Sabun Homemade Kak Chah Beauty and Spa

Kombinasi ibu dan anak ini bukan sekadar mewarnai pelangi kegembiraan dalam kehidupan berkeluarga, tetapi sanggup bersusah payah dan bergaduh manja ketika berbicara mengenai cabang perniagaan yang mahu diterokai.


Si ibu lebih banyak berguru dengan menyertai seminar dan kursus untuk memperoleh ilmu selain merujuk kepada bijak pandai dan bahan bacaan ilmiah manakala si anak lebih mudah ‘terpedaya’ dengan informasi di laman web berkaitan cabang perniagaan yang mahu dipilih.

Bagaimanapun, pasangan ibu dan anak yang dimaksudkan, Sharifah Raishaton Syed Zakaria, 53, dan puterinya, Sharifah Ibadatun Syed Ali, 26, nyata mempunyai banyak persamaan dalam meneroka bidang perniagaan membabitkan wanita.

Kedua-duanya turut mengakui tidak mempunyai masalah dalam menghasilkan produk berasaskan herba dan rempah ratus serta tumbuh-tumbuhan yang diadun dan diproses secara manual di makmal mini milik mereka berdua.

Sharifah Raishaton yang terlebih dahulu terbabit dalam mengeluarkan produk kecantikan berasaskan herba tradisional dan memiliki salun kecantikan sejak lebih 10 tahun lalu tidak pernah lokek menurunkan pelbagai ilmu kepada anaknya yang ketika itu bergelut dengan pengajian dalam bidang rekaan fesyen di sebuah kolej swasta.

Hasilnya, daripada bercita-cita menjadi pereka fesyen, anak kedua daripada tiga beradik itu mula beralih arah ke bidang kecantikan, malah semakin aktif memproses dan mempromosikan sabun buatan tangan keluaran syarikat ibunya bermula tahun lalu.

“Saya teruja dan terharu apabila ibu begitu yakin dengan kemampuan saya dan menyerahkan semua kerjanya kepada saya tanpa ragu.

“Sabun buatan tangan ini ibarat kita memasak lauk untuk keluarga. Gabungan bahan dan sukatan perlu tepat untuk menghasilkan produk berkualiti dan mesra pelanggan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Indera Mahkota 5, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Sharifah Ibadatun berkata, tanpa menggunakan bahan kimia, sabun keluaran syarikat ibunya, Kak Chah Beauty and Spa itu mampu bertahan lama tanpa menjejaskan kualitinya.

“Barangan buatan sendiri ini mempunyai nilainya yang tersendiri dan bukan semua orang mampu membuatnya jika tidak disertai kesungguhan dan ketekunan serta minat yang mendalam,” kata pemegang Diploma Seni Rekaan Fesyen, Kolej Shahputra, Kuantan itu.

Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang kecantikan secara formal, Sharifah Ibadatun tidak menganggapnya sebagai satu kekurangan, malah bijak menggunakan akal ibunya yang diterjemahkan pula dalam bentuk realiti.

“Apa yang ibu ajar terutama dari segi formula, bahan mentah, sukatan saya perdalamkan lagi dan mengolahnya dengan tambahan ilmu menerusi bahan bacaan yang akhirnya menjadi produk saya sendiri.

“Saya berpendirian untuk menghasilkan produk berkualiti dan berdaya saing, kita perlu berani mencabar diri dan tidak terkesan dengan pelbagai produk yang sudah terkenal di pasaran,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad itu.

Tindak balas sesuai ikut kulit muka

Dalam menghasilkan sabun pencuci muka itu, Sharifah Ibadatun menggunakan campuran minyak zaitun, minyak kelapa dan minyak kelapa sawit sebagai bahan asas sebelum dicampur dengan minyak badam dan minyak jojoba, mentega shea dan ‘lye’ serta campuran herba dan bahan sampingan seperti lemon, timun, arang dan susu kambing mengikut kategori kulit bermasalah.


“Saya pastikan setiap jenis sabun yang dihasilkan mempunyai tindak balas sesuai dengan kulit muka bermasalah seperti kering, kusam, jerawat dan jeragat terutama untuk wanita pertengahan usia,” katanya.

Selepas memperoleh adunan dan sukatan yang tepat, bahan itu dicampurkan mengikut keutamaan dan disebatikan terlebih dahulu ke dalam bekas dan dibekukan dalam tempoh 24 jam.

Menurutnya, tempoh untuk menstabilkan kemampatan serta proses pengeringan memerlukan sekurang-kurangnya 45 hari.

“Dalam tempoh itu sabun dijemur, tetapi diletakkan di tempat terlindung daripada pancaran matahari secara terus sebelum dibungkus dengan plastik lut sinar,” katanya.

Antara sabun pencuci muka yang dikeluarkan ialah sabun arang, sabun rumpai laut dan sabun susu kambing.

Selain sabun pencuci muka, pasangan anak beranak itu juga menghasilkan sabun mandian pati bunga yang memerlukan campuran 44 jenis bunga hidup dan kayu gaharu yang direndam selama tujuh hari.

Menurutnya, antara bunga yang digunakan ialah melur, kenanga, orkid, ilang-ilang, teh hijau, jasmin dan mawar.

“Bunga ini kemudiannya dicampur dengan minyak aromaterapi bunga lavender, garam kristal dan pudina untuk menjadikannya lebih wangi dan berangin.

“Ia kemudiannya disebatikan dan disimpan selama 40 hari sebelum diproses menjadi sabun,” katanya.

Sharifah Ibadatun berkata, sabun pati bunga itu boleh membawa kesegaran bahagian dalaman tubuh yang secara tidak langsung menaikkan seri wajah manakala campuran kayu gaharu dan garam kristal pula berkemampuan menolak energi negatif dalam tubuh kita.

Perlu ilmu berniaga

Sementara itu, Sharifah Raishaton yang mesra dengan panggilan Chah tidak menafikan dunia perniagaan terlalu banyak cabaran, jika tidak mempunyai ilmu berniaga dan semangat yang kental pasti akan kecundang sebelum waktunya.

Bijak menangani setiap permasalahan yang mendatang, Sharifah tidak menganggap semuanya sebagai halangan, tetapi ilmu baru untuk diberi penambahbaikan.

“Alhamdulillah, bermula dengan rawatan kecantikan berasaskan herba tradisional kini saya berjaya mengeluarkan produk sabun buatan tangan yang diuruskan Ibadatun sendiri,” kata pemegang Sijil Juru Kecantikan (solekan) Pusat Latihan Belia Negara, Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 1983 mengakhiri perbualan selama tiga jam itu.

Selain itu, Sharifah juga berkebolehan menghasilkan minyak aromaterapi dan pernah mengeluarkan produk aromaterapi pelbagai bau yang menyegarkan.

“Saya sedia berkongsi kepakaran dengan mereka yang berminat dalam penghasilan minyak aromaterapi daripada campuran pelbagai ekstrak bunga-bungaan terpilih,” katanya.

Sumber: myMetro