Ikan Air Tawar Pekan Sehari Temerloh

Jika peminat mahu mendapatkan ikan air tawar, mereka dipelawa untuk berkunjung ke Pekan Sehari di Temerloh, Pahang pada pagi Ahad.


Pada musim kemarau ini, ia adalah waktu terbaik untuk membeli ikan sungai itu.

Bagaimanapun, bagi sesetengah orang luar, mereka mungkin lebih tertarik dengan gelagat penjual ikan sungai yang saling berteriak bagi menarik perhatian pembeli.

Jika fikiran membayangkan suasana seperti kebiasaan pasar malam di bandar, sudah pasti hanya kekecewaan yang dirasai kerana tiada meja, payung mahupun mesin penimbang disediakan di tapak jualan.

Cukup dengan hamparan plastik atau sesetengah peniaga menggunakan daun pisang sebagai alas, pelbagai jenis ikan sungai dilonggokkan mengikut saiz untuk dijual.

Kemarau

Penjual ikan, Abdul Rani Mohd Kasdi, 40, berkata, musim kemarau menyebabkan air sungai cetek dan memudahkan mereka untuk menangkap ikan.

“Sebab itulah, musim kemarau adalah masa yang terbaik bagi peminat ikan air tawar untuk membeli kerana harga ikan sangat murah,” kata anak kelahiran Kampung Tebal itu.

Ikan seluang, lampam, kerai, tengalan dan lampam bersaiz sederhana dilonggokkan sebanyak enam hingga tujuh ekor dan jumlahnya lebih banyak jika bersaiz kecil. Ia dijual pada harga antara RM5 hingga RM10 selonggok.

Bagaimanapun, Abdul Rani mengakui, spesies ikan sungai yang sukar diperoleh seperti tamalian atau dikenali sebagai tomoleh masih kekal iaitu sekitar RM30 sekilogram atau RM70 seekor.

“Walaupun mahal, ikan sungai ini ada peminatnya yang tersendiri dan cara masak juga mudah. Ikan tamalian ini sedap dimasak lemak cili api dicampur dengan belimbing buluh menggantikan asam keping.

“Ikan-ikan kecil pula cukup hanya digaul dengan garam dan kunyit sebelum digoreng garing,” ujarnya.

Abdul Rani menjelaskan, beliau mampu memperoleh pendapatan antara RM300 hingga RM400 seminggu pada musim panas yang disifatkan sebagai ‘keringat menahan jaring’, berbanding kurang daripada RM200 pada waktu lain.

Seorang lagi peniaga ikan sungai, Zulfadli Abdul Latif, 49, yang berasal dari Kampung Seberang, Temerloh turut mengakui, musim kemarau sebagai pembawa rezeki tambahan meskipun agak penat untuk mencari ikan.

Zulfadli yang berniaga bersama sepupunya Rohaniza Mohd. Mokhtar, 28, berkata, pembeli ikan sungai di Pekan Sehari yang dikatakan pasar pagi terpanjang di Pahang itu tidak pernah merungut tentang ikan yang dibeli kerana kualitinya memang terjamin.

“Ikan yang dijual biasanya ditangkap sehari atau dua hari sebelum Ahad. Tidak ada yang disimpan selama seminggu. Sebab itu rasa manis ikan masih ada. Itu yang menjamin kesedapan ikan walaupun hanya digoreng,” jelasnya.

[ Gambar: Astro Awani ]

Gelagat

Zulfadli yang mencari ikan sungai secara sambilan menambah, ikan yang tidak habis dijual juga tidak akan dikitar semula, sebaliknya diproses menjadi pekasam Pahang yang hanya menggunakan garam, kunyit dan asam keping.

Tambahnya, satu lagi keunikan di pasar pagi itu ialah semua ikan sungai yang dijual adalah produk siap kerana telah dibuang sisik dan disiang, sekali gus memudahkan pembeli.

Mengulas mengenai gelagat pembeli, Zulfadli berkata, ada masanya, beliau tersenyum sendiri melihat pembeli yang sukar membezakan jenis ikan kerana pada pandangan mata kasar, beberapa jenis ikan kecil itu kelihatan seakan-akan sama.

“Pernah juga beberapa kali berdebat mengenai jenis ikan kerana pembeli tidak mahu mengakui silap sebaliknya bermati-matian mempertahankan pendapat mereka.

“Mula-mula susah juga kami mahu betulkan keadaan tetapi bila sudah lihat semangatnya (pembeli), kami hanya mampu senyum kerana apa yang penting mereka beli (ikan),” ujarnya.
Sumber: Kosmo! Online