Cendawan Tiram Kelabu Ledang Agro Mushroom

“Saya cabar diri sendiri untuk berjinak-jinak dalam industri pertanian. Saya tidak malu malah seronok melakukannya walaupun terpaksa berpanas dan berhujan.


“Saya meneruskan usaha ayah kerana melihat dia seorang saja melakukannya,” kata Nadhirah Afiqah Abdull Rahim, 22, usahawan muda yang mengusahakan projek tanaman cendawan tiram kelabu.

Pengarah Urusan Ledang Agro Mushroom itu berkata, dia menubuhkan syarikat pada April 2014 dengan modal permulaan sebanyak RM500,000 termasuk kos membuat lapan rumah pelindung hujan (RPH).

Pemegang Diploma Ukur Bahan dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah, ini melakukan projek itu secara komersial dan kini membuahkan hasil apabila mampu mendominasi pasaran di sekitar Johor serta Melaka.

“Saya pernah kerugian lebih RM200,000 kerana cendawan ini dijangkiti kulat oren dan hijau. Ada juga hasil cendawan tidak menjadi kerana benihnya sudah tua.

“Walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman, saya belajar daripada ayah, Abdull Rahim Talib selain mendapatkan pandangan rakan yang sudah berjaya dalam industri ini.


“Ia tidak sedikit pun melemahkan semangat saya malah semakin kuat untuk menebus kembali kegagalan itu,” katanya yang ditemui di ladangnya di Tangkak, Johor, baru-baru ini.

Nadhirah Afiqah yang mendapat bimbingan Agropreneur Muda Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berkata, dia bangkit semula dengan menimba ilmu berkenaan penanaman cendawan supaya dapat mengatasi pelbagai masalah termasuk jangkitan kulat.

Menjelaskan lebih lanjut berkenaan tanaman cendawan, beliau berkata proses pertama dilakukan adalah penyediaan habuk kayu, kapur dan dedak yang dikisar untuk membuat bongkah cendawan.

“Kemudian ia dibungkus dalam beg plastik dengan berat satu kilogram (kg). Bongkah itu dimasukkan dalam bilik khas untuk proses kukus selama lapan jam.

“Selepas selesai dikukus, bongkah ini dimasukkan ke dalam bilik benih untuk disuntik sebelum diperam dalam RPH selama kira-kira dua bulan sehingga tuai,” katanya.

Menurutnya, biasanya satu-satu bongkah cendawan boleh dituai sebanyak lapan hingga 10 kali dengan hasil setengah kilogram dalam tempoh berkenaan.

“Setiap satu RPH yang berukuran 20 x 40 ini boleh memuatkan 26,000 bongkah cendawan pada satu masa. Permintaan yang menggalakkan menyebabkan saya meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi pasaran tempatan.


“Buat masa ini, pasaran hanya di sekitar Tangkak, Muar dan Melaka. Ada juga mereka yang berminat membeli bongkah untuk kegunaan sendiri atau jualan.

“Harga bagi jualan bongkah bergantung kepada tiga jenis iaitu suku matang (RM1.60), separuh matang (RM1.80) dan matang (RM2),” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu yang mempunyai 14 pekerja memastikan projek ini terus berdaya maju dan bakal menjadi pengeluar utama cendawan di negara ini.

Sumber: myMetro