Khidmat Penghantaran Bateri Kereta Murah (BKM)

Pagi itu sewaktu hendak memulakan perjalanan ke tempat kerja, Ariffuddin Jamhari, 36, beberapa kali mencuba untuk menghidupkan enjin keretanya namun tetap gagal.

Selepas mencuba dan mencuba lagi beberapa kali, enjin tersebut berjaya dihidupkan seperti biasa dan dia meneruskan perjalanan menuju ke pejabatnya yang terletak di Gombak, Selangor.

Selang beberapa minit memandu, dia terlintas untuk mengisi minyak kereta di salah sebuah stesen minyak di Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE).

Selepas selesai mengisi minyak, dia menghidupkan semula enjin keretanya namun kali ini langsung tidak berjaya dihidupkan. Hampir 15 minit mencuba, namun ia tetap tidak berjaya dan tidak langsung menunjukkan tanda-tanda untuk hidup.

Dia yang kurang arif tentang selok-belok enjin kereta tertanya-tanya apakah punca yang menyebabkan enjin keretanya gagal untuk dihidupkan setelah mengisi minyak.

Dalam keadaan cemas, dia masih sempat bertanya rakan-rakan terdekat termasuk ahli keluarga menerusi laman sosial.

Beberapa rakannya ada mengatakan kemungkinan masalah tersebut berpunca daripada bateri yang mungkin sudah kehabisan kuasa.

“Saya membuka bonet dan memeriksa sendiri selepas dicadangkan rakan-rakan.

“Kemudian saya melihat dan memeriksa bateri kering dan dalam hati terdetik mungkin bateri sudah kehabisan kuasa,” katanya.

Bantuan

Ariffudin yang menggunakan kereta miliknya itu lebih kurang dua tahun mengakui, tidak pernah menukar bateri kenderaan tersebut.

Atas bantuan seorang kenalan, Ariffudin menghubungi sebuah syarikat yang menawarkan khidmat penghantaran bateri kereta pada waktu-waktu kecemasan.

Selepas menghubungi syarikat BKM Bumi Enterprise yang beralamat di Batu 5, Jalan Gombak, Kuala Lumpur, Ariffuddin menunggu sehingga kakitangan syarikat tersebut sampai. Sekitar 40 ke 45 minit, kru BKM Bumi Enterprise tiba di lokasi keretanya tersadai.

“Perkhidmatan seperti ini sangat baik kerana ia membantu pengguna pada saat-saat diperlukan.

“Ia seharusnya dikembangkan sebagai satu kerjaya kerana masa bekerja yang fleksibel,” ujarnya.

BKM Bumi Enterprise merupakan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan pemasangan dan penghantaran bateri kereta secara mobil. BKM Bumi Enterprise turut menjual bateri pelbagai jenis bateri kereta pada harga yang berpatutan.

Pemilik dan pengasas BKM Bumi Enterprise, Ahmad Bacthiar Mansor, 39, berkata, perniagaannya itu diasaskan pada pertengahan tahun 2012 bermula secara kecil-kecilan. Menurutnya, idea asal penubuhan konsep perkhidmatan ini tercetus daripada perkongsian modal beberapa rakan.

“Di BKM, kami mempunyai pasukan-pasukan kecil yang mempunyai tanggungjawab di daerah yang ditetapkan di sekitar Lembah Klang.

“Misalnya, pasukan A akan memberi tumpuan di sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya sahaja.

“Kumpulan B pula ditugaskan untuk menjaga Serdang dan Kajang sahaja. Begitu juga dengan kumpulan-kumpulan lain yang ditempatkan di kawasan tertentu,” katanya ketika ditemui.

Menerusi sistem pembahagian lokasi dan daerah seperti ini, ia memudah dan mempercepatkan proses penghantaran bateri.

Pasaran

Buat masa ini perkhidmatan tersebut hanya meliputi sekitar Lembah Klang. Perancangan untuk membuka lebih banyak kedai dan perkhidmatan penghantaran serta pemasangan bateri di negeri-negeri lain masih dalam perancangan.

“Beri kami ruang untuk kukuhkan perniagaan di sekitar Lembah Klang sebelum membuka cawangan di lain-lain negeri,” ujar anak kelahiran Negeri Sembilan itu.

Menyentuh mengenai pasaran dan prospek permintaan pelanggan terhadap perkhidmatan yang dijalankan, Ahmad Bacthiar menjelaskan, perkhidmatan seperti itu sebenarnya tidak banyak dijalankan di negara ini. Hal ini kerana tidak ramai yang sanggup memberi komitmen dengan tugas seperti ini.

“Bukan semua orang sanggup bekerja tanpa mengira waktu dan hari yang tidak menentu.

“Namun, saya yakin perkhidmatan yang kami tawarkan masih relevan dan mampu pergi lebih jauh kerana kebanyakan kedai yang menjual bateri kereta hanya beroperasi pada waktu pejabat sahaja,” jelas bekas Inspektor Kualiti kilang Proton Shah Alam selama enam tahun itu.

Menurut Ahmad Bachtiar, pengguna yang memerlukan khidmat mereka perlu menghantar butiran seperti jenis kereta, bateri dan lokasi. Harga yang ditawarkan juga jauh lebih murah. Ia merangkumi beberapa pakej termasuklah caj penghantaran dan pemasangan.

Komitmen

Kepada seorang pekerja dan pemilik bersama BKM Bumi Enterprise, Mohd. Faizal Mohd. Nazir, 42, dia seronok melakukan tugas tersebut kerana dapat membantu pengguna.

Baginya, kerjaya sebagai penghantar bateri kereta atau runner memerlukan komitmen tinggi.

“Kita bukan sekadar menghantar bateri di lokasi, malah kita juga memasang dan memberi panduan asas tentang enjin serta alatan yang digunakan.

“Pada masa sama, kita juga memberi tunjuk ajar berkaitan manual penjagaan enjin kereta secara mudah untuk difahami,” katanya yang sudah empat tahun berkhidmat sebagai runner.

Mengulas mengenai cabaran sebagai seorang penghantar bateri kereta, Mohd. Faizal tidak menafikan banyak dugaan yang mereka lalui.

Antaranya ialah ditipu pelanggan. “Ada sesetengah pelanggan yang sudah membuat tempahan dan bersetuju, namun apabila runner tiba di lokasi, pelanggan tiada di tempat tersebut dan langsung tidak dapat dihubungi,” luah bekas juruteknik di kilang Proton Shah Alam yang mempunyai sedekad pengalaman ini.

Perkara tersebut berlaku mungkin kerana dia sudah mendapat bekalan bateri daripada pembekal lain atau disebabkan tidak suka menunggu runner.

Lazimnya, selepas pelanggan menghubungi syarikat kami, runner mengambil masa 40 minit untuk tiba di lokasi.

Sesat jalan dan tidak jumpa kawasan, keadaan cuaca yang tidak menentu serta kemalangan kecil antara lumrah yang perlu dihadapi oleh runner ketika menjalankan tugas.

Menyentuh mengenai syif bekerja, mereka bermula dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang setiap hari. Setiap pekerja diberi cuti sehari seminggu. Bagaimanapun, mereka sentiasa bersedia dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam.

Di BKM, staf yang menjadi runner juga ditugaskan untuk menjaga kedai. Setakat ini syarikat terbabit mempunyai lima orang pekerja dan bercadang untuk mengambil staf baharu pada masa akan datang.
Kesemua runner diberi latihan baik dari segi teori dan praktikal di lapangan.

Ditanya mengenai cara pembayaran perkhidmatan, pelanggan boleh membayar secara tunai atau pindahan menerusi bank.

Menurut Mohd. Faizal, antara kawasan liputan BKM ialah sebahagian besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuklah Damansara, Cheras, Sungai Buloh, Puchong, Bangi, Serdang, Shah Alam, Selangor dan beberapa kawasan terpilih.

 
Rungutan

Caj penghantaran yang dikenakan ialah antara minimum RM15 hingga maksimum RM30 bergantung pada jarak kawasan dan budi bicara kedua-dua pihak. Caj tersebut termasuk dalam harga bateri.

Menurut Mohd. Faizal, masa yang paling sibuk ialah pada hujung minggu, cuti umum dan musim perayaan.

“Secara purata, kami mendapat panggilan kerosakan 15 buah kereta sehari, manakala pelanggan yang datang ke kedai dalam tiga orang sehari,” katanya.

Menyentuh tentang rungutan pelanggan, setakat ini mereka belum pernah menerima sebarang aduan.

“Alhamdulillah, rata-rata pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan kami. Namun, ini tidak bermakna kami berpuas hati. Insya-Allah kami akan terus perbaiki mana-mana kelemahan yang ada,” ujarnya tempoh pemasangan bateri mengambil masa sekitar 10 minit sahaja.

Sumber: Kosmo! Online