Kerja Tangan Colorspatcheslicious

Dia akui mula meminati bidang jahitan sejak berusia 10 tahun apabila sering melihat nenek tersayang menyiapkan pakaian dan pelbagai hasil kerja tangan menjadikan wanita gigih ini tekad mahu berusaha keras menjadikan minatnya itu sesuatu yang boleh dibanggakan kelak.


Ternyata, bidang jahitan memerlukan ketelitian dan ketekunan dalam melaksanakan setiap langkah bermula daripada proses menggunting material sehinggalah siap menjadi sehelai pakaian atau produk yang dikehendaki.

Bagi Norshahida Kamaruzzaman, 31, bidang jahitan sememangnya menjadi kepuasan utama dirinya terutama apabila berjaya menyiapkan kerja seni yang diinginkan selain menepati kehendak diri dan pelanggan.

Menceritakan detik mula terbabit dalam bidang jahitan, ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, jahitan adalah jiwanya dan menjadikan dia tekad mahu serius dalam bidang terbabit.

“Bermula daripada suka-suka dan dijadikan sebagai hobi, kini saya semakin serius dan fokus dalam bidang yang saya minati ini. Syukur, kerana saya bukan sahaja berminat malah pada masa sama dikurniakan bakat semula jadi dalam seni jahitan dan menjadikan bidang ini sebagai kerjaya,” katanya.

Anak kelahiran Johor Bahru, Johor yang kini menetap di Gombak, Kuala Lumpur itu mengakui pada hakikatnya bidang jahitan tidaklah semudah disangka kerana ia memerlukan minat dan ketelitian.

“Tidak semua orang boleh menjahit terutama dalam proses menggunting kain dan mencantum sehinggalah ia siap sepenuhnya. Saya bukan sahaja menjahit, malah saya juga yang membuat lakaran dan rekaan bermulalah daripada baju, tilam serta pelbagai produk yang saya sukai “ ujarnya.

Mula dengan jahitan tangan

Wanita berjiwa kental ini mengakui dia bermula dari bawah - menyiapkan hasil kerjanya dengan jahitan tangan memandangkan ketika itu dia tidak mempunyai mesin jahit.

“Saya membesar bersama nenek dan dia adalah pencetus utama minat saya dalam bidang ini kerana nenek juga seorang tukang jahit.

“Masih segar di ingatan, antara cubaan terawal saya menjahit adalah menyiapkan selimut yang disambung menggunakan kain perca yang dipotong dengan bentuk sekata,” ujarnya sambil tersenyum mengimbas kembali kenangan itu.

Menurutnya, dia belajar menjahit dengan melihat sendiri contoh dan kerja jahitan yang dilakukan neneknya sebelum dia mencuba sendiri.

“Ketika itu, usia saya baru mencecah 10 tahun dan saya gemar mencuba membuat pelbagai barang menggunakan kain yang semuanya dijahit tangan.

“Bermula daripada itu, saya mula menyedari dunia jahitan sememangnya serasi dengan jiwa saya. Saya berusaha mempelajari bidang ini secara lebih serius hari demi hari,” katanya.

 
Norshahida berkata, ilmu dan kemahiran neneknya dipelajari satu persatu yang kemudiannya dipraktikkan sebaiknya.

Kini dia mampu tersenyum gembira kerana mempunyai kemahiran tambahan yang boleh dibanggakan.

“Bagi saya, setiap orang memerlukan satu kemahiran yang boleh digunakan bagi menjana pendapatan atau sekurang-kurangnya dapat membantu diri sendiri dalam berdepan dengan taraf kehidupan yang semakin meningkat.

“Atas faktor itu juga, saya memberanikan diri menjalankan perniagaan berasaskan jahitan supaya bakat dan kemahiran yang ada ini tidak sia-sia,” ujarnya.

Rezeki tangan seni

Menjadikan bidang itu sebagai kerjaya tetapnya kini, Norshahida yang sebelum ini berkhidmat dalam bidang pemasaran di sebuah syarikat swasta mengambil keputusan untuk berhenti bekerja bagi menumpukan sepenuh perhatiannya dalam perniagaan berasaskan jahitan dijalankannya itu.

“Saya berhenti bekerja empat tahun lalu supaya dapat lebih fokus dan serius dalam bidang ini. Syukur, pilihan yang saya lakukan ini adalah tepat kerana saya kini lebih tenang dan gembira mengusahakan perniagaan ini,” katanya.

Norshahida kini menjalankan perniagaan atas jenamanya sendiri iaitu colorspatcheslicious dengan menghasilkan pelbagai barangan yang direka dan dijahitnya sendiri seperti set tilam bayi, bantal, selimut, pelbagai jenis pakaian dan terbaru lampin bayi moden.

“Untuk berjaya dan kekal lama dalam bidang ini, saya mengamalkan disiplin diri selain mencari kelainan dalam setiap produk yang saya hasilkan.

“Saya bukan menjual produk semata-mata, tetapi lebih kepada kesenian dan kehalusan setiap produk bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan hasil yang mereka terima,” ujarnya.

Menurutnya, cabaran yang ditempuhi sepanjang berkecimpung dalam bidang itu tidaklah terlalu banyak namun saingan yang diterima daripada pengusaha produk sepertinya itu sedikit sebanyak membuatkan dia perlu lebih fokus.

“Kelebihan saya ialah semua produk yang saya jual adalah hasil kerja saya sepenuhnya. Dan saya memberi lebih tumpuan pada setiap produk itu.

“Syukur, selepas bertapak lebih empat tahun secara serius, saya berbangga kerana hasil kerja tangan ini membawa rezeki yang tidak putus untuk kami sekeluarga,” katanya.


Keluarga sumber inspirasi

Dianugerahkan seorang suami yang bukan sahaja memahami tugasnya dalam bidang diceburi malah turut sama berkongsi minat dan bakat menjadikan Norshahida amat bertuah.

“Saya selalu berbincang bersama suami dalam menghasilkan apa juga produk kerana dia juga mempunyai idea yang banyak membantu saya lebih ke hadapan.

“Selain berkongsi pendapat, saya amat bersyukur kerana suami juga memahami dan turut membantu menguruskan rumah termasuk menjaga permata hati kami yang baru berusia 13 bulan,” katanya.

Tambah Norshahida, memandangkan dia mempunyai anak yang masih kecil menyebabkan dia kini hanya menjahit atau menyiapkan tempahannya ketika anaknya tidur.

“Kebiasaannya saya menyiapkan kerja menjahit ketika waktu malam kerana kurang gangguan dan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada produk yang dihasilkan.

“Walaupun kelihatan agak mencabar kerana kini saya perlu mengendalikan anak yang masih kecil namun ia sedikit pun tidak menjadi penghalang untuk saya terus berjaya,” ujarnya.

Bagi Norshahida, tiada apa yang boleh menjadi halangan sekiranya seseorang itu mahu berjaya dalam bidang yang diceburi selain perlu mendisiplinkan diri bagi memastikan semua berjalan lancar.

“Selain suami, ibu juga sumber inspirasi kerana saya banyak berkongsi suka duka bersamanya selain dia sentiasa memberi semangat kepada saya untuk terus berjaya.

“Saya mengharapkan apa yang saya jalankan kini akan semakin menyinar dan membuktikan bidang jahitan adalah antara bidang yang unik terutama dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi dan mempunyai keistimewaan tersendiri,” katanya mengakhiri bicara.

Semua hasil kerja tangan Norshahida boleh didapati dengan melayari laman Facebook Colorspactcheslicious atau di Instagram @colorspatcheslicious dan @little_oshka.

Sumber: mymetro