Lobster Kampung Banting Sabak Bernam

Walaupun cacat di bahagian kaki sehingga membataskan pergerakannya dan ada kalanya terpaksa bertongkat, ia tidak menjadi penghalang kepada Mohd Arif Hasani Othman, 34, untuk mengusahakan ternakan udang kara atau lobster.


Kesungguhan dan minat menjadi rahsia kejayaannya mengusahakan projek ternakan akuakultur di Kampung Banting, Sabak Bernam.

Buat permulaan, dia menggunakan modal RM2,700 yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam bentuk Bantuan Geran Pelancaran untuk melaksanakan projek itu selain bantuan bulanan RM350.

Pemegang Diploma Kejuruteraan Elektronik Komputer dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh itu berkata, dengan modal RM2,000, dia membeli 20 ekor induk udang kara daripada seorang kenalan, manakala baki RM700 membeli beberapa peralatan dan tangki.
“Selepas tamat belajar di politeknik, saya buka kedai membaiki komputer di depan rumah, tapi terpaksa ditutup kerana kurang sambutan.

“Kemudian saya ternak ikan keli, namun usaha itu hanya sementara kerana pergerakan saya terbatas manakala kos menggajikan pekerja dan makanan ikan keli agak mahal.

“Saya kemudian berjinak-jinak dengan ternakan udang kara selepas diperkenalkan seorang rakan,” katanya yang tidak pernah berputus asa setiap kali menceburi bidang perniagaan.

Menurutnya, bermula dengan 20 ekor induk pada tahun 2014, kini jumlahnya bertambah kepada 2,000 ekor selepas berjaya menghasilkan benih secara semula jadi.

“Menternak udang kara tidak terlalu susah seperti didakwa sesetengah pihak. Kita hanya perlu menyediakan makanan sesuai, selain memastikan kolam tidak terdedah suhu panas kerana ia mempengaruhi suhu air.

“Udang kara makan tumbuh-tumbuhan hijau yang banyak tumbuh di dalam kolam selain saya tanam sendiri dan pelet. Pantangnya jangan beri makanan berlebihan kerana ia menghasilkan ammonia,” katanya.

Mohd Arif yang cacat sejak lahir berkata, kebersihan kolam perlu diutamakan bagi memastikan udang tidak mati atau pembesarannya terbantut.

“Setiap bulan saya menukar air baru bagi memastikan udang tidak dicemari. Saya keluarkan dulu udang dan asingkan sebelum memasukkan semula ke dalam tangki.

“Ada juga anak udang menjadi mangsa kepada yang lebih besar dan ganas. Udang kara mampu membesar hingga mencecah sekilogram seekor bergantung kepada beberapa faktor seperti usia dan makanan diberikan.

“Biasanya udang kara di sini tidak dapat dijual dengan saiz besar kerana pelanggan lebih suka membeli benih. Saya jual benih mengikut saiz iaitu satu inci dengan harga RM1, dua inci (RM2.50), tiga inci (RM2.50),” katanya.


Katanya, buat masa ini dia mempunyai 15 kolam simen, 12 tangki plastik dan tiga kolam plastik yang menampung lebih 2,000 udang kara pelbagai saiz.

“Saya memasarkan sendiri udang kara mengikut harga pasaran. Udang kara sejuk beku dijual sekitar RM80 sekilogram selain menjual benih induk.

“Biasanya jualan benih udang kara mampu menjana pendapatan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan,” katanya yang sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata lelaki berusia dua minggu.

Mohd Arif berkata, permintaan udang kara begitu menggalakkan terutama daripada pemilik restoran makanan laut, namun bergantung kepada pengeluaran.

“Saya sedia berkongsi pengalaman dengan mana-mana pihak yang berminat mengusahakan ternakan udang kara. Sejak beroperasi, ramai individu dan syarikat datang melihat projek diusahakan.

“Saya tidak segan untuk mendapatkan ilmu daripada rakan yang sudah berjaya,” katanya yang merancang membuka pusat ternakan baru penghujung tahun ini.

Sumber: myMetro