan biskut dengan lebih meluas.


“Bukan hanya memikirkan keuntungan semata-mata, saya juga akan turun padang berjumpa dengan ejen untuk memberi motivasi, nasihat serta tunjuk ajar terutama ejen persendirian bagi membantu menambah pendapatan mereka,” katanya.

Kebiasaannya, sebelum tibanya musim perayaan dia akan membuat kerja pemasaran yang dibantu ejen bagi mendapatkan maklum balas daripada pelanggan untuk memastikan biskut yang dihasilkan memenuhi cita rasa mereka.

Sentiasa mengikut perkembangan terkini, ada dalam kalangan ejen persendiriannya juga menjual produknya secara dalam talian. Pada masa sama, Ramoni turut mewujudkan paltform sendiri di laman Facebook, Monies Pastries & Food.

Menariknya, jenis biskut yang dihasilkan tidak ditambah dengan pengawet dan mengikut kehendak pelanggannya.

Disebabkan perniagaan biskut dilakukan secara bermusim, Ramoni turut menerima tempahan membuat kek atau biskut secara harian jika ada permintaan daripada pelanggannya yang akan disiapkan oleh enam pekerja tetapnya.

Biarpun dia perlu belajar sendiri pengurusan perniagaan kerana tiada pembantu, Ramoni tekad untuk memperkenalkan lagi jenamanya secara lebih meluas.

Pada masa sama, hubungan yang erat dengan ejen juga perlu diteruskan jika mahu berjaya dalam perniagaannya itu.

Perancangannya di masa akan datang, Ramoni mahu menghasilkan produk makanan berasaskan sos untuk memastikan perniagaannya sentiasa berjalan untuk menampung kos sewaan kedai.

Sumber: myMetro