Sejadah Elmira Sejadah Gebu

Seperti telekung, sejadah juga tidak ketinggalan untuk dijadikan antara barangan hantaran yang menarik buat pasangan pengantin. Selain digunakan sebagai pelapik ketika mendirikan solat, sejadah sering dijadikan cenderahati untuk pelbagai majlis.

 

Menyedari kepentingan sejadah yang selesa untuk keperluan sesetengah warga tua yang mengalami sakit lutut, Sejadah Elmira muncul memenuhi keperluan golongan itu kerana ia didatangkan dengan span yang empuk dan gebu setebal satu inci untuk menyokong tulang lutut pengguna.

Menurut pengusaha Sejadah Elmira, Nor Izzati Amalina Zamri, kelebihan sejadah itu juga ia boleh dibasuh kerana terdapat zip untuk mengeluarkan span sebelum membasuhnya.

Katanya, dengan membangunkan industri sejadah, dia dapat menghasilkan motif berdasarkan elemen yang mencerminkan kebudayaan negara kita sendiri sebagai contoh masjid indah.

“Keluaran pertama Sejadah Elmira, kami gunakan motif masjid besi Putrajaya untuk membawa imej Malaysia.

“Elmira dalam bahasa Arab bermaksud permaisuri. Maka, sejadah Elmira sangat sesuai dihadiahkan kepada permaisuri hati sama ada ibu, isteri, mentua, sahabat dan sebagai hadiah korporat.

“Koleksi Elmira sejadah terdapat dalam lapan warna seperti, merah jambu, putih, hitam, biru, hijau, emas, kelabu dan ungu. Saya juga memilih motif polos untuk menimbulkan ketenangan dan membuat kita lebih fokus dalam solat,” katanya.

Menyingkap idea yang tercetus dalam penghasilan sejadah itu, Nor Izzati berkata, dia mengumpul modal perniagaan selepas graduasi dengan menjadi perunding perkahwinan secara sambilan selain membantu rakan memilih tema perkahwinan dan lokasi mengikut bajet masing-masing.

Dari situ katanya, pandangannya terhadap perniagaan semakin mendalam sehingga suatu hari dia menghadiri majlis perkahwinan kawannya yang juga seorang anak kenamaan.

“Majlis itu bertemakan merah jambu. Semua perhiasan dan hantaran berwarna merah jambu termasuk sejadah hantaran. Rupanya, sejadah itu ditempah khas di luar negara dan berharga ribuan ringgit. Dari situ saya mendapat idea untuk membuat sejadah di negara kita sendiri.

“Tambahan pula, industri sejadah negara kita dimonopoli warga asing. Alangkah indahnya jika kita sendiri membangunkan industri ini untuk rakyat negara ini,” katanya.

Wanita berusia 23 tahun ini berkata, sejadah Elmira sangat ekslusif kerana setiap sejadah didatangkan dengan kad jaminan asli iaitu kad berukiran emas yang ditempah khas dari Hong Kong dan mempunyai nombor siri.

Nombor siri itu melayakkan pemilik sejadah terbabit mendapat cabutan bertuah yang menawarkan pakej umrah ataupun kepingan emas apabila cabutan dijalankan.

Katanya, sejadah Elmira didatangkan dengan dua beg iaitu beg lutsinar candy dan kotak hadiah premium untuk memudahkan dibawa ke mana-mana.


“Sejadah bergantung kepada corak, warna dan rekaan berharga serendah RM250 hingga RM3,000 sehelai.

“Sejadah premium berharga RM3,000 setakat ini hanya terdapat dalam dua warna iaitu putih dan hitam. Sejadah ini dihiasi dengan rekaan bunga dan manik labuci serta ukiran emas atau perak mengikut tempahan pelanggan dan didatangkan dalam kotak khas.

“Material yang kami gunakan berkualiti tinggi diimport dari Bangkok, Thailand manakala dijahit dalam negara oleh tukang jahit tempatan terdiri daripada tukang jahit Giat MARA, ibu tunggal dan suri rumah yang menjahit di rumah masing-masing,” katanya.

Sejadah Premium RM3,000 biasanya ditempah syarikat atau individu untuk dihadiahkan kepada pegawai tinggi yang bersara, bertukar jabatan, dibeli golongan kenamaan dan sering dijadikan hadiah hantaran perkahwinan.

Lebih menarik dengan pembelian sejadah premium ini, pelanggan akan mendapat pakej minum petang di sebuah banglo persendirian di Shah Alam dan pemilik sejadah juga boleh membawa 10 rakan atau ahli keluarga untuk menikmati minum petang itu.

“Kami juga membuka peluang rakan kongsi bermodal serendah RM500 untuk sama-sama berkongsi rezeki bagi mereka yang ingin menjana pendapatan sampingan.

“Pada masa akan datang, kami merangka untuk menghasilkan telekung di bawah jenama Elmira Telekung Premium dan membuka cawangan butik di Medan Mara, Kuala Lumpur.

“Saya berharap projek sejadah ini akan mencetuskan fenomena di dalam industri tekstil negara dan mendapat sokongan semua pihak,” katanya.

Mereka yang berminat mendapatkan sejadah Elmira boleh mendapatkannya melalui laman Facebok Elmira Sejadah Malaysia atau Instagram Elmira_Sejadah.

Sumber: myMetro