Kembara Geng Cuci Masjid

Hanya berbekalkan dua buah troli pengangkut barang, tiga sahabat iaitu Annas Aiman Jaffry, 27, Muhammad Aidil Jaffry, 24, dan Hizamuddin Alidin, 25, menempuh laluan sejauh 2,353 kilometer untuk menzahirkan niat murni mereka membersihkan masjid.


“Alhamdulillah, hasil pengembaraan, kami berjaya membersihkan 140 buah masjid di sekitar Semenanjung, sekali gus dapat mengeratkan silaturahim dengan masyarakat setempat,” ujar Annas Aiman.

Beberapa bulan setelah menamatkan misi menjelajah di 11 buah negeri di Semenanjung untuk mencuci masjid, tiga sahabat itu mengambil keputusan berkongsi pengalaman yang mereka tempuhi dalam bentuk buku.

Hasil kerjasama dengan pihak penerbit Utusan Karya Sdn. Bhd., mereka menerbitkan naskhah Geng Cuci Masjid untuk tatapan setiap golongan masyarakat.

Menurut Annas Aiman, menjadi satu kewajipan untuk berkongsi pengalaman yang ditempuhi sepanjang pengembaraan dengan orang ramai khususnya rakyat Malaysia.

Inspirasi

“Banyak pengalaman yang kami tempuh terutamanya cabaran-cabaran yang dipermudahkan Allah untuk kami lalui sepanjang pengembaraan ini.

“Kami berharap, penerbitan buku ini akan menjadi satu inspirasi kepada generasi muda terutamanya untuk melakukan satu perkara yang positif,” jelasnya.

Ketika diminta mengulas aktiviti yang dilakukan sepanjang pengembaraan itu, Annas Aiman berkata, sebaik tiba di masjid terpilih, mereka melakukan kerja-kerja amal bermula pukul 8 pagi sehingga waktu Zuhur.

Antara kerja pembersihan yang dilakukan ialah mencuci tandas, menyapu sampah, membersih halaman dan mengecat yang bergantung kepada keperluan masjid itu.


“Menerusi kembara ini, kami ingin menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa masjid bukan milik imam dan bilal tetapi semua orang perlu memainkan peranan untuk mengimarahkan, tanpa mengira status atau latar belakang sosial,” katanya.

Sebaik sahaja menamatkan misi pengembaraan mencuci masjid, timbul niat di hati Annas Aiman untuk berkongsi pengalaman yang mereka lalui dalam bentuk buku.

“Alhamdulillah apabila kita niat untuk melakukan sesuatu yang baik, Allah akan permudahkan. Tidak lama selepas menamatkan misi pengembaraan, pihak penerbit Utusan Karya Sdn. Bhd. menawarkan hasrat untuk bekerjasama bagi menerbitkan buku Geng Cuci Masjid.

“Saya mula menulis buku ini pada bulan September tahun lalu dan siap sepenuhnya pada Februari lalu.

“Kekangan masa menjadi cabaran utama saya untuk menyiapkan buku ini kerana kami menerima banyak undangan berkongsi pengalaman dengan orang lain sebaik sahaja tamat pengembaraan itu,” jelasnya.

Kini, tiga sahabat itu meneruskan misi mencuci masjid dengan menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai destinasi seterusnya.

“Insya-Allah, sebaik tamat misi kami di Sabah dan Sarawak, buku kedua mengenai pengalaman kami di sana akan menyusul untuk tatapan setiap golongan masyarakat,” kata Annas Aiman.

Sumber: Kosmo! Online