Spa Bergerak Kampung Kepayang Ipoh Perak

Memanjakan diri dengan rawatan wajah dan badan mampu menenangkan fikiran dan mengembalikan kesegaran sekali gus mengurangkan tekanan selepas seharian bekerja.

Rata-rata wanita pasti menginginkan layanan bak permaisuri dengan belaian urutan badan, sauna, merias kuku mahupun rawatan wajah, namun bagi wanita bekerja terpaksa membahagikan masa antara kerjaya, rumah tangga dan keluarga hingga adakalanya tiada masa untuk diri sendiri.

Jika ada masa sekali pun, mereka terpaksa memendam saja hasrat itu kerana perlu menumpukan perhatian kepada anak dan keluarga keran mungkin agak mustahil untuk membawa anak bersama ke pusat spa.

Justeru tidak hairan mengapa spa bergerak semakin diminati wanita terutama ibu berkerjaya kerana mereka bebas memilih waktu yang sesuai untuk juruterapi ke rumah tanpa perlu memikirkan kesukaran mengusung anak mereka bersama.

Alasan sibuk dan kesuntukan masa untuk ke spa menjadikan khidmat spa bergerak semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia menambah kemeriahan perkhidmatan spa bergerak yang kini umpama cendawan tumbuh selepas hujan bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Pengusaha spa bergerak Nur Azliza Mohd Said berkata, menyelesaikan masalah wanita dengan memberi perkhidmatan setaraf pusat spa lima bintang menjadi keutamaannya sejak memperkenalkan khidmat itu di sekitar Ipoh, Perak tahun lalu.

Katanya, jika di kota besar seperti Kuala Lumpur industri spa bergerak sudah menjadi kebiasaan buat warga kota, permintaan terhadap khidmat itu di sekitar Perak juga semakin mendapat tempat menyebabkan dia menambah perkhidmatan itu selepas setahun mengusahakan spa di rumah.

“Memikirkan ramai wanita yang mempunyai pekerjaan tidak menentu , masa terhad serta kerjaya yang menggunakan masa agak panjang, saya terpanggil untuk menyediakan perkhidmatan ini.

“Pelanggan saya kebanyakannya wanita bekerja yang sering mengeluh keletihan namun berdepan kekangan masa untuk datang ke spa secara kerap bagi mendapatkan khidmat rawatan yang mereka perlukan.

“Apabila semakin banyak permintaan, saya membuat keputusan untuk mengembangkan perkhidmatan spa ke rumah pelanggan.

“Sejak memulakannya tahun lalu, permintaan semakin meningkat,” katanya yang menekankan prinsip kecantikan dan kesihatan adalah lambang wanita.

Wanita berusia 43 tahun ini berkata, di samping memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan melalui penjagaan kesihatan dan kecantikan, perkhidmatan spa dari rumah ke rumah juga membolehkannya menjalinkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Spa diusahakan sepenuhnya oleh Nur Azliza bergerak di sekitar Ipoh, Batu Gajah , Tambun , Jelapang dan Chemor, Perak, namun, sekiranya terdapat tempahan yang melebihi kemampuannya, dia akan mendapatkan bantuan rakan juruterapi yang turut mempunyai pengalaman dalam industri spa.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk sauna, mandi lulur, rawatan resdung tanpa asap, urutan badan, rendaman kaki serta cucian rambut dan urut selepas bersalin.

Menariknya, rawatan yang disediakan Nur Azliza mengenakan harga berpatutan serendah RM20 hingga RM300 saja manakala keunikan spa ini menggunakan 100 peratus produk gamat dari hujung rambut hingga hujung kaki.

“Setiap rawatan yang disediakan, pelanggan akan dapat merasakan perubahan seperti selepas urutan rawatan resdung, ada sesetengan pelanggan yang mempunyai masalah mendapati masalah itu dapat diatasi dan ada juga masalah pening kepala hilang serta-merta. Ini antara kesan positif serta kelebihan menggunakan produk semula jadi.


“Dalam menjalankan spa ini, saya akan memastikan khidmat ini tidak hanya untuk luaran tapi juga dalaman. Dari segi masa perkhidmatan pula, saya sentiasa melebihkan waktu standard tanpa caj tambahan. Pelanggan juga boleh mendapatkan khidmat ekstra tanpa caj.

“Biasanya rawatan yang sering mendapat permintaan, urutan badan dan rawatan resdung tanpa asap. Rawatan resdung tanpa asap misalnya, sering ditempah pelanggan kerana mereka menyukai konsepnya yang bebas asap.

“Cara yang saya gunakan adalah teknik wap wajah yang mana pelanggan diminta menyelubung kepala dengan tuala bersih di atas sebekas besen berisi air panas dan produk khas selama 15 minit. Ia bukan saja merangsang pembuangan kotoran dan lendir dari hidung, pada masa sama turut membuka liang pora wajah untuk memudahkan pengeluaran bakteria resdung.

“Langkah seterusnya sejenis gel khas disapu di sekitar muka dan proses mengeluarkan ‘ulat’ resdung dilakukan dengan urutan pada wajah sebelum membersihkan semua kekotoran,” katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata lelaki ini berkata, sepanjang menguruskan perkhidmatan itu pasti tidak terlepas cabaran dan dugaan. Antara cabaran yang dihadapi ialah lokasi rumah pelanggan yang jauh serta sukar dikesan.

Namun katanya, kepuasan pelanggan adalah kemanisan yang tidak terhingga buatnya malah cabaran dihadapi tidak sedikit pun melunturkan semangatnya kerana menyedari itulah asam garam dalam dunia perniagaan.

“Saya berharap, industri ini akan terus mekar kerana ia mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya kita fokus dan jujur serta sabar dalam menguruskan perniagaan ini,” katanya.

Untuk temujanji di rumah, mereka yang berminat mendapatkan khidmat Nur Azliza boleh datang ke pusat operasi di No 26, Jalan Mesra Raia, Taman Mesra Raia, Kampung Kepayang, Ipoh, Perak.

Sumber: myMetro