Penggendong Bayi Neat Baby Carrier by NeezaNeedles

Penggendong bayi memberi kebebasan tangan untuk ibu atau bapa membawa bayi, dengan bonus mendekatkan hubungan bayi dengan mereka.


Pilihan penggendong bayi juga bergantung kepada keperluan masing-masing. Terdapat pelbagai jenis penggendong bayi di pasaran dengan pelbagai fungsi dan tujuan.

Sebagai contoh, penggendong belakang bagus untuk ibu bapa yang mahu ke tempat yang agak sukar dilalui dengan menggunakan kereta sorong bayi seperti trek gunung mahu pun ke pasar.

Dan sudah tentu penggendong depan dapat digunakan lebih daripada sekadar pengangkutan, tetapi juga untuk kemudahan ibu melakukan kerja rumah mahupun menenangkan bayi yang meragam.

Penggendong bayi juga terdapat dalam bentuk anduh atau kain selempang dan cara yang baik untuk mendukung bayi ke mana-mana, namun penting untuk mengetahui cara yang betul dan selamat untuk meletakkan bayi di dalamnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat inovasi dalam pembuatan penggendong bayi yang lebih ergonomik, selamat dan selesa untuk ibu dan bayi.

Hampir semua penggendong bayi berfungsi meletakkan bayi dalam kedudukan menegak. Ada yang direka seperti beg galas dan bertali, supaya pelarasan boleh dibuat dengan mudah dan anda boleh berasa lebih yakin penggendong diletakkan pada kedudukan yang betul pada badan.

Pengusaha penggendong bayi dalam talian Neat Baby Carrier by NeezaNeedles, Neeza Zaini berkata, faktor keselesaan dan keselamatan ibu bapa dan bayi memainkan peranan penting dalam pembuatan produk itu.

Katanya, pengalaman memakai penggendong bayi yang tidak ergonomik hingga menyebabkan kesakitan pada bahagian belakang pinggang menjadi titik tolak dalam penghasilan penggendong bayi untuk kegunaannya sendiri.

“Saya mula menjahit sendiri penggendong bayi pada 2010 selepas melahirkan anak kedua. Ketika itu, tidak banyak produk yang ada semua ciri yang saya inginkan di pasaran, jika ada pun yang diimport dari luar negara dan amat mahal.

“Saya mencari maklumat melalui Internet dan ambil contoh beberapa jenama luar yang pakar dalam pembuatan peng­gendong bayi selain belajar buat sendiri melalui laman Baby­wearing International yang memberi pelbagai maklumat mengenai fabrik dan bahan berkualiti yang digunakan.

“Selepas mendapat gambaran dan mencuba sendiri, nampak seperti boleh dipakai. Saya perbaiki apa yang silap atau tidak kena hingga saya dan anak berasa selesa dan selamat memakai­nya,” katanya.

Penggendong bayi pertama yang disiapkan dan dipakai Neeza dipaparkan menerusi blognya dan dari situ ramai yang berminat untuk mendapatkan pengendong bayi buatannya.

Neeza mula serius dalam bidang itu selepas produknya semakin mendapat tempat di pasaran dalam talian dan nekad menamatkan jawatannya sebagai pegawai sains bagi memberi sepenuh perhatian terhadap perniagaannya.


Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, bagi menjamin keselamatan dan keselesaan produk dihasilkan, kebanyakan bahan yang diguna diimport dari luar negara manakala fabrik digunakan diperbuat daripada 100 peratus kapas.

“Fabrik pula saya import dari Amerika Syarikat kerana mahu kelainan dari segi corak. Produk yang saya tawarkan sama ada sedia dipakai atau pelanggan boleh menambah ciri tertentu seperti poket,” katanya.

Neeza turut memiliki sijil daripada Die Trageshule iaitu antara sekolah ‘babywearing’ Jerman bagi melayakkannya diiktiraf sebagai perunding baby­wearing.

Penggendong bayi Neat Baby Carrier didatangkan dalam tiga saiz iaitu standard untuk bayi berusia antara tiga bulan hingga dua tahun, bayi setahun hingga tiga tahun dan saiz besar bagi kanak-kanak prasekolah.

Neat Baby Carrier boleh dipakai dengan tiga cara iaitu depan, pinggang dan belakang.

Harga ditawarkan antara RM300 hingga RM400 bergantung kepada jenis dan fungsi yang disediakan manakala tambahan RM10 untuk beg penyimpanan bercorak sama dengan panel peng­gendong.

Pilihan pengendong terbahagi kepada tiga iaitu Neat SSC (penggendong struktur lembut), Neatai (Mei Tai) dan Neat Sling (gelung anduh).

Neat Baby Carrier boleh didapati menerusi Facebook dan Instagram neezaneedles atau laman web NeezaNeedles.

Sumber: myMetro