Jus Origina Keluaran PS Food & Beverage

Kesukaran untuk mendapatkan minuman jus asli mendorong sepasang suami isteri menghasilkan produk sendiri menggunakan pembungkusan ringan yang lebih mesra pengguna.
 

Mengakui perniagaan yang diusahakan sejak setahun lalu itu menghadapi cabaran berliku pada awalnya, Pengurus Besar PS Food & Beverage Sdn. Bhd., Adilah Shuib menganggapnya sebagai cubaan untuk berjaya. Sejak itu, dia dan suami, Mohd. Zain Harun enggan menoleh ke belakang lagi.

Berkat kesungguhan, mereka kini mampu menghela nafas lega apabila produk minuman jus asli jenama Origina mampu menerjah pasaran tempatan dan antarabangsa seperti di Brunei, Singapura, Vietnam, dan China.

“Jus kami tidak dipek menggunakan botol sebaliknya pembungkusan ringan yang lebih mesra alam, mudah dibawa, mesra pengguna dan melindungi rasa asli jus sehingga tiba tarikh luput.

“Minuman ini dihasilkan selepas saya mendapati agak susah untuk menikmati jus asli keluaran Muslim tempatan. Kalau ada pun, ia telah dicampur dengan bahan asing seperti gula yang banyak hingga mengganggu rasa aslinya,” kata Adilah ketika ditemui Kosmo!.

Tambahnya, membuat jus asli sahaja tidak mencukupi sekiranya pembungkusan yang digunakan tidak bermutu atau sama sahaja dengan produk lain yang ada.

Menurut Adilah, berbekalkan sedikit modal, dia dan suami membeli sebuah kilang khusus untuk membuat pembungkusan ringan yang jauh lebih baik, ekonomikal dan mesra pengguna berbanding botol.

“Produk kami dihasilkan daripada ekstrak epal, blackcurrent, nanas dan delima selain empat jenis teh campuran jus lemon, epal, pic dan delima.

“Kami juga menghasilkan minuman coklat yang merupakan antara produk terlaris syarikat,” katanya.
Beliau memberitahu, produk itu tidak dicampur dengan sebarang pewarna dan perasa tambahan.

Berkongsi ilmu

Ujar Adilah, ekoran daripada kejayaan itu, dia dan suami berhasrat untuk berkongsi ilmu perniagaan dengan sesiapa sahaja yang berminat bergelar usahawan serta ejen syarikat untuk meluaskan lagi perniagaan mereka di dalam negara.


Katanya, setakat ini, produk syarikat itu telah terjual lebih dua juta unit dan pihaknya menyasarkan untuk menjual sebanyak 12 juta unit sepanjang tahun ini.

Ia berdasarkan kepada permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan dari dalam dan luar negara seperti Brunei, Singapura, China dan Vietnam.

Menurut Adilah, mereka kini dapat menjual produk itu di 1,000 buah sekolah dan kedai runcit di seluruh negara.

Mereka kini dalam perancangan untuk meletakkan produk itu di stesen minyak dan pasar raya besar di Malaysia.

“Kami ingin mencari lebih banyak ejen di seluruh negara kerana setakat ini, kami hanya mempunyai enam ejen di Lembah Klang, Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya lagi.

Ujar Adilah, syarikatnya juga mendapat anugerah rekaan terbaik pembungkusan daripada Majlis Rekabentuk Malaysia 2015 dan Star Award (WPO Singapura).

Setiap pek dibungkus antara 100 hingga 450 mililiter berharga antara RM1 hingga RM2.50.
Orang ramai yang ingin menjadi ejen atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk itu boleh melayari laman web PS Food & Beverage Sdn. Bhd.

Sumber: Kosmo! Online