Manisnya Nanas Bario

Keenakan buah nanas di Bario, Sarawak tidak terungkap dengan kata-kata kerana rasanya yang manis dan segar.


Nanas ditanam di kawasan berbukit selama lapan bulan sebelum tuaian pertama dan prosesnya berterusan. Buah nanas pertama selepas lapan bulan besar tetapi sedikit masam sementara buah seterusnya lebih kecil tapi manis.

Selain keenakan buah dan kemanisan jusnya, nanas Bario ini cukup istimewa kerana ia ditanam secara organik. Pengaliran air mata air dari bukit antara penyebab ia manis dan lain daripada yang lain.

Penulis berkesempatan menemu ramah satu-satunya keluarga Muslim yang mengusahakan tanaman nanas di lereng bukit di perkampungan berkenaan.

Mustapha Radja Sewa Abdullah, 76, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Mus mengusahakan tanaman nanas sejak 15 tahun lalu membabitkan keluasan kira-kira enam hektar.

Beliau berkata, dia menanam lebih 50,000 pokok nanas di lereng bukit yang kebanyakan dijual di kawasan sekitar kampung itu dan Miri, Sarawak.

“Nanas Bario mempunyai rasa yang manis dan mempunyai khasiat yang baik. Pengetahuan saya, zaman dulu hingga kini wanita Bario mengamalkan meminum jus nanas untuk kekal awet muda.

“Di Bario saja, dianggarkan terdapat lebih 30 ladang nanas membabitkan 28 hektar. Selain dihidangkan sebagai pencuci mulut selepas makan dan digunakan dalam masakan, buah nanas dijadikan jem untuk dijual ke luar Bario,” katanya.


Menurutnya, dia berharap tanaman nanas di Bario dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan dengan bantuan yang diberikan kerajaan.

“Saya berterima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas (MOA) khususnya Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang memberi peruntukkan sebanyak RM50,000 untuk mengembangkan industri nanas di sini.

“Ia dapat membantu saya meningkatkan lagi tanaman selain menanam semula dan membeli baja. Sebelum ini, saya keluarkan modal sendiri untuk mengusahakan nanas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ke Bario, Sarawak, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu dan Pengerusi LPNM Datuk Samsolbari Jamali.

Sementara itu, Samsolbari berkata, pihaknya akan membantu pengusaha tanaman nanas itu dengan menggunakan teknologi terkini.

“Nanas bario terkenal dengan kemanisannya. Namun ia diusahakan secara kecil-kecilan dan cara lama. LPNM akan mengekalkan keunikan nanas Bario.

“Nanas yang ada di sini tidak pernah dibaja ia menggunakan kaedah tanam, tinggal dan tuai (3T). Justeru, kita akan mengajar petani cara penanaman bagi meningkatkan pengeluaran,” katanya.

Sumber: myMetro
Foto: Sinar Harian