Nasi Lemak Ayam Pandan Firmaz

Kesusahan hidup sejak kecil tidak mematahkan semangat Fazliza Razali, 39, sebaliknya wanita cekal itu berusaha gigih untuk keluar dari kepompong itu dan mengubah nasib keluarganya.


Meskipun dibesarkan dalam keluarga miskin dan termasuk dalam golongan asnaf, Fazliza tidak mudah putus asa kerana yakin masa depan keluarganya akan berubah suatu hari nanti.

Nama usahawan wanita dari Seremban, Negeri Sembilan itu sebelum ini tidak dikenali, namun dia mula popular selepas status yang dikongsi di laman sosial miliknya mula disebar dan dikongsi ribuan pengguna.

Kisah kecekalan dan keperitan wanita daripada keluarga asnaf yang berniaga nasi lemak sejak kecil hingga berjaya bergelar usahawan itu menjadi viral di laman sosial dan ramai yang kagum de­ngan kecekalan semangatnya.

“Saya tidak sangka status yang ditulis untuk berkongsi pengalaman hidup di laman Facebook peribadi itu menjadi viral dan kini saya terkenal dalam sekelip mata.

“Status itu bukan untuk meraih simpati atau mahu menunjuk-nunjuk tetapi sekadar luahan dan berharap ia mampu menjadi inspirasi wanita lain,” katanya.

Status berkenaan dibaca serta dikongsikan lebih 13,000 pengguna di laman sosial.

Fazliza ketika ditemui berkata, status berkenaan ditulis pada 18 Mac lalu untuk dikongsi dengan rakan bagaimana jatuh bangunnya sebagai usahawan di awal berkecimpung dalam perniagaan menjual nasi lemak.

Katanya, dia tidak menyedari status itu mendapat perhatian ramai sehinggalah salah seorang adiknya memaklumkan mengenai viral berkenaan.

“Memang terkejut kerana saya tidak pernah mendapat perhatian sebegitu. Apapun, saya menganggapnya sebagai perkara positif kerana niat saya hanya satu iaitu berkongsi pengalaman suka duka sebelum bertapak seperti hari ini,” katanya.

Sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, dia sudah dilatih untuk membantu ibu bapanya berniaga nasi lemak sejak umur tujuh tahun. Bermula sekadar pembantu di dapur, tugasnya semakin mencabar apabila umur meningkat dewasa.

“Ketika usia 15 tahun, saya ditugaskan untuk membeli santan segar setiap hari dan bangun seawal jam 4 pagi untuk mengayuh basikal ke pasar dengan ditemani seorang adik.

“Ia bukan paksaan, tetapi atas dasar tanggungjawab memandangkan ketika itu adik-beradik lain masih kecil,” katanya.

Menurut ibu kepada tiga anak dari Seremban, Negeri Sembilan itu lagi, dia adik-beradik menjalani kehidupan zaman kanak-kanak yang agak sukar di kawasan setinggan.

Kesukaran yang dihadapi itu mendorongnya untuk berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki bagi mengubah nasib keluarga.

Selepas mendirikan rumah tangga dan melahirkan anak pertama, dia terfikir untuk kembali menjual nasi lemak bagi menambahkan pendapatan keluarga. Apatah lagi ketika itu suaminya hanya bekerja di sebuah kilang dan pendapatan mereka hanya cukup-cukup makan.

Pada mulanya ibunya membantah keinginannya untuk berniaga nasi lemak kerana tidak mahu dia mengalami pengalaman dan keperitan yang sama.

Namun, selepas melihat Fazliza bersungguh-sungguh mengusahakan jualan nasi lemak, ibunya berlembut hati dan kemudian memberi sokongan penuh kepadanya.

“Saya mengikut gerak hati kerana sedar perniagaan makanan terutama nasi lemak ini mempunyai permintaan dan pasaran yang luas.

“Berkat sokongan dan usaha bersama ahli keluarga, perniagaan nasi lemak ini semakin popular dalam kalangan penduduk Seremban selain menerokai bidang baru iaitu mengeluarkan ayam pandan sejuk beku menerusi jenama Firmaz.

“Alhamdulillah, perniagaan itu semakin mendapat sambutan dan saya bercadang untuk meluaskan lagi pasaran ke seluruh negara,” katanya.


Beliau menambah, bidang perniagaan makanan tidak semudah disangka kerana ia menuntut komitmen dan kecekalan yang tinggi.

Perniagaan mempunyai jatuh bangun dan seseorang itu perlu mempunyai tekad yang kuat untuk mengharungi semua dugaan sebelum bergelar usahawan.

“Jika perasan malu masih menebal, usah sesekali menceburi bidang perniagaan terutama membabitkan perkhidmatan atau jualan makanan.

“Perasaan malu itu tidak akan bawa anda ke mana-mana dan paling mustahak, jangan mudah putus asa. Berniagalah dengan nawaitu yang baik untuk mencari rezeki halal yang diredai.

“Saya yakin, jika kita ada usaha dan kemahuan pasti tuhan akan permudahkan jalannya,” katanya mengakhiri perbualan.

Sumber: myMetro