Penternakan Baka Lembu Kelas A

Ketika orang lain menjadikan hartanah atau saham sebagai aset, seorang warga emas dari Kampung Telaga Mengkudu, Marang, Terengganu membeli, menternak dan membiakkan pelbagai jenis baka lembu kelas A termasuk Charolais, Sapi Limousin dan Brahman untuk masa depannya.


Biarpun terpaksa berbelanja lebih RM600 sebulan bagi menyediakan makanan tambahan seperti palet untuk lapan lembu peliharaannya, ia tidak memberikan masalah kepada Muhammad Abdullah, 75, kerana lembu ternakannya boleh dijual dengan harga RM8,000 hingga RM10,000 seekor bergantung kepada saiz.

Muhammad berkata, sejak berusia 10 tahun dia menternak lembu bersama arwah bapanya, Abdullah Ibrahim dan sehingga kini tidak pernah berhenti memelihara lembu.

“Sebelum ini kami menternak lembu tenusu kerana arwah bapa menjual susu lembu tapi selepas proses pemanian beradas diperkenalkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), kami beralih kepada penternakan lembu pelbagai jenis baka.

“Saya puas apabila melihat lembu peliharaan membesar dan gemuk. Sebab itu saya tidak kira sangat kos yang perlu ditanggung bagi menternak lembu jenis baka Charolais, Sapi Limousin dan Brahman.

“Sebanyak lima Charolais berusia setahun hingga dua tahun kini seberat 400 hingga 500 kilogram (kg) sedia untuk dibeli penternak lain, namun saya enggan menjualnya kerana ingin menggemukkannya lagi sehingga mencecah 600kg ke atas,” katanya.

Katanya, selain memberi palet berharga RM33 hingga RM47 untuk 50kg, dia juga mempelbagai jenis makanan termasuk beberapa jenis rumput berkhasiat termasuk napier.

“Lembu akan lebih gemuk jika penternak mempelbagaikan makanan kerana sifat semulajadi haiwan memang mudah muak jika hanya diberi sejenis makanan.

“Diet lembu antara yang paling penting bagi menjamin kesihatan serta kelancaran proses pembiakkannya,” katanya.

Menurutnya, pada akhir 70-an dia memelihara lebih 30 ekor lembu jenis Brahman dan mengamalkan proses pembiakan lembu secara semula jadi tapi kini membiakkan lembu pelbagai jenis baka itu menggunakan teknik pemanian beradas dengan kos RM60 hingga RM80 bergantung jenis baka.

“Seronok apabila melihat lembu dipelihara sihat dan membesar. Aspek kesihatan haiwan perlu dititikberatkan bagi mengelak ternakan dijangkiti penyakit yang boleh menyebabkan kematian.

“Lembu saya pernah dijangkiti penyakit kuku dan mulut, namun tindakan cepat yang dijalankan JPV berjaya menyelamatkan ternakan daripada mati akibat penyakit berjangkit itu,” katanya.

Muhammad berkata, penternakan lembu banyak membantunya menyara pendidikan untuk 10 anaknya yang kini berusia 31 hingga 54 tahun.

“Pendapatan saya sebagai tukang sapu di sekolah hanya RM800 sebulan. Hasil jualan lembu banyak menampung kos pembelanjaan pembelajaran lapan anak yang semuanya berjaya ke universiti.

“Saya akan menjual lembu mengikut harga pasaran apabila perlukan wang untuk membayar yuran universiti atau membeli keperluan pembelajaran anak-anak.

“Kini anak sudah ada kerja yang baik iaitu lima guru, seorang doktor dan selebihnya berkhidmat di sektor swasta dengan pelbagai jawatan,” katanya.

 
Katanya, masyarakat melihat bidang penternakan tidak menjana pendapatan, namun hakikatnya ia menguntungkan jika dijalankan bersungguh-sungguh mengikut disiplin sepatutnya.

“Saya anggarkan aset keseluruhan penternakan saya melebihi RM80,000 dan ia memang pelaburan yang tidak merugikan, sebaliknya menjana pendapatan tambahan, selain hobi pada waktu lapang itu juga mendatangkan hasil lumayan,” katanya.

Sumber: myMetro