Potensi Eksport Durian Premium

Durian (Durio zibethinus Murr) merupakan sejenis buah-buahan bermusim yang sangat popular sehingga digelar Raja Segala Buah.


Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis durian yang mempunyai pelbagai rupa bentuk dan rasa yang berlainan.

Semenjak tahun 1930 sehingga sekarang, terdapat 200 varieti durian yang telah didaftarkan oleh Jabatan Pertanian.

Keunikan rasa bagi setiap jenis durian menjadikan sesuatu varieti itu mempunyai peminatnya tersendiri.

Selain isi atau ulas durian yang tebal, kombinasi rasa lemak manis dan rasa sedikit pahit menjadi pilihan utama penggemar durian.

Ini menjadikan sesuatu varieti durian itu digemari ramai dan mendapat tempat di pasaran sebagai durian premium.

Jadi, tidak hairanlah, durian seperti varieti Musang King mampu mencapai harga yang sangat tinggi di pasaran kerana mempunyai keunikannya tersendiri.

Varieti-varieti durian premium yang mendapat sambutan pada masa ini ialah Bukit Merah (D24), IOI (D168), Udang Merah/Ang Hae (D175) dan Musang King (D197) yang kebiasaan isi berwarna kuning dan Ochi/Duri Hitam (D200), isi berwarna oren kekuningan.

Varieti-varieti ini mempunyai isi yang tebal serta rasa manis berlemak tetapi sedikit pahit untuk D24. Anggaran harga jualan tempatan bagi variet-varieti premium ini adalah antara RM20 hingga RM40 sekilogram.

Potensi eksport

Durian Musang King kini boleh dikatakan durian premium No.1 di Malaysia yang menjadi tumpuan peminat durian tempatan dan untuk tujuan eksport kerana kualiti buah dan cita rasanya yang sangat baik.


Durian varieti premium ini bukan sahaja digemari oleh peminat tempatan, malah pelancong asing terutama dari negara China turut menyukainya.

Ia juga mempunyai potensi eksport yang sangat luas terutama selepas pihak Jabatan Pertanian mendapat laluan pasaran pada tahun 2011 untuk pengeksportan durian dalam bentuk ulas sejuk beku ke China.

Selain China, durian sejuk beku juga telah berjaya menembusi pasaran Australia, New Zealand dan Taiwan.

Jumlah eksport ke China dijangka meningkat kerana penggunaan durian bukan setakat dimakan segar sahaja tetapi telah dipelbagaikan bagi memenuhi kehendak pasaran di sana.

Bagi pengeksportan durian segar, Malaysia juga telah mendapat laluan pasaran ke Jepun dan Korea.

Jika dahulu, petani sering mengeluh kerana harga yang tidak setimpal dengan usaha tetapi kini tanaman durian khususnya durian premium boleh menjana sumber pendapatan yang tinggi kepada para pengusaha dan negara.

Sumber: Kosmo! Online