Tiny Station Boutique Homestay

Perjalanan ke Meru, Klang yang mengambil masa kira-kira 40 minit dari ibu negara membawa kru Jurnal ke Tiny Station Boutique Homestay. Daripada luar, inap desa itu kelihatan seperti sebuah kotej Inggeris menerusi paduan warna putih dan hitam yang diketengahkan.


Pemiliknya yang hanya mahu dikenali sebagai Faezah, 30, berkata, inap desa itu sebenarnya rumah milik keluarga yang sebelum ini disewakan.

“Selepas rumah ini siap dibina sekitar tahun 2008, ia disewa selama hampir lapan tahun sehinggalah penyewa terakhir keluar pada September tahun lalu.

“Melihatkan kos membaik pulih memakan belanja besar, saya bercadang untuk jadikan ia inap desa,” katanya.

Melangkah ke dalam premis yang mula beroperasi sejak 15 Januari lalu itu, kru Jurnal dijamu dengan suasana kediaman yang selesa dan menenangkan.

Ruang tamu dihias dengan dekorasi ringkas tanpa kelihatan terlalu sarat. Limpahan cat putih yang mewarnai hampir keseluruhan bahagian dalam rumah pula memberi efek ruang yang lebih luas dan bersih.

“Saya cuba mencipta feature wall menerusi binaan para di sudut dinding. Bagi menjimatkan ruang, saya tidak meletakkan terlalu banyak sofa, cukup sekadar kerusi dua tempat duduk, bean bag dan bantal,” kata Faezah.

Di salah satu bahagian dinding ruang tamu, kru Jurnal tertarik melihat salah satu binaan para-para yang menggunakan tali pinggang sebagai penahan struktur papan.

“Saya menggunakan empat utas tali pinggang kulit kepunyaan ayah. Struktur ini bukan sahaja kuat tetapi turut memberi nilai estetika tersendiri dalam dekorasi,” tambahnya.


Tali pinggang

Ruang makan juga tidak dilupakan dan diberi sentuhan warna hitam dan merah bagi menyuntik kontras. Dari segi pencahayaan, pemilik menyuntik elemen eksklusif menerusi penggunaan candelier.

Beralih ke bahagian dapur, warna hijau cair, coklat dan putih mendominasi ruang menjadikan ia kelihatan luas serta kemas. Ruang itu turut menjalani transformasi wajah selepas diberi sentuhan dekorasi berkonsepkan Do-It-Yourself (DIY).

Pemilik mengubah landskap dapur asal dengan menambah binaan para kayu pada bahagian dinding, selain memasang pintu daripada kayu palet terpakai di kaunter dapur.

Gantungan lampu dan meja paras pinggang bertindak sebagai pembahagi ruang, sekali gus membantu memisahkan bahagian dapur dengan ruang makan.

Dari segi penginapan, Tiny Station Boutique Homestay yang berkeluasan sekitar 83.6 meter persegi menawarkan tiga jenis bilik iaitu The Dock, The Sahara dan The Attic dengan tiga tema dekorasi berbeza.

Di bilik The Dock yang bertemakan nautika, pemilik bijak memanfaatkan ruang yang ada dengan meletak perhiasan seperti replika kapal layar dan tin hiasan sehingga membuatkan kru Jurnal berasa seakan berada dalam dek kapal.

Kreativiti pemilik terus dapat dilihat menerusi penggunaan kayu palet terpakai yang diubah suai menjadi kepala katil. Ditambah langsir dalam corak jalur biru dan putih serta susunan bantal rona sedondon, elemen nautika yang diketengahkan pasti mencuri tumpuan.


Tali sauh

Perincian seperti lampu mentol bertali sauh dan pengikat langsir daripada tali jenis sama menyerlahkan gaya berkenaan.

Beralih ke Sahara Room, pengunjung akan berasa seolah-olah dibawa ke padang pasir di Afrika. Padanan warna-warna panas seperti jingga, merah dan fuschia membangkit mood tersendiri.

Ornamen ringkas seperti kain sari, kaki lilin dan kotak aksesori berlabuci pula terus membangkitkan aura.

Kelainan turut dapat dilihat pada ‘meja sisi’ yang diolah daripada beg bagasi vintaj.

“Ibu saya terjumpa beg ini secara tidak sengaja di sebuah tempat barang terbuang. Melihatkan keadaannya masih elok, dia membawa beg ini pulang ke rumah.

“Masih mengekalkan warna dan ciri-ciri vintaj, kami sepakat untuk jadikan ia meja sisi hanya dengan menambah kaki meja,” cerita Faezah.

Menaiki anak tangga ke ruang loteng, kru Jurnal tertarik melihat gantungan tali-tali sauh yang berfungsi sebagai rel tangga.


“Saya sengaja tidak memasang pemegang tangga kerana khuatir ia akan menyukarkan barang dibawa turun dan naik memandangkan ruang tangga ini agak sempit. Sebagai menggantikan fungsi itu, saya menggunakan tali sauh bagi mencipta kelainan,” tambahnya.

Di The Attic, dekorasi bilik lebih feminin dengan pemilihan perabot bermotif flora dan berona lembut. Sebuah sudut diberi sentuh santai menerusi penggunaan sofa dalam corak checkered rona merah dan putih.

“Selain menjadi titik tumpu ruang, ia juga memiliki nilai sentimental tersendiri kerana sofa milik arwah datuk berusia lebih 100 tahun,” ujarnya.

Sumber: Kosmo! Online