Pekasam Rusa Azra Grill Truck

Pekasam ikan memang sudah biasa kita dengar atau makan tetapi pekasam daging rusa boleh dianggap unik dan jarang ditemui.


Itulah kelainan yang dihasilkan pasangan suami isteri Muhammad Fathi Muhammad Akbar dan Syazana Razalli, masing-masing berusia 33 tahun, dalam menvariasikan perniagaan berasaskan daging rusa.

Selain menjual daging rusa secara segar dan sejuk beku, terdapat juga rusa golek serta burger dan sate rusa. Namun, pekasam rusa boleh dianggap produk istimewa yang kini makin mendapat sambutan pelanggan mereka.

Menurut Syazana, idea mencipta pekasam rusa datang secara spontan pada tahun 2012 berikutan ahli keluarganya gemar memakan pekasam ikan.

Air tangan Syazana itu pada awalnya hanya menjadi hidangan keluarga.

“Ketika sedang menikmati pekasam ikan bersama keluarga, saya terfikir bagaimana agaknya rasa daging rusa jika dijadikan pekasam. Saya kemudian cuba mencipta resipi baru ini dengan adunannya sama seperti pekasam ikan.

“Ternyata apabila dimasak, keluarga sangat menyukainya dan minta saya buat lagi. Malah, mereka minta saya jadikan pekasam rusa sebagai produk jualan kami.

“Masih tidak yakin dengan resipi baru itu, saya berikan pula pada kawan-kawan mencuba dan mereka juga menyukainya. Sejak itu ramai saudara mara dan kawan membuat tempahan.

“Selepas itu, saya mencuba pasaran dengan menyediakan 100 pek dengan setiap pek 100 gram dijual pada harga RM15. Saya terkejut kerana sambutannya sangat luar biasa. Dalam tempoh beberapa hari sahaja semua habis dijual,” katanya.

Katanya, selain pelanggan di tempat jualan, mereka juga mula menerima tempahan melalui telefon sehingga tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan.

“Cara penyediaan pekasam rusa sama seperti pekasam ikan. Bahan asasnya ialah garam, asam keping dan beras yang telah disagai. Untuk mendapatkan rasa yang enak, daging dan bahan tadi perlu diperap selama seminggu sebelum boleh digoreng dan dimakan.

“Kebanyakan pelanggan yang pertama kali mencuba resipi istimewa itu bukan sahaja akan membuat pembelian ulangan, malah mempromosi pula kepada rakan atau saudara mara mereka,” katanya.


Sementara itu, Muhammad Fathi berkata, bermula dengan 100 pek, kini mereka mengeluarkan 500 pek sebulan, namun jumlah itu tidak mampu memenuhi kehendak pasaran terutama menjelang Ramadan dan Syawal kerana permintaannya meningkat berkali ganda.

“Kalau menurut pasaran sekarang, kami perlu mengeluarkan antara 3,000 hingga 5,000 pek sebulan tapi kami tak mampu mengeluarkan produk sebanyak itu kerana beberapa kekangan.

“Kami tiada masalah mendapatkan bekalan daging rusa kerana ayah saya, (Muhammad Akbar Chireghdin) mengusahakan ladang di Sungai Lembing, Pahang, dengan beliau menternak hampir 2,000 ekor rusa.

“Masalah utama kami ialah ketiadaan peralatan seperti mesin sagai beras, peti sejuk, mesin pemotong daging dan vakum untuk pembungkusan yang bukan sahaja memudahkan, malah mempercepatkan proses penyediaan pekasam,” katanya.

Beliau berkata, selama ini isterinya menyediakan pekasam secara manual dan proses membuatnya dilakukan secara tradisi. Cara ini menyebabkan produktiviti mereka terhad dan tidak mampu memenuhi kehendak pasaran.

“Untuk menyediakan peralatan moden itu, kami memerlukan modal RM50,000. Saya kini sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan dan berharap masalah ini dapat diatasi menjelang Ramadan nanti.

“Kami menjalankan perniagaan menggunakan ‘food truck’ berhampiran pasar raya Tesco, Rawang. Sejak memperkenalkan pekasam rusa, Azra Grill Truck makin menjadi tumpuan,” katanya.

Sumber: myMetro