Sambal Pahang dan Jus Salak Ezus

Minat serta kebolehan menghasilkan produk makanan menjadi pendorong kuat kepada wanita kampung ini muncul sebagai usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) dengan menghasilkan empat produk makanan.


Bermula dengan jus buah salak sembilan tahun lalu, dia kini terus mengorak langkah apabila menghasilkan tiga produk baru iaitu sambal Pahang, mi sanggul dan mi kuning dengan jenama Ezus.

Selepas mengharungi pelbagai cabaran dalam perniagaan, Zainab Umar, 54, anak jati Kampung Kuala Medang, Lipis itu kini mampu berbangga muncul antara usahawan berjaya sehingga menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Peladang Jaya Kebangsaan Kategori Minuman Buah Tempatan 2011.

Beliau berkata, peringkat awal pembabitannya dalam industri pembuatan jus salak ialah untuk membantu menambahkan pendapatan masyarakat setempat terutama mereka yang terbabit dengan tanaman pokok salak.

Menurutnya, sebelum ini terdapat lebih 50 penduduk Kampung Kuala Medang dan Kampung Kuala Serau, Lipis mengusahakan tanaman pokok salak secara sampingan membabitkan pokok salak jenis tempatan, Sabah dan Indonesia.

“Sebelum ini kejadian lambakan buah salak berlaku hampir setiap tahun namun kini berlaku sebaliknya apabila kebun pokok berkenaan diganti dengan tanaman seperti getah dan sawit.

“Kini untuk menghasilkan jus buah salak saya terpaksa mendapatkan bekalan daripada beberapa pembekal, namun jumlahnya begitu berkurangan, Faktor berkenaan menyebabkan pengeluaran minuman terbabit semakin terhad,” katanya.

Zainab berkata, bagi meneruskan minat dalam bidang perniagaan makanan dia kini terus melangkah ke hadapan dengan menghasilkan tiga produk baru iaitu sambal Pahang, mi sanggul dan mi kuning.

Sokongan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian negeri, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) seolah-olah memberi kekuatan baru kepadanya.

Bantuan peralatan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKW) dibawah projek Desa Lestari memberi lebih peluang kepadanya melangkah lebih jauh dalam industri pembuatan makanan dengan sijil halal.

Zainab yang turut terbabit dengan perniagaan katering berkata, setiap bulan dia menghasilkan lebih 3,120 botol sambal Pahang atau sambal hitam untuk pasaran tempatan termasuk beberapa negeri yang diedarkan oleh pasar raya tertentu.

Beliau berkata, bengkelnya di bangunan IKS Kampung Kuala Medang turut menghasilkan kira-kira 1,600 peket mi sanggul dan 1,800 bungkus mi kuning setiap bulan.

Setiap bulan dia mampu menghasilkan antara 250 hingga 300 botol jus buah salak bergantung pada bekalan buah yang diterima daripada pekebun di Kampung Kuala Medang dan Kampung Kuala Serau termasuk beberapa individu di Raub dan Jerantut.

Menurutnya lagi, Kampung Kuala Medang yang terkenal dengan destinasi pelancongan terkenal di negara ini dengan pelbagai produk seperti program enap desa dan menyusuri sungai menambahkan lagi aktiviti perniagaannya.

“Pelancong tempatan dan asing yang datang ke Kuala Medang pasti akan singgah ke bengkelnya melihat operasi harian sambil membeli pelbagai produk sebagai buah tangan pulang.

“Bengkel saya beroperasi setiap minggu menggunakan enam pekerja wanita terdiri daripada penduduk kampung, kami bekerja dalam satu kumpulan bermula sembilan pagi hingga lima petang.

“Setiap kali karnival IKS anjuran agensi kerajaan saya bersama dua pekerja akan mengadakan promosi jualan, ternyata sambutan terhadap produk saya begitu menggalakkan daripada pengguna semua bangsa.


“Sijil halal pada semua produk saya ternyata menambahkan lagi keyakinan pengguna Muslim untuk menggunakannya tanpa rasa curiga,” katanya yang turut bernaung di bawah Koperasi Desa Kuala Medang (KOMDA).

Zainab berkata, untuk memenuhi permintaan produknya yang semakin bertambah dia kini dalam proses menambahkan seunit lagi mesin memproses sambal Pahang yang berharga lebih RM10,000.

Katanya, untuk bersaing dalam pasaran tempatan dia perlu menambah jumlah pengeluaran selain mempergiatkan lagi aktiviti promosi kerana dengan cara itu pengguna akan lebih mengenalinya.

Sumber: myMetro