Kasut Freddie the Frog

Persaingan merebut tempat dalam hati peminat fesyen semakin ketara pada hari ini.
 

Pasaran fesyen tempatan tidak hanya bersandarkan kepada kekuatan jenama sofistikated yang mensasarkan golongan dewasa tetapi ekspresi penggayaan tata rias kanak-kanak juga menerima tempias yang tidak kurang hebatnya.

Memilih untuk lari daripada arus fesyen perdana yang memfokuskan kepada rekaan pakaian, Ahmad Zikri Rozlan, 31, mempertaruhkan kekuatan kasut sebagai pelengkap gaya keletah kanak-kanak.

Ahmad Zikri merupakan insan di sebalik jenama kasut Freddie the Frog yang sesuai digayakan bayi yang baru lahir sehingga mencapai usia 12 bulan.

“Selari dengan golongan sasaran pengguna iaitu bayi berusia di bawah satu tahun, Freddie the Frog direka khusus untuk keselesaan mereka.

“Kami mengaplikasikan rekaan moden dan funki pada kanvas yang diperbuat daripada material berkualiti tinggi sesuai untuk bayi,” ujarnya.

Material

Antara pilihan material yang digunakan ialah denim, kulit sintetik dan poliuretana. Uniknya, setiap kasut Freddie the Frog menggunakan tapak yang lembut dan mesra pada sentuhan bayi.

Bahagian hadapan kasut juga direka dengan bukaan lebih lebar bagi menyokong pergerakan lincah jari kaki mereka.

“Kesemua kasut Freddie the Frog menggunakan lapik dalam yang boleh ditanggalkan manakala sebahagiannya bersifat mesra cucian.

“Terdapat tag jenama dengan logo katak dan saiz pada bahagian atas lapik dalam kasut. Dua perbezaan itu menjadi tanda pengenalan kasut asli dan tiruan.

“Selain itu, pelanggan juga boleh menempah perkataan khas untuk dicetak menggunakan laser pada bahagian tapak kasut seperti nama bayi atau tarikh lahir mereka,” jelas bapa kepada tiga orang anak itu.


Ahmad Zikri mengakui, dia pernah ditempelak pengguna internet yang beranggapan perbuatan mengukir nama pada tapak kasut adalah tidak sopan.

Jelasnya, fungsi asal kasut Freddie the Frog khusus untuk penggayaan bayi di bawah usia satu tahun. Dalam bahasa mudah, fasa bayi masih bertatih dan bukannya berjalan aktif.

“Kasut bertapak lembut direka khusus untuk kegunaan bayi baru bertatih. Bayi pada peringkat umur itu tidak menggunakan kasut secara lasak. Malah, ia bakal menjadi koleksi nostalgia ibu bapa apabila bayi tersebut semakin menginjak usia,” tutur bekas jurutera yang menetap di Shah Alam itu.

Berdiri sebagai pengedar tunggal jenama kasut Freddie the Frog untuk pasaran Malaysia dan Brunei sejak 2013, Ahmad Zikri merupakan rakan niaga kepada pemilik asalnya iaitu pasangan suami isteri yang berasal dari Indonesia, Jimmy Sutomy Karnawidjaja dan Fanny Wijaya.

Rekaan baharu

“Saya akan berjumpa secara berkala dengan Jimmy, Fanny dan seorang lagi wakil dari Singapura.

“Selalunya di Jakarta kerana kilang pengeluaran juga terletak di sana. Ia memudahkan kami untuk berkumpul dan bertukar-tukar buah fikiran mengenai rekaan baharu serta menguruskan tempahan pelanggan,” jelas Ahmad Zikri.

Tambahnya, setiap pasang kasut Freddie the Frog dipotong dan dijahit secara manual oleh tenaga kerja tempatan.

Lebih 100 pasang kasut bayi Freddie the Frog boleh didapati dalam empat varian utama iaitu kasut lelaki, perempuan, hip hop’ers dan moccasin. Koleksi hip hop’ers lebih ranggi dan sporty manakala moccasin pula sesuai untuk penggayaan ke majlis keraian.

Seleksi yang ditawarkan pula merangkumi but tinggi yang boleh dilipat, sandal, kasut sarung dengan motif flora atau tribal serta terkini, kasut klip.

Pelanggan boleh memilih jenis klip yang diingini daripada 24 pilihan yang ditawarkan pada harga RM15 setiap satu dan menyelitkan ia pada bahagian atas kasut.

Kasual

Seorang lagi bekas jurutera mekanikal minyak dan gas, Zuraihan Selina Suharin, 34, kini memilih untuk mengusahakan jenama Little Me Cotton secara sepenuh masa.


Dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada tahun 2014 bagi menumpukan perhatian kepada keluarga.

Zuraihan Selina memberitahu, inspirasi menubuhkan legasi barangan keperluan bayi itu tercetus sewaktu melihat ketiga-tiga anaknya, masing-masing berumur tujuh, empat dan dua tahun membesar di depan mata.

Akuinya, dia gemar melihat anak-anaknya menggayakan pakaian kasual yang cantik dan praktikal untuk pelbagai keperluan acara.

“Selepas berhenti kerja, saya hanya menjahit pakaian anak-anak menggunakan kain kapas sekadar memenuhi masa lapang serta menggayakan mereka.

“Namun, saban hari semakin ramai orang yang bertanyakan tentang pakaian mereka dan mula menempah beberapa pasang untuk anak masing-masing.

“Sejak itu, saya terpanggil untuk mengusahakan perniagaan pakaian dan perhiasan kepala kanak-kanak. Pada 2015, impian itu direalisasikan di bawah jenama Little Me Cotton,” ujarnya.

Jenama Little Me Cotton menawarkan seleksi barangan untuk bayi baru lahir sehingga mencapai usia lapan tahun meliputi baju kurung, kemeja, baju pinafor, jumpsut dan cekak rambut.

Menariknya, pelanggan boleh menempah khas cekak rambut dan skirt mengikut kehendak sendiri secara tempahan khas.

Ibu muda itu gemar menggunakan rona-rona terang dan ceria pada setiap rekaannya.

Malah, dia memilih motif kegemaran kanak-kanak seperti kereta dan dinosaur untuk kemeja lelaki serta flora dan buah-buahan bagi pakaian perempuan.

“Sebagai seorang ibu, saya gembira apabila dapat menghasilkan pakaian cantik dan selesa untuk dipakai anak-anak.

“Walaupun masih belum mempunyai cita rasa fesyen sendiri, mereka juga layak tampil bergaya dengan pemilihan pakaian bersesuaian yang dilakukan oleh ibu bapa,” katanya dalam senyuman.

Sumber: Kosmo! Online