Kerepek Sedap Resepi Warisan

“Saya nekad berhenti kerja sebagai operator kilang dan menggunakan bonus berjumlah RM500 sebagai modal memulakan perusahaan kerepek yang pernah diusahakan ibu lebih 10 tahun lalu.


“Namun, saya tidak menyangka seawal seminggu memulakan perniagaan ia mendapat sambutan luar biasa apabila ramai rakan dan pelanggan lama ibu bertanyakan kerepek yang dijual.

“Ia membangkitkan semangat saya untuk meneruskan perniagaan ini,” kata Muhammad Farizal Daud, 23 dari Kampung Padang Kunyit, Mukim Telaga Mas, Pokok Sena, Kedah.

Pemilik perniagaan Resepi Warisan itu berkata, ilmu perniagaan secara kecil-kecilan yang dipelajari daripada ibunya Syarifah Ariffin, 50, sejak dari bangku sekolah dimanfaatkan sepenuhnya selepas gagal memohon untuk menyambung pengajian dalam bidang diidamkan sejak kecil itu.

Menurutnya, peringkat permulaan dia mempromosikan empat jenis kerepek iaitu kerepek ubi masin dan ubi pedas, pisang masin serta pisang manis yang mendapat permintaan pasaran.

Bagaimanapun, atas permintaan pelanggan dia turut menghasilkan popia pedas selain produk terbarunya kacang botak yang dijual pada RM25 sekilogram.
Katanya, dia menjadikan kegagalan akibat tidak dapat melanjutkan pengajian dalam bidang automotif dijadikan sebagai pembakar semangat untuk meneruskan kehidupan yang masih muda selain berazam untuk memajukan diri, sekali gus mengubah nasib keluarga.

“Jika dulu saya membantu ibu mengusahakan perniagaan menjual kerepek kecil-kecilan di rumah, tapi kini saya mengusahakan sendiri perniagaan ini dengan dibantu ibu dan ibu saudara.

“Selepas gagal menyambung pengajian saya bekerja sebagai operator kilang tayar selama tiga tahun, tapi kerana memikirkan masa depan selain mahu memajukan diri saya nekad berhenti kerja dan mencuba perniagaan kerepek.

“Peringkat awal saya menggunakan wang bonus sebanyak RM500 sebagai modal pusingan untuk membeli peralatan memasak seperti kuali besar, tong gas, alat memotong dan lain-lain,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, walaupun pernah diejek rakan sebaya kerana menjual kerepek, namun semua itu tidak diendahkan, malah dia tanpa segan silu mempromosikan produk di laman sosial.

“Kerepek pisang dijual pada RM25 bagi sekilogram, sementara kerepek ubi pula dijual RM24 bagi sekilogram. Harga ditetapkan ibu selaku tulang belakang saya dalam perniagaan ini.

“Ibu selalu berpesan supaya tidak meletakkan harga mahal semata-mata mahu mengaut keuntungan kerana baginya rezeki ada di mana-mana.Jika sedap pasti orang akan datang beli lebih lagi tapi dengan syarat harganya murah.

“Alhamdulilah, berkat dorongan ibu dalam tempoh sebulan saya berjaya memasuki pasaran hingga ke luar Kedah iaitu di Perlis, Pulau Pinang dan Perak, malah di Kuala Lumpur,” katanya.

Muhammad Farizal berkata, antara keistimewaan kerepek jualannya termasuk rangup kerana menggunakan resipi warisan keluarga.

Katanya bagi menampung jumlah permintaan semakin meningkat dia perlu menempah mesin khas kerana pada masa ini hanya menggunakan kaedah manual dan ia agak memenatkan selain memakan masa.

“Begitu juga dengan peralatan menggoreng apabila kami menggunakan kaedah biasa iaitu menggoreng dalam kuali biasa dilakukan tiga pekerja terdiri daripada ahli keluarga.

“Walaupun begitu, tempahan setiap bulan berjaya mencecah 1,000 balang selain ada pembeli mengambilnya secara pukal untuk dijual di kedai-kedai.

“Buat masa sekarang kami hanya menumpukan perhatian untuk memenuhi tempahan menjelang perayaan Aidilfitri dan selebihnya mungkin dibuka semula selepas musim perayaan nanti,” katanya.

Katanya, dia berazam untuk melihat produknya berada setaraf dengan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) lain yang sudah mendapat tempat di mata masyarakat pada masa akan datang.

Sumber: myMetro