Kasut Baji Misslilyshop

Tidak lengkap rasa­nya sepasang busana tanpa dipadankan sepatu pilihan. Ada memilih kasut bertumit kerana inginkan penampilan lebih tinggi selain kasut itu sendiri yang memberikan keyakinan kepada si pemakai.


Tidak kurang pula yang memilih kasut bertutup atau tapak rata kerana lebih mudah bergerak. Apa juga pilihan anda, kasut sememangnya barangan wajib ada dan ia bukan sekadar pilihan ‘tangkap muat’ sebaliknya perlulah menepati cita rasa wanita.

Menyediakan keinginan tinggi wanita terhadap kasut yang sentiasa berubah, pemilik Misslilyshop, Siti Suhaili Ab Rahman, 27, mengorak langkah dengan menghasilkan rekaan kasut tersendiri di bawah jenama Misslilyshop.

Bagi merealisasikan impiannya ini, pengalaman mengumpul pelbagai koleksi kasut sejak remaja dijadikan penanda aras bagi memastikan kasut yang dihasilkan bukan saja memenuhi citarasa wanita, tetapi selesa dan anggun digayakan.

“Sejak remaja saya sememangnya penggemar kasut. Untuk menghasil­kan kasut yang bagus saya cuba memahami keinginan wanita dan apa yang disukai mereka. Sasaran saya ialah remaja dan wanita muda yang berkeyakinan tinggi dan aktif dengan aktiviti harian,” katanya.

Untuk itu terhasillah koleksi sandal, kasut tapak rata, baji, but dan sandal tertutup yang sememangnya mempunyai kumpulan penggemar tersendiri.

Dia yang turut menghasil­kan rekaan busana me­ngakui untuk kasut dia melakukan langkah yang sama iaitu memilih tema yang diinginkan bergantung kepada musim, kemudian membuat rekaan, memilih material dan juga warna pilihan.

“Saya amat berhati-hati dari segi pemilihan material dan warna kerana ia amat berkait rapat dengan keselesaan si pemakai. Selepas beberapa kali melakukan pengubahsuaian saya memilih fabrik kulit tiruan serta sentuhan baldu bagi memberikan penggayaan berbeza.

“Ternyata ramai pelanggan menyukainya kerana tidak melecetkan kaki, malah selesa dipakai dalam tempoh lama,” katanya yang menjalankan operasi pembuatan di China.

Selain material, ketinggian dan kelebaran tapak kasut juga perlu diberi perhatian. Untuk baji yang menjadi kesukaan ramai, tapak paling ideal ialah 1.5 inci hingga 3 inci.

Setakat ini keluaran pertama kasut baji Tilly Molly dijual hampir 5,000 pasang sejak dipasarkan. Kesukaan pelanggan terhadap kasut baji kerana ia sesuai digayakan mengikut semua acara.


Paling penting selesa dipakai kerana ia mampu mengatur langkah anda sebaik mungkin tanpa rasa takut atau kurang keyakinan diri.

Keadaan ini berbeza dengan kasut bertumit tinggi kerana tidak semua wanita mampu memakainya. Ada yang berasa kurang yakin kerana takut terjatuh.

“Saya juga banyak bertanya kepada pelanggan apakah ciri penting yang ditekankan ketika membeli kasut. Perkara pertama, selesa dan kasut tidak melecetkan kaki.

“Bagi mencapai tujuan ini, saya memastikan fabrik dipilih lembut dan tidak berpeluh serta sesuai dengan bentuk kaki seseorang,” katanya yang banyak melihat majalah dan Internet untuk mendapatkan rekaan kesukaan ramai.

Untuk keluaran kali ini, Misslilyshop menampilkan lebih 10 warna untuk satu-satu rekaan bagi memberikan pilihan kepada si pemakai.

Antara kasut yang ada di pasaran termasuk Vannesa, Eeva, Tania, Miss Kyra dan Miss Carena.

Semua koleksi kasut boleh dibeli menerusi dalam talian misslilyshop (Instagram dan Facebook) atau laman web Misslilyshop  dan juga di butik yang terletak di Bangi Sentral dan Wangsa Melawati.

Sumber: myMetro