Pusat Kecantikan Nu-della Shah Alam

Selain sering sibuk melaksanakan tugasan harian di rumah mahupun pejabat, ramai antara wanita kini yang sering mengabaikan soal penjagaan diri atas alasan kekurangan masa atau rasa janggal melakukannya.


Hakikatnya, bergelar seorang wanita bukan saja perlu cantik dari luar, malah lebih penting penjagaan kecantikan dan kesihatan dalaman.

Petua serta amalan nenek moyang seperti bertungku, bertangas, urutan dan lulur sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri pada tubuh serta organ dalaman.

Berkunjung ke pusat kecantikan atau mengadakan temu janji dengan terapi bertauliah untuk memanjakan diri mempunyai 1,001 kebaikannya khusus untuk kecantikan dan kesihatan berpanjangan.

Menyedari kelebihan amalan tradisional dalam aspek penjagaan diri, Pusat Kecantikan Nu-della Shah Alam menitikberatkan aspek penjagaan dalaman wanita bagi memberikan hasil terbaik.

Pelbagai rawatan tradisional dan pakej disediakan dengan tawaran harga berpatutan sekali gus membantu wanita untuk tampil cantik dan sihat secara semula jadi.

Menurut pemilik pusat kecantikan terbabit, Saripah Md Dawal, pihaknya menyediakan semua rawatan dan pakej lengkap untuk wanita bermula dari rambut sehingga ke hujung kaki khusus menggunakan rawatan tradisional.

“Selain pakej raja sehari yang didatangkan dengan rawatan tradisional, keistimewaan kami ialah rawatan bertangas dan bertungku.

“Amalan ini dilakukan wanita bukan hanya selepas bersalin, malah diamalkan secara rutin untuk mengekalkan kesihatan dan kesegaran tubuh badan,” katanya.

Saripah berkata, tanggapan ramai wanita yang menganggap bertangas hanya sesuai dilakukan wanita berkahwin ternyata salah.

“Lebih menyedihkan apabila sebahagian wanita muda ketika ini tidak tahu atau menyedari kelebihan amalan yang diwarisi nenek moyang sejak berabad lalu.

“Tangas dan bertungku ialah amalan penjagaan kesihatan keseluruhan tubuh badan dan bukan hanya tertumpu kepada penjagaan bahagian sulit semata-mata,” ujarnya.

Menurut Saripah, amalan ini dapat membantu wanita mengatasi masalah keletihan, berat badan berlebihan, mengecutkan urat badan dan membuang angin dalam badan kerana bertangas akan mengeluarkan peluh dan menyebabkan toksin keluar dari badan.


“Bagi ibu bersalin, ia juga dapat membantu proses penyembuhan serta kemutan faraj dan rahim.

“Namun bagi wanita yang belum berkahwin, bertangas mampu menghilangkan pelbagai masalah wanita khususnya dalam penjagaan kesihatan dan kebersihan diri,” katanya.

Saripah yang menjalankan perniagaan pusat kecantikan itu sejak 2011 berkata, tangas dan tungku sesuai dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.

“Kami menyediakan tempat dan kerusi tangas khusus dan batu tungku khas yang membantu memberikan keselesaan kepada pelanggan ketika melakukannya.

“Suhu serta kepanasan wap tangas itu juga diletakkan dalam suhu sesuai iaitu tidak terlalu panas juga tidak terlalu sejuk, namun ia turut bergantung kepada daya tahan pelanggan,” ujarnya.

Tambah Saripah yang menjalankan perniagaannya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, selain menyediakan rawatan bertangas, ia turut mempunyai pelbagai pilihan rawatan sama seperti pusat kecantikan lain.

“Namun, tangas, tungku dan urutan antara rawatan terbaik kami kerana dengan gabungan herba khas yang disediakan, pastinya ia memberi kepuasan kepada pelanggan selepas melakukan rawatan ini,”katanya.

Sumber: myMetro