Program Pertanian Bandar MOA

Menjelang tahun 2020, kadar penduduk bandar di Malaysia dijangka meningkat kepada 75 peratus berbanding 65.4 peratus pada 2000.


Kadar perbandaran di Malaysia berada pada kadar 2.4 peratus setahun dari 2010 hingga 2015 dengan 72 peratus penduduk bandar di Malaysia menetap di 20 bandar utama.

Kepesatan perbandaran ini mengakibatkan kesukaran mendapatkan bekalan bahan makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengambil inisiatif memperkenalkan Program Pertanian Bandar sebagai inisiatif membolehkan penduduk bandar mengusahakan tanaman untuk makanan secara kecil-kecilan di kawasan kediaman masing-masing.

Peranan mengeluarkan bahan makanan menjadi makin penting bukan sahaja kepada peladang, penternak dan nelayan, malah meliputi segenap peringkat masyarakat sama ada di kampung, bandar atau pinggir bandar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pertanian bandar didefinisikan sebagai aktiviti menghasil, memproses serta memasarkan makanan dan produk pertanian di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Beliau berkata, aktiviti ini mengguna pakai kaedah pengeluaran intensif serta menggunakan semula sumber asli dan sisa buangan bandar untuk menghasilkan kepelbagaian tanaman dan ternakan.

“Secara khususnya, matlamat program pertanian bandar untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan khususnya daripada aktiviti pertanian oleh penduduk di bandar dan pinggir bandar bagi memenuhi keperluan sendiri dan negara.

“Mengurangkan impak akibat peningkatan kos sara hidup melalui penjanaan hasil pertanian dan bahan makanan secara sendiri dan untuk kegunaan sendiri.

“Mengurangkan defisit perbelanjaan negara yang diakibatkan pengimportan bahan makanan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Program Pertanian Bandar di Kampung Lindungan PJS 6/4E Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek, Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kelana Jaya Datuk Yusoff HM Haniff dan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Kampung Lindungan Mohamed Abd Rahman.

Program komuniti ini mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 600 penduduk membabitkan blok 1 hingga blok 8 turut hadir.

Ahmad Shabery berkata, program itu dapat memanfaatkan secara maksimum ruang kosong di sekeliling rumah, pejabat dan seumpamanya dengan projek yang mendatangkan hasil.

“Ia dapat mendatangkan pendapatan sampingan apabila lebihan hasil tanaman dapat dijual. Sejak program pertanian bandar dilaksanakan pada September 2014 hingga Mac 2016, seramai 38,506 peserta di seluruh negara membabitkan 1,634 lokasi projek dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Selangor melaksanakan 115 projek pertanian bandar membabitkan seramai 4,561 peserta iaitu bilangan peserta kedua tertinggi selepas Perak.


“Daripada jumlah itu, seramai 2,673 warga sekolah (47 sekolah) diikuti 837 penduduk bandar dari 34 lokasi adalah peserta individu dengan seramai 675 orang warga kerja institusi/pejabat dan swasta (17 premis pejabat) dan seterusnya seramai 376 penduduk kawasan perumahan dari 17 kawasan komuniti,” katanya.

Menurutnya, aktiviti pertanian bandar di bawah Jabatan Pertanian membabitkan empat kategori iaitu kawasan perumahan individu, perumahan komuniti, sekolah dan institusi/pejabat/swasta.

“Semua aktiviti ini bertujuan membantu penduduk bandar dan pinggir bandar mengeluarkan sendiri bahan makanan berkualiti dan selamat dimakan selain mengindahkan landskap kawasan kediaman mereka.

“Jabatan Pertanian akan memberikan khidmat nasihat, bimbingan serta insentif seperti bahan input pertanian seperti biji benih, baja dan peralatan kecil,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, program pertanian bandar satu perancangan dan tindakan yang tepat untuk merealisasikan hasrat kerajaan mengurangkan beban sara hidup penduduk bandar.

“Ia bagi menangani cabaran kenaikan kos sara hidup terutama harga bahan makanan seharian.

“Program ini akan dapat menggalakkan semangat perpaduan dan kejiranan terutama di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia serta menyumbang ke arah kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya pertandingan pertanian bandar bagi komuniti bercucuk tanam di kawasan bandar dan pemenang bagi pertandingan ini akan diumumkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 pada 24 November hingga 4 Disember ini.

Sumber: myMetro