Cendol Santan Sawit Taman Wira Mergong

Cuaca panas terik dan berbahang yang melanda utara Semenanjung terutama di Alor Setar, Kedah pada ketika ini, menyebabkan kedai cendol milik ibu kepada empat orang anak, Norzalela Abidin, 42, menjadi tumpuan orang ramai untuk menghilangkan dahaga.


Beroperasi di Taman Wira Mergong di Alor Setar, Cendoi Corner tidak putus-putus dikunjungi orang ramai terutama kakitangan kerajaan dan penuntut universiti yang mahu menikmati cendol pelbagai perisa di kedai itu.

Sebanyak 15 hidangan cendol dijual antaranya cendol pulut, cendol tapai, cendol tapai aiskrim, cendol nisan nipah, cendol bandung dan cendol buah pada harga antara RM2 hingga RM4.50.

Keistimewaan hidangan cendol di situ ialah menggunakan santan sawit dengan kandungan asid lemak yang lebih rendah, kurang kolesterol dan tahan lebih lama berbanding santan biasa.

Menurut Norzalela, kedai cendolnya semakin sibuk apabila jumlah pengunjung meningkat hampir dua kali ganda pada musim panas ini.

“Saya perlu tambah meja dan kerusi kerana jumlah pengunjung yang bertambah terutama pada waktu puncak antara pukul 12.30 tengah hari hingga 2 petang.

“Rata-rata yang datang mengeluh keadaan cuaca yang panas serta berbahang. Mereka mahu hilangkan dahaga dengan cendol,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dia kini mampu menjual lebih 500 mangkuk cendol sehari berbanding kira-kira 200 mangkuk sehari sebelum ini.

“Selain cendol, pengunjung juga berpeluang menikmati ais kacang, laksa, bihun sup dan mi kari," ujarnya.


Laksa

Tambah Norzalela, jumlah pelanggan dijangka semakin bertambah sekiranya cuaca panas terus berlarutan. Suhu tertinggi pernah direkodkan di Alor Setar ialah 39.1 darjah Celsius.

Penuntut Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Zawani Zulkifli, 20, berkata, dia adalah pelanggan tetap Cendoi Corner dan antara menu kegemarannya ialah cendol dan laksa.

“Setiap minggu pasti saya akan datang ke sini untuk hilangkan dahaga sambil menikmati laksa,” ujarnya.

Rakannya, Zahrah Awang Abu, 20, pula berkata, cendol dan ais kacang boleh membuatkan badan berasa lebih segar terutama pada musim panas.

“Saya dan rakan kini lebih kerap datang ke kedai cendol ini berikutan cuaca panas,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online