Pertukangan Rumah Tradisional Dania Woodfcraft

Tangannya cekap mencapai satu persatu potongan kayu sebesar lengan di sisinya. Terdapat juga kayu bersaiz lebih besar disusun berlapis-lapis secara vertikel di bawah meja kerjanya yang berketinggian separas pinggang.


Kayu tersebut kemudiannya dilarik menggunakan mesin sehingga menjadi licin dan membentuk gegelung-gegelung garisan dengan olahan coraknya mengikut kreativiti sang pengukir.

Ukiran kayu larik yang hanya mengambil masa kurang lima minit itu biasanya banyak digunakan pada bahagian tangga, tingkap, serambi dan pagar rumah kayu tradisional.

Walaupun hanya mewakili bahagian kecil dalam komponen rumah, ia adalah antara bahagian yang penting dalam seni pertukangan rumah tradisional.

Dalam hal ini, tumpuan dan ketelitian tukang sangat diperlukan bagi menghasilkan ukuran dan sudut yang tepat tanpa cacat cela.

Pengasas Dania Woodfcraft, Adnan Abdul Manaf menjelaskan, pembuatan rumah kayu tradisional mempunyai proses yang panjang berbanding rumah diperbuat daripada batu.

Berpengalaman menyediakan perkhidmatan membina rumah kayu tradisional pasang siap tanpa menggunakan paku sejak tahun 2010, Adnan, 45, berpendapat, penggunaan peralatan moden banyak membantu tukang rumah dalam menyiapkan kerja-kerja mereka.

“Rumah kayu tradisional sepatutnya tidak memerlukan paku kerana ia mempunyai sistem tanggam. Tanpa paku, kayu tidak akan rosak dan lebih fleksibel.

“Jenis tanggam berbeza seperti tanggam tembus, tanggam sambung lekap, tanggam rencong, tanggam tetingkat dan tanggap pemidang digunakan untuk menghubungkan sendi-sendi serta tiang rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di bengkelnya yang terletak di Kampung Jeram, Perak.

Konsep rumah pasang siap di Dania Woodcraft ialah pelanggan akan ke bengkelnya dan mencadangkan reka bentuk dan jenis kayu yang diingini.

Komponen rumah kayu pasang siap boleh dileraikan dan diangkut dengan lori. Ia kemudiannya dipasang di lokasi yang ditetapkan pelanggan.

Biasanya proses memasang rumah kayu yang sudah siap mengambil masa beberapa hari dengan sekurang-kurangnya lima tukang akan terlibat dalam pembikinan sesebuah rumah kayu.

“Kami menggunakan kayu balak jenis cengal balau, kempas, keruing dan resak. Ia jenis kayu keras yang tahan lama. Anai-anai pun tak nak makan.

“Biasanya kami menggunakan kayu terpakai. Kayu baharu pun ada. Ada yang kami peroleh dari Sabah dan Sarawak selain sekitar Semenanjung.

“Sebenarnya lagi lama usia kayu lagu bagus. Usia kayu dapat dikenal pasti melalui ira atau serat kayu, Hanya kayu berusia 30 tahun ke atas digunakan,” katanya yang turut menerima tempahan membuat rumah tradisional Perak atau dikenali sebagai rumah Kutai.

Pernah menjadi guru selama 13 tahun, Adnan berpegang kepada prinsip bahawa semua golongan berhak memiliki rumah kayu memandangkan ramai menganggap kos membuat rumah kayu sangat mahal.

Baginya, rumah kayu adalah warisan dan identiti bangsa. Bengkelnya sendiri pernah membuat rumah kayu untuk seorang pelanggan dengan kos kira-kira RM50,000 tetapi menggunakan kayu berkualiti.


Matahari terbit

“Bila kami buat rumah, kami anggap ia seperti rumah sendiri. Mahal atau murah adalah subjektif bergantung kepada kemampuan dan cita rasa masing-masing.

“Begitupun, bajet terbaik sekitar RM150,000 hingga RM200,000 kerana ia mengambil masa antara tiga hingga enam bulan juga untuk disiapkan,” ujarnya.

Sementara itu, pereka bentuk rumah tradisional, Nasharuddin Mohd. Sani, 41, rumah yang dibina mesti menghadap matahari terbit. Tujuannya supaya ia kurang panas apabila menjelang malam di samping kebiasaan orang dahulu yang mengamalkan bangun pada awal pagi.

Tambahnya, tangga rumah Melayu biasanya bernombor ganjil dan disusun rapat-rapat. Ia bertujuan supaya memudahkan golongan wanita untuk mengatur langkah sopan dan tertib.

Turut mempunyai kepakaran membuat pelan rumah kutai, beliau berpendapat, adakalanya perubahan dari segi material dan elemen rumah tradisional perlu dilakukan supaya dapat disesuaikan dengan zaman.

Model rumah kutai asal yang hanya mempunyai satu bilik boleh ditambah baik menggunakan atap genting bagi menggantikan atap rumbia kerana ia lebih mudah didapati selain berkualiti.

“Rumah orang dahulu juga mempunyai loteng. Ia digunakan untuk menyimpan padi. Ciri-ciri seperti ini boleh ditiadakan kerana ia lebih realistik

“Nenek moyang kita dahulu berfikiran panjang. Rumah dibina tinggi bagi mengelakkan ditenggelami banjir dan untuk tujuan keselamatan.

“Selain itu, binaan rumah kayu yang baik biasanya kurang bersawang. Tali angin dan lubang-lubang ukiran seperti ukuran tebuk tembus dapat membantu aliran pengudaraan,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, Khabibullah Sholihin, 37, berkata, selama 15 tahun terlibat dalam pertukangan rumah kayu, beliau merasakan jiwanya lebih puas dapat mempertahankan kehalusan seni rumah tradisional yang diwarisi turun temurun.

“Hari ini, tidak ramai yang mampu menguasai kemahiran membuat ukiran-ukiran pucuk rebung dan bunga raya pada bumbung. Setiap lekuk rumah kayu ada seni dan tujuannya. Perlu banyak bersabar kerana setiap jenis kayu ada ‘perangai’ tersendiri.

Namun, dalam mempertahankan legasi seni bina rumah kayu tradisional, dia percaya ada beberapa amalan perlu ditinggalkan selaras peredaran zaman.

“Falsafah rumah kayu sangat tinggi. Kekuatannya terletak pada tiang seri dan tiang-tiangnya. Saya teringat cerita tukang-tukang generasi terdahulu, jika tiang tapak asas rumah didirikan tuan rumah akan mengadakan kenduri. Akan ada juga siri kenduri yang berikutnya sehinggalah rumah siap dibina.


“Selain itu, meletakkan sekeping duit syiling di bawah tiang seri juga menjadi amalan. Tahun duit syiling itu dibuat mesti sama dengan tahun rumah itu didirikan. Uniknya, kita hanya akan tahu tahun rumah itu dibina bila ia dipunggah ataupun selepas roboh,” tuturnya.

Sementara itu, Sallehudin Zainan, 42, melahirkan rasa bangga kerana dapat menerapkan binaan beranda tradisional pada rumah teresnya yang terletak di Ipoh, Perak sejak 2013.

Dia menganggap ia sebagai satu usaha memelihara identiti seni bina Melayu klasik yang mampu dilakukannya dalam suasana kediaman di tengah-tengah bandar yang pesat membangun.

“Tetamu yang berkunjung selesa bersantai di anjung tersebut. Lantainya sejuk. Perasaannya seolah berada dalam suasana kampung dulu-dulu dan begitu sentimental buat kami sekeluarga.

“Saya juga mendapati semakin lama terdedah kepada panas dan hujan, kayu yang menjadi asas binaan menjadi bertambah keras dan kuat.

“Kerana keunikan itu rumah saya mudah dikenali dan orang juga lebih mengenali saya dengan panggilan Cikgu Salehuddin rumah kayu,” ujarnya sambil ketawa.

Sumber: Kosmo! Online