Kerepek Nur Atisa Enterprise Tangkak Johor

“Sejak zaman sekolah rendah lagi saya sudah berniaga menjual jagung dan rambutan kerana mahu membantu ibu menambah pendapatan.


“Saya tak malu malah dengan duit jualan itu dapat membesarkan kami adik-beradik,” kata usahawan kerepek Norhayati Abdul Rahman, 52, dari Kampung Kesang Laut, Tangkak, Johor.

Pemilik syarikat Nur Atisa Enterprise itu berkata, dia mengusahakan tujuh jenis kerepek tradisional, antaranya pisang, tiram, rempeyek, sayur, jintan, kacang moden dan bahulu yang mendapat permintaan pasaran.

“Saya mengusahakan perniagaan menjual kerepek secara kecil-kecilan sejak 2001 dengan menumpang di Surau An-Nur Kampung Kesang Laut dengan modal permulaan RM500.

“Kemudian saya berpindah ke balai raya pada 2003 kerana mendapat permintaan menggalakkan. Hasil pendapatan itu saya simpan untuk mengembangkan lagi perniagaan ini.
“Syukur kerana saya dapat membuka bengkel membuat kuih dan kerepek pada 2007 di hadapan rumah saya dengan bantuan Jabatan Pertanian sebanyak RM20,000,” katanya yang mempunyai lima pekerja sepenuh masa.

Norhayati yang juga Ketua Peladang Nita Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tangkak berkata, dia pernah ditipu beberapa ejen membabitkan kerugian lebih RM5,000 yang berjanji membayar semula duit kerepek.


“Saya serik kerana sering ditipu, malah lebih berhati-hati selepas ini kerana tidak mahu kes sama berulang.

“Pengalaman ditipu ejen tidak sedikit pun melemahkan semangat saya untuk berniaga, malah lebih kuat untuk meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, produk makanan itu hanya dipasarkan di sekitar Bukit Gambir, Ledang, Muar dan Melaka.

“Ada juga ejen menjualnya di Lembah Klang untuk memenuhi permintaan di sana. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

“Tempahan meningkat menjelang sambutan hari raya nanti menyebabkan saya terpaksa meningkatkan pengeluaran kerepek,” katanya.

Bagi projek hiliran pula, dia mengusahakan minyak kelapa dara yang diproses sendiri untuk jualan sekitar kawasan itu.

“Selain menjual kerepek, saya juga adalah petani yang mengusahakan kelapa matag membabitkan keluasan kira-kira 0.4 hektar.

“Dapatlah sedikit sebanyak menjana pendapatan selain hasil jualan kerepek,” katanya yang juga ejen Peladang Nita Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) yang memasarkan produk makanan sejuk beku berasaskan ayam.

Sumber: myMetro