Projek Kebun Kerang Selangor

Penternakan kerang di negara ini bukanlah perkara baru. Kerang dikenal pasti antara sumber perikanan penting kerana ia dapat menjamin bekalan sumber protein kepada masyarakat.


Penternakan kerang juga antara alternatif kepada aktiviti penangkapan sumber ikan di laut yang semakin berkurangan.

Menerusi penternakan kerang, bukan sahaja nelayan kecil pesisir pantai dapat memperoleh pendapatan tambahan.

Pada masa sama sumber perikanan tepi pantai juga dapat dipulihkan apabila dapat mengurangkan tekanan eksploitasi berlebihan ke atasnya.
Pada 2007, di bawah Dasar Pertanian Negara Ke-3 (DPN3), ternakan kerang melalui konsep Kebun Kerang (Cockle Farm) dilaksanakan di Selangor, terutama di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Kebun Kerang yang dijalankan secara intensif menyumbang kepada peningkatan pengeluaran kerang di Selangor dan dalam tempoh yang singkat, negeri itu mengambil alih kedudukan dari Perak sebagai pengeluar utama kerang di negera ini.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan berkata, pendaratan kerang di Selangor mula merosot sejak 2011 dengan kadar tumbesaran juga merosot dan kadar kematian meningkat.

Beliau berkata, akibatnya penternak kerang (small-scale fishermen) mengalami kerugian dan hilang punca pendapatan, sementara masyarakat pula hilang bekalan sumber protein.

“Difahamkan kemerosotan ini disebabkan penurunan kualiti tapak ternakan yang seterusnya menjejas pengeluaran kerang.

“Bagi mengatasi isu berkenaan, pelan pengurusan ternakan kerang bagi Selangor dibangunkan untuk membentuk dan membangunkan pelan pengurusan yang berteraskan kepada pendekatan ekosistem (EAFM).

“Penambahbaikan di dalam kaedah pengurusan dimulakan dengan kajian di lapangan bagi mengenal pasti punca masalah dan mencari kaedah terbaik bagi mengatasinya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Konsultansi Kerang bersama pihak berkepentingan di Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di Putrajaya, baru-baru ini. Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perikanan Abu Talib Ahmad.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) DOF Zulkafli Abd Rashid, Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur DOF Dr Mazuki Hashim dan Pengarah Perikanan Negeri Selangor Azlisha Ab Aziz.


Ismail berkata, perkara paling penting supaya penternak kerang atau pihak berkepentingan sentiasa dirunding dan dibabitkan dalam setiap peringkat membuat keputusan.

“Beberapa siri rundingan diadakan sebelum dan ketika kajian di lapangan dijalankan, malah penternak turut mengambil bahagian di dalam kajian.

“Kajian kerang di Selangor bertujuan untuk membentuk satu pelan pengurusan perikanan yang boleh dijadikan model bagi membentuk lebih banyak pelan pengurusan perikanan di masa depan.

“Saya ingin mengucapkan syabas di atas usaha ini. Model pengurusan kerang di Selangor boleh dicontohi negeri lain melalui pembabitan aktif komuniti di dalam sesuatu masalah perikanan setempat,” katanya.

Menurutnya benih kerang boleh diperolehi dengan banyak secara semula jadi dari kawasan pantai barat Semenanjung terutama di Selangor.

“Banyak tempat lain tidak boleh menerima kehadiran benih kerang kerana habitat dan arus yang tidak sesuai.

Kerang dewasa boleh dikeluarkan dengan banyak dari aktiviti ternakan di pantai Selangor, yang kaya dengan jenis selut halus yang sesuai untuk aktiviti ternakan kerang.

“Banyak penternak kerang mendapat faedah daripada usaha ini. Kerang adalah satu jenis sumber protein murah dan sudah lama menjadi menu pilihan bagi semua golongan.

“Memandangkan sumber kerang ini begitu penting kepada penternak di Selangor khususnya dan kepada negara amnya, adalah penting untuk jabatan melaksanakan pelan pemulihan melalui perundingan dengan pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata, antara faedah dari pelaksanaan pelan pengurusan ternakan kerang adalah dapat mengetahui jenis habitat yang diperlukan kerang dan dapat mengurus serta memulihara habitat bagi menjamin kelangsungan hidup kerang, selain mengekalkan biodiversiti hidupan marin di negara ini.

“Di samping dapat mengenal pasti punca masalah dan mencari langkah penyelesaian yang bersesuaian supaya penternak terus mendapat faedah daripada penternakan kerang.

“Ini dapat membantu negara di dalam usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat nelayan. Ia juga dapat membantu mencari kaedah pengurusan aktiviti ternakan kerang yang bersesuaian supaya bekalan sumber protein murah atau rakyat ini terus dapat dihasilkan,” katanya.

Sumber: myMetro