Gubahan Bunga Telur Nuur Collection

Gemar menghadiahkan bunga telur hasil gubahan sendiri kepada saudara mara dan rakan terdekat ketika majlis perkahwinan mahupun pertunangan menjadi detik permulaan tercetusnya idea buat dua wanita ini menceburi bidang itu dengan lebih serius.


Bagi Hapsah Husin, 50, dan menantunya, Harmini Subardi, 28, minat serta bakat dimiliki dalam menghasilkan barangan berbentuk gubahan serta hantaran menguatkan lagi semangat bagi kedua-duanya meneruskan perniagaan diusahakan.

Menurut Harmini yang tinggal bersama ibu mentuanya di Kampung Bukit Kapar, Selangor, idea mula tercetus apabila dia dan ibu mentuanya sering kali bekerjasama dalam menyiapkan bunga telur untuk dijadikan sebagai hadiah.

“Bermula dari situ, ramai yang memuji hasil kerja tangan kami terutama kreativiti ibu dalam menghasilkan gubahan bunga telur dan hantaran yang luar biasa.

“Perkara itu membuatkan semangat kami semakin membara meneruskan usaha dan minat ini dengan lebih serius,” katanya yang juga anak kelahiran Kluang, Johor.

Harmini berkata, sejak lebih dua tahun lalu dia dan ibu mentuanya menerima tempahan gubahan bunga telur, dulang hantaran dan bekas hadiah daripada rakan terdekat dan ahli keluarga sebelum ia semakin tersebar.

“Promosi dari mulut ke mulut jiran, rakan dan saudara mara ini pada hakikatnya mempunyai kuasa dan disebabkan itu semakin ramai yang mula menempah dengan kami.

“Alhamdulillah, berkat kesungguhan perniagaan berasaskan gubahan ini semakin serius bermula tahun lalu dan sambutan diterima agak menggalakkan,” ujarnya.

Fenomena bunga telur kembali

Jika dulu, bunga telur amat sinonim dengan majlis perkahwinan atau pernikahan dan ia sering kali dijadikan sebagai hadiah atau cenderahati tuan rumah kepada tetamu yang hadir.

Namun, senario itu semakin berubah dan kebanyakan tuan rumah tidak lagi memilih bunga telur untuk dijadikan hadiah.

Bagi Harmini, budaya pemberian bunga telur kepada tetamu ketika majlis pernikahan atau perkahwinan kini sudah kembali apabila semakin ramai yang menjadikannya sebagai cenderahati.

“Ia dapat dilihat apabila kami kini semakin menerima tempahan bunga telur yang menggalakkan cuma apa yang berbeza adalah daripada segi pemilihan warna dan aksesori.

“Saya dan ibu mahu pelanggan gembira dan berpuas hati dengan kerja ta­ngan kami kerana kepuasan pelanggan perkara terpenting dalam perniagaan,” ujarnya.

Harmini berkata, dalam menjalankan perniagaan itu dia perlu mencari kelainan dan keistimewaan tersendiri bagi memastikan gubahan yang dihasilkannya unik.

“Persaingan yang ada amat sengit justeru, saya dan ibu perlu cari kelainan dalam gubahan dan sentiasa berusaha membuat gubahan atau dekorasi berbeza dengan harga berpatutan.

“Saya mahu setiap produk yang kami hasilkan itu menepati kehendak pelanggan selain sentiasa memberi tawaran harga yang berpatutan,” ujarnya.


Menurut Harmini yang menjalankan perniagaan secara dalam talian atas jenama Nuur Collection, aspek pemilihan bunga dan warna tema elemen terpenting dalam gubahan yang tidak boleh diambil mudah.

“Saya dan ibu akan berbincang terlebih dahulu sebelum membeli barangan dan menyiapkan tempahan pelanggan kerana perbincangan rapi diperlukan demi mendapatkan hasil terbaik.

“Memandangkan saya mempunyai pekerjaan tetap, saya hanya membantu ibu menyiapkan tempahan pada waktu malam dan hujung minggu,” katanya yang lebih banyak menguruskan soal pemasaran produk.

Paduan usaha mentua-menantu

Seperti mana peniaga lain, kedua-dua beranak itu mengharapkan perniagaan gubahan bunga telur dijalankan membuahkan hasil.

“Apa yang kami usahakan kini adalah lebih kepada kepuasan kerana selain menjana pendapatan, saya dan ibu gembira kerana dapat melakukan perkara yang diminati.

“Dalam perniagaan ini, ibu yang banyak berkorban daripada segi masa dan tenaga kerana dia memberi sepenuh komitmen dalam menghasilkan sesuatu tempahan,” katanya.

Tambah Harmini, selain bunga telur dan hantaran, Nuur Collection turut menerima tempahan balang kaca yang berisi kuih, kacang mahupun coklat.

“Semua produk kami dijual dengan harga berpatutan dan kualiti yang baik. Saya gembira sekiranya pelanggan berpuas hati dengan hasil barangan yang ditempah.

“Saya dan ibu akan mencuba sedaya upaya mengembangkan lagi perniagaan ini dengan melakukan pelbagai rekaan terbaru dan hasil produk lain daripada yang lain,” katanya.

Semua koleksi barangan hasil kerja tangan Harmini dan Hapsah boleh didapati dengan melayari laman Facebook Nuur Collection.

Sumber: myMetro