Bisnes Bengkel Motosikal AMS Ashaari Motorsport

Kali pertama berkunjung ke bengkel motosikal ini, penulis agak teruja kerana berbau wangi, barangan tersusun rapi dan lantainya agak bersih berbanding tempat lain.


Manakan tidak, di sebalik kehadiran majoritinya pekerja lelaki, ada seorang wanita yang menjadi tulang belakang bagi memastikan operasi perniagaan di bengkel berkenaan berjalan lancar.

Bersama solekan sempurna di wajah, Siti Rosnah Ismail kelihatan yakin dan mempunyai pengetahuan yang luas dalam perniagaan yang dibuka bersama suaminya itu.

Sejak kecil lagi, wanita berusia 29 tahun ini sudah didedahkan dengan perniagaan. Biarpun hanya menjual kuih dan sayur ketika masih kecil, ia sedikit sebanyak menyuntik minat dalam hatinya untuk menceburi bidang berkenaan satu hari nanti.

Siti Rosnah tidak kisah apa saja bidang perniagaan yang ingin diceburi asalkan minatnya itu dapat direalisasikan apabila usianya menginjak dewasa.

Baginya, hanya minat, usaha, ilmu dan fokus menjadi perkara utama jika mahu berjaya mengecapi impian yang didambakan sejak kecil.

Azamnya untuk berniaga bukan disebabkan keuntungan saja, tetapi bidang yang boleh membantu insan lain menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Kini, Pengarah Urusan AMS Ashaari Motorsport itu mampu tersenyum bangga apabila berjaya mengharungi kepayahan dan membuka perniagaan sendiri bersama suaminya.

Dia harus berbangga dengan kesungguhannya dalam perniagaan yang kebanyakannya dipelopori lelaki itu kerana tidak ramai wanita yang sanggup bekerja di tempat panas serta dikotori minyak.

Ubah nasib

Dulu dia bekerja di farmasi sebagai pembantu jurujual selama enam tahun. Ketika itu, dia sudah mencuba pelbagai jenis perniagaan seperti menjual tudung secara sambilan.

Gaji yang diterima setiap bulan hanya cukup makan menyebabkan dia nekad untuk membuka perniagaan bagi mengubah nasib hidup keluarganya menjadi lebih baik.

Pada 2011, Siti Rosnah mula membuka bengkel sendiri di Kampung Sungai Penchala, Damansara de­ngan saiz kedai yang kecil kerana baru hendak mencuba berniaga secara kecil-kecilan.

 
Barang jualan yang terdiri daripada alat ganti motosikal pula tidak banyak dan hanya dibeli berdasarkan permintaan yang tinggi daripada pelanggan.

Pada masa sama, suaminya, Ashaari Abdul Ghafar turut menggabungkan kepakarannya sebagai mekanik motosikal.

“Suami memang mempunyai minat dan pengalaman sebagai mekanik. Niat kami hanya satu iaitu mahu mengubah nasib hidup menjadi lebih baik berbanding sebelum ini dengan berniaga.

“Kami ambil keputusan untuk membuka bengkel dengan bermodalkan duit sendiri, saya dan suami bertungkus-lumus menguruskan bengkel.

“Bayangkan kami tiada cuti kerana perlu menguruskan kedai setiap hari, apatah lagi masih belum mempunyai pekerja sendiri. Masing-masing baru mula belajar membuka kedai walaupun suami ada kepakaran dalam bidang mekanik.

“Saya pula perlu banyak belajar mengenai aksesori motosikal daripada suami kerana bidang kerjaya yang saya pernah ceburi jauh berbeza,” katanya.

Sedikit demi sedikit Siti Rosnah belajar menguruskan perniagaan termasuk perakunan, berurusan dengan pengedar hinggalah membeli alat ganti motosikal untuk bengkel berkenaan.

Biarpun mengambil masa yang agak lama, dia tidak kisah dan tanpa jemu terus belajar untuk meningkatkan ilmu mengenai motosikal. Siti Rosnah tidak pernah jemu untuk menyertai ceramah mengenai minyak dan semua perkara mengenai motosikal.

Bukan itu saja, dia juga sering mendapatkan ilmu daripada pelanggan, pekerja atau pengedar barangan motosikal, berkunjung ke acara perlawanan motosikal yang ada menempatkan tapak jualan mahupun demonstrasi berkaitan motosikal.

“Pada masa sama, saya perlu cuba memahami serta belajar sendiri mengenai motosikal dan bersyukur kerana suami banyak membantu.

“Kini, saya tahu perkara asas mengenai motosikal seperti menukar minyak hitam, mentol dan sebagainya kerana tidak jemu membantu serta melihat kerja yang dilakukan oleh suami atau pekerja,” katanya.

Apabila pelanggan semakin ramai, mereka menambah jumlah pekerja hingga 10 orang kerana dia dan suami tidak cukup tangan untuk membaiki semua kerosakan, servis dan menyediakan barangan di bengkel itu.

Mereka juga mengambil keputusan untuk membesarkan saiz bengkel dengan menyewa kedai bersebelahan bagi memberikan keselesaan kepada pekerja dan juga pelanggan.

Pada masa sama, cawangan kedua kedai jual beli barangan motosikal juga dibuka di Damansara Utama.


Hadapi cabaran dengan bijak

Siti Rosnah akui, ada kalanya dia berhadapan dengan cabaran yang menguji kesabarannya sebagai seorang wanita.

“Bukan mudah untuk saya uruskan pekerja yang kebanyakannya lelaki. Namun, saya beruntung kerana mekanik di sini tidak ambil kesempatan atas kesusahan pelanggan yang datang.

“Selain itu, ada juga pelanggan yang kurang yakin disebabkan saya perempuan. Namun, selepas berjaya meyakinkan mereka dengan jawapan bernas pada setiap soalan, akhirnya mereka berpuas hati,” katanya.

Bukan itu saja, dia juga akui agar sukar untuk mendapatkan sesetengah barangan motosikal yang diinginkan pelanggan hinggakan terpaksa pergi sendiri ke China dan Thailand.

Namun, pasangan suami isteri ini perlu berhati-hati membeli stok aksesori motosikal bagi mengelakkan penipuan kerana menjual barangan tiruan ataupun rosak.

Tidak dinafikan dalam semua bidang pasti ada persaingan dan Siti Rosnah yakin melalui perkhidmatan yang berkualiti serta baik akan membantu perniagaannya bertahan dalam tempoh lama.

“Untuk meningkatkan perkhidmatan, kami merancang untuk memberikan servis menukar minyak hitam secara percuma kepada 20 pelanggan pertama pada setiap bulan (20 haribulan).

“Kemungkinan, servis percuma itu akan bermula pada Mac nanti. Melalui cara berkenaan, saya juga dapat membantu insan yang mempunyai masalah kewangan untuk servis motor mereka.

“Selain itu, kami menyediakan perkhidmatan ‘mobile pick-up’ bagi membantu individu terutama jika ada pelanggan menghadapi kerosakan motosikal di jalan raya sekitar Lembah Klang ,” katanya.

Sumber: myMetro