Gerai Mikhuza Takoyaki dan Sushi

Hanya dijual di gerai kecil di tepi jalan namun ramai yang sanggup beratur panjang, malah menunggu sehingga sejam untuk mendapatkan sushi dan takoyaki yang dijual di Jalan Khamis, Meru, Klang.


Pengusaha gerai Mikhuza Takoyaki dan Sushi, Nurkhuzaimah A Zambi atau lebih mesra disapa Khuza, 27, berkata, lebih empat tahun dia menjual makanan Jepun berkenaan.

“Pada awalnya, saya mencuba masak makanan Jepun di rumah kerana harga sushi di restoran mahal.

“Hanya berpandukan YouTube dan resipi di Internet, saya cuba menghasilkan sushi dan takoyaki dan daripada itu tercetus idea membuka gerai makanan berkenaan,” katanya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai pegawai eksekutif di sebuah syarikat kontraktor di Petaling Jaya.

Menurut Khuza, dia sanggup mengambil keputusan berhenti kerja demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan makanan itu.

“Selama empat tahun saya berniaga sambilan pada setiap petang di tepi masjid kampung ini. Bagaimanapun, pada tahun lalu saya mengambil keputusan menjadikan bisnes itu karier baru saya.

“Saya bertukar bidang menjadi chef dengan menyediakan lebih 1,500 biji pelbagai sushi yang dihasilkan daripada 20 kilogram beras sushi setiap hari,” kata gadis kacukan Jawa yang mempunyai kelulusan kejuruteraan awam ini.


Khuza mengakui setiap pagi dia bangun seawal jam 4 pagi untuk menyediakan sushi.

“Bermula dari jam 4 pagi hingga 12 tengah hari, saya dengan bantuan keluarga menyediakan sushi untuk dijual jam 4.30 petang setiap hari kecuali Khamis.

“Bagaimanapun, kebiasaannya jam 5 petang, kebanyakan sushi habis dijual dan hanya takoyaki saja masih ada,” katanya.

Menurut Khuza, antara sushi yang boleh didapati di gerainya adalah abiko, tamago, inari, chukadako, kanimayo dan tuna yang berharga RM5 hingga RM10 untuk setiap set manakala takoyaki mempunyai pelbagai perisa seperti daging, ayam, sotong dan ketam dijual dengan harga RM5 setiap set.

Sumber: myMetro