Pendapatan RM100,000 Sebulan Usaha Niaga MLM

Sebut saja perniagaan jualan langsung atau lebih popular sebagai pemasaran pelbagai peringkat (MLM), tidak ramai yang dapat menerimanya dengan hati terbuka.


MLM sering dipandang sinis, dianggap perniagaan kelas bawahan, malah tidak kurang yang memperlekehkan cabang perniagaan yang hakikatnya mampu melahirkan ramai jutawan senyap di negara ini sejak puluhan tahun lalu.

Langkah penulis ke PICC, Putrajaya, Sabtu lalu asalnya sekadar mahu mendengar pengalaman tiga beradik ini yang mengusahakan perniagaan bidang jualan langsung bersama-sama sebagai satu keluarga.

Namun tidak disangka, perkongsian kisah mereka jadi lebih menarik lantaran tiga beradik berasal dari Johor Bahru, Johor ini sebenarnya antara usahawan MLM syarikat berkenaan yang meraih pendapatan kira-kira RM100,000 sebulan.

Cabaran RM10k

Tentangan suami yang cukup hebat kira-kira lima tahun lalu tidak mungkin dilupakan Wan Masri Haida Wan Ismail.

Dicabar suami menghasilkan RM10,000 sebulan, Wan Masri Haida, 39, yang mesra disapa Mas ini tahu, cabaran itu bukan saja harus disambut, malah dia mahu membuktikan kepada suami bahawa perniagaan jualan langsung juga mampu menjana pendapatan hebat.

Suaminya, Muhammad Farid Yahya yang berkhidmat sebagai jurutera dengan pendapatan kukuh memang tidak pernah percaya pada perniagaan sedemikian, apatah lagi Mas sendiri tidak memiliki latar belakang perniagaan.

Selepas menamatkan kerjayanya sebagai pramugari pada 2003, dia menjadi suri rumah sepenuh masa, melayan hal ehwal rumah tangga dan membesarkan empat orang anak.

“Saya hanya suri rumah, pelajaran pun tak tinggi setakat STPM, tetapi saya minta suami beri saya peluang untuk membuktikan kredibiliti saya mencapai sesuatu. Pada bulan ke-10 menjalankan perniagaan MLM, saya memperoleh RM11,000 dan sejak itu, suami meletakkan kepercayaan penuh pada saya untuk terus mengusahakan perniagaan ini,” katanya.

Mas sendiri tidak pernah dan tidak minat berniaga, namun niat asalnya sekadar mahu berkongsi dengan rakan mengenai produk suplemen yang mampu menurunkan berat badannya sehingga 15 kilogram dalam masa tiga bulan.

Dialah testimoni kepada produk jualannya dan pada masa sama, tentu sekali dia berusaha berlipat kali ganda melaksanakan perniagaan yang diperkenalkan oleh adiknya, Wan Shahril Anuar dan Wan Mohd Shukri itu.

Tiga tahun di syarikat berkenaan dengan pendapatannya kira-kira RM60,000 sebulan, Mas mencuba pula syarikat lain pada April 2014 dengan menumpukan usaha perniagaannya pada produk pati mineral yang diiktiraf keluarannya di peringkat antarabangsa.

“Produk ini saya berikan pada ibu yang mempunyai penyakit darah tinggi dan dalam masa sebulan, paras darahnya semakin normal, malah doktor pun menyuruh saya terus memberikan ibu pati mineral ini.

“Tiga daripada empat anak saya pula menghidap semput dan produk ini jugalah yang saya berikan pada mereka. Alhamdululillah keadaan mereka bertambah baik lantas ini menguatkan lagi keyakinan saya untuk menjalankan perniagaan ini,” katanya.

Menjadi salah seorang usahawan perintis anak syarikat terbabit di selatan tanah air, jualannya hanya sekitar RM800 pada bulan pertama, namun ia meningkat bulan demi bulan sehinggalah pada akhir tahun pertama jualannya mencecah RM700,000.

Dalam tempoh setahun enam bulan saja, dia berjaya mengumpul pendapatan RM1.5 juta.

“Saya tidak pernah terbayang langsung untuk meraih pendapatan sedemikian dalam tempoh yang sangat pantas. Saya akui saya memang terlalu fokus pada perniagaan ini sebab rasanya saya tak pernah tak bercakap mengenai produk ini.

“Pada masa sama, semua ini tidak mungkin tercapai jika saya tidak turun padang dan mendekatkan hubungan dengan rangkaian. Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dan mahu membabitkan diri lebih jauh dalam bidang ini, letakkan diri anda sebagai pemimpin bukannya pengikut.

“Apabila kita pula takut untuk menjadi pemimpin, perniagaan kita berada di takuk lama saja sedangkan kita harus berani mencuba sesuatu yang mungkin kita anggap di luar kemampuan kita,” katanya.

Daripada pemandu kren kepada jutawan

Wan Shahril Anuar, 36, yang merantau ke ibu kota sejak usia 20-an, pernah dihimpit kepayahan hidup yang sangat menguji kesabaran, namun jika dia juga kecundang bersama dugaan itu, barangkali dia tidak berada pada kedudukannya kini.


“Memang sangat perit kena halau dari rumah sewa pada waktu malam pula ketika itu, kereta kena tarik pihak bank, malah hendak makan pun tak berduit.

“Waktu itulah saya makan nasi lemak berkongsi dengan adik saya (Wan Mohd Shukri) dan adakalanya waktu pagi saya makan roti canai sekeping, malam pun makan roti canai sekeping saja,” katanya mengimbau kenangan kesusahannya kira-kira tujuh tahun lalu.

Perniagaannya merudum ketika itu, malah dia akui terpaksa bergantung kepada pendapatan isteri lebih setahun.

Lebih sedih sewaktu isterinya mahu bersalin anak pertama, Shahril hanya ada puluhan ringgit saja di dalam saku lantas dengan seribu perasaan yang tidak mungkin digambarkan, terpaksalah dia menggadaikan gelang isteri untuk membayar kos perubatan.

“Biar apa saja dugaan yang melanda, saya hanya berpegang pada satu, rezeki kita ini Allah yang beri, bukannya majikan atau orang lain. Ingat pada Allah dan Allah akan ingat pada kita. Yakin 100 peratus segalanya datang daripada Allah SWT.

“Dulu saya juga bimbang hendak mempunyai anak sebab takut rezeki tak cukup untuk menyara mereka, tetapi usah lupa, Allah yang menentukan segalanya, begitu juga rezeki kita dan keluarga,” katanya.

Pernah bekerja sebagai pemandu kren di Pelabuhan Tanjung Pelepas dengan gaji RM1,800 sebulan, Shahril akui pembabitannya dalam syarikat MLM bukanlah baru.

Menceburi pelbagai syarikat MLM sejak berbelas tahun lalu, namun hasilnya tidak menjadi sebelum akhirnya bertemu dengan syarikat terkini. Di syarikat inilah yang membariskan dirinya antara usahawan yang menjana 10 pendapatan tertinggi syarikat berkenaan.

“Sejak darjah dua atau tiga, saya suka berniaga, waktu itu menolong orang lain berniaga. Memang sejak kecil pun saya sudah bercita-cita hendak menjadi ahli perniagaan.

“Waktu berusia 20 tahun saya mula menceburi bidang perniagaan MLM lagipun waktu itu modal rendah saja kira-kira RM90. Cuma jika kita tidak tahu teknik yang betul untuk berjaya, memanglah kita gagal.

“Bermula daripada kegagalan itulah yang mendorong saya untuk mencari jalan hendak berjaya. Saya pula gemar membeli buku motivasi untuk berjaya dan pada masa sama, saya dan Shukri memang pantang nampak orang yang berjaya.

“Kami terus bertanyakan mereka cara untuk berjaya dan salah seorang daripada mereka ialah biras kakak kami (Wan Masri Haida) yang berjaya dalam perniagaan MLMnya ketika itu,” katanya yang juga pernah menjalankan perniagaan konvensional selain MLM.

Sama seperti kakaknya yang tidak pernah terfikir untuk meraih pendapatan sedemikian rupa, Shahril mengakui, kejayaan tidak datang bergolek, sebaliknya ia harus disertai ilmu, usaha untuk memperbaiki diri serta kesungguhan yang tidak berbelah-bahagi sehingga kejayaan akhirnya hadir di depan mata.

Doa ibu

Wan Mohd Shukri, 34, menyifatkan pembabitan dalam bidang perniagaan MLM seharusnya disertai dengan usaha mengkaji selidik latar belakang sesuatu syarikat itu terlebih dulu.

“Jika kita sendiri tidak tahu mengenai syarikat berkenaan, orang mudah menuduh kita menipu. Apatah lagi ramai yang tertipu dengan skim cepat kaya yang bertopengkan syarikat MLM dan pelbagai jenis perniagaan lain.

“Ramai juga beranggapan negatif mengenai perniagaan MLM yang dikatakan susah untuk mencari orang lain untuk menjadi ahli, perniagaan ini hanya menipu dan bermacam kata-kata negatif lain. Namun semua itu tak seharusnya mematahkan semangat dan usaha kita.

“Kita sendiri harus bijak mencari syarikat yang benar-benar kukuh, juga mengkaji pelan pemasaran syarikat yang memudahkan kita menjalankan perniagaan ini.

“Malah mereka yang tiada modal memang sebaiknya menyertai MLM kerana tidak perlu bersusah payah mengeluarkan produk sendiri.

“Kita hanya menjual produk orang lain tetapi ia harus disertai usaha bersungguh-sungguh dan yakin dengan kesungguhan kita itu,” katanya.

Pada peringkat awal, Shukri akui tiada masa untuk dia dan adik-beradiknya berehat kerana perniagaan itu juga membawa mereka sehingga ke Indonesia untuk mengembangkan rangkaian.

Namun usaha mereka amat berbaloi malah kini, Shukri dan isterinya bakal melancarkan produk penjagaan kulit keluaran sendiri Mac ini dan lebih manis, 100 peratus modalnya datang daripada perniagaan MLM.

“Bagi kami adik-beradik, tiada istilah kami hebat kerana segala rezeki ini Allah yang menentukannya. Kami sendiri bukanlah golongan terpelajar, saya belajar setakat SPM, begitu juga abang saya tetapi paling penting kita harus ada matlamat dalam perniagaan biarpun gagal berulang kali.

“Gagal bukan bermakna Allah tidak sayangkan kita sebaliknya Allah memberi peluang kepada kita untuk berjaya dengan lebih baik.

“Pada masa sama, usah lupa pada ibu yang selama ini ada di sisi kita. Ramai antara kita yang hanya bertemu atau minta maaf pada ibu setahun sekali saja.

“Dalam perniagaan ini, tentu sekali kita harus berusaha dan tawakal, namun usah lupa, doa ibu untuk kita mengharungi apa jua cabaran dan rintangan dalam kehidupan ini,” katanya yang dinobatkan sebagai usahawan yang meraih pendapatan tertinggi (RM1.3 juta setahun) pada majlis penganugerahan syarikat berkenaan.

Sumber: myMetro