Projek Kelompok Kelapa Matag Ledang Johor

Setiap yang diusahakan pasti menemui kejayaan apabila dilakukan dengan jujur dan ikhlas. Rezeki itu luas dan berkat kesabaran pasti membuahkan hasil lumayan.


Berpegang pada prinsip itu, pengusaha kelapa Matag Md Arshad Siron, 64, atau lebih dikenali sebagai Pak Chat dari Kampung Kesang Laut, Ledang, Johor gigih meneruskan usaha walaupun kudratnya tidak seberapa.

Beliau berkata, ketika awal pembabitan pada tahun 2007, dia antara peserta projek kelompok Jabatan Pertanian Ledang yang menerima kira-kira 200 anak pokok kelapa Matag.

Katanya benih kelapa matag yang diterimanya adalah benih tulen iaitu hasil pendebungan antara Tagnanan dengan MRD atau MYD atau istilah saintifiknya dipanggil Generasi F1.
“Selepas dapat anak pokok ini saya terus tanam di kawasan tanah seluas kira-kira 1.4 hektar berhampiran rumah saya.

“Setiap 0.4 hektar atau satu ekar saya tanam 60 batang pokok kelapa seperti yang ditetapkan. Selepas dua tahun tanam pokok ini, ia sudah menghasilkan buah,” katanya yang ditemui di ladangnya, baru-baru ini.

Pak Chat berkata, dia bersama anaknya, Herul Azemi, 23, sering membantunya mengusahakan tanaman itu kerana tidak mampu mengupah pekerja.

“Dulu saya jual kelapa di sekitar kawasan Muar namun sejak beberapa tahun lalu saya lebih kepada menjual anak benih kelapa Matag Generasi F2.

“Pokok tulen Generasi F1 apabila berbuah dan gugur saya jadikan sebagai benih kelapa Matag Generasi F2. Saya tidak mahu pembeli salah faham sekiranya pokok atau buahnya tidak menjadi,” katanya.


Menurutnya, buat masa ini, terdapat lebih 10,000 benih pokok kelapa Matag Generasi F2 yang disemai sejak beberapa tahun lalu sebelum dijual kepada pelanggan.

“Istimewanya kelapa jenis Matag adalah ketinggian pokoknya sederhana tetapi dapat mengeluarkan kadar buah yang banyak di samping rasanya berbeza mengikut musim.

“Tambahan pula dengan keadaan tanah yang baik, proses penanaman pokok kelapa ini berjalan dengan lancar sekali gus mendapat permintaan tinggi khususnya anak benih.

“Biasanya benih kelapa Matag Generasi F2 ini saya semai selama empat hingga lima bulan sebelum ditanam di ladang,” katanya.

Pak Chat berkata, kebanyakan mereka yang membeli anak benik kelapa Matag Generasi F2 ini datang dari jauh seperti Pahang, Melaka, Johor selain penduduk kampung.

“Pasaran benih kelapa itu menjangkau potensi yang lumayan selepas permintaan tinggi terhadap komoditi itu. Namun ada juga peraih yang mahu beli kelapa Matag untuk dijadikan santan,” katanya.

Sumber: myMetro