Buku Aku Budak Dekan

Peluang melangkah ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta di negara ini merupakan impian keemasan yang sukar dilepaskan.


Tidak hairanlah, rata-rata mahasiswa baharu yang mendaftar lazimnya bersemangat dan meletakkan sasaran untuk menamatkan pengajian dengan jayanya.

Bagaimanapun, tidak ramai yang menyedari suasana pembelajaran di IPT sangat mencabar dan berbeza berbanding ketika di alam persekolahan.

Selain perlu lebih banyak berdikari dan tanpa kawalan keluarga, mahasiswa juga terdedah kepada pelbagai permasalahan seperti pengaruh rakan sebaya serta masalah peribadi yang boleh melunturkan motivasi untuk belajar.

Tanpa kekuatan mental dan fizikal secukupnya, kemungkinan mahasiswa terbabit terpaksa menangguh atau menamatkan pengajian lebih awal.

Hakikat itu mendorong empat sahabat, Azlan Wildan, Hanan Othman, Farah Ruslin dan Sharifah A. Samad menghasilkan buku Aku Budak Dekan yang diterbitkan sejak Mac tahun ini.

Menurut Azlan atau nama sebenarnya Dr. Muhammad Noorazlan Abdul Aziz, 26, buku itu merupakan panduan terbaik buat mahasiswa khususnya yang baru melangkah ke IPT.

Katanya, Aku Budak Dekan dihasilkan berdasarkan pengalaman sebenar dia dan rakan-rakannya itu dalam mengharungi kehidupan sebagai mahasiswa.

“Buku ini mengupas beberapa teknik pembelajaran yang menarik dan teratur bagi membantu mahasiswa menyusun strategi dalam menuntut ilmu.

“Selain itu, ia turut memberi panduan kepada mereka untuk menjadi aktivis dakwah yang berjaya, mengimbangi tanggungjawab di dunia dan akhirat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur.

Tambah Azlan, keempat-empat mereka yang sebelum ini bernaung dengan Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) menulis buku itu kerana tidak banyak buku motivasi yang diterbitkan khusus buat mahasiswa IPT.


Risiko terkandas

“Kebanyakan buku seumpamanya yang berada di pasaran menjurus kepada pelajar sekolah, sedangkan alam kolej dan universiti menjanjikan cabaran yang lebih getir.

“Ini kerana, di sekolah pelajar lazimnya ‘disuapkan’ oleh guru-guru untuk mencipta kejayaan, namun apabila memasuki IPT, kejayaan seseorang itu bergantung pada diri sendiri.

“Sebab itu, kekuatan mental dan fizikal sangat diperlukan pada peringkat ini untuk memastikan mereka sentiasa fokus sepanjang pengajian atau berdepan risiko terkandas di separuh jalan,” ujarnya.

Menurutnya, Aku Budak Dekan juga merupakan perkongsian dia dan rakan-rakannya yang mempunyai perbezaan dari segi pengalaman hidup dan latar belakang pendidikan.

“Kami juga sedang dan pernah melalui proses yang sama sebelum ini dan berpeluang melihat segala permasalahan yang berlaku di sekeliling.

“Sebab itu, buku ini sangat dekat dengan kehidupan seseorang mahasiswa kerana kisah-kisah yang dipaparkan adalah berdasarkan realiti sebenar,” katanya.

Jelas Azlan lagi, di dalam buku itu, dia menulis mengenai beberapa subtopik seperti niat dan hala tuju menjadi mahasiswa.

“Ia merupakan perkara asas yang perlu ditekankan di dalam diri setiap mahasiswa kerana tanpa kedua-dua elemen itu, mereka mudah terpesong daripada matlamat asal.

“Mereka yang memasuki IPT merupakan insan-insan yang terpilih dan peluang itu seharusnya digunakan sebaik mungkin dalam menentukan karier seseorang mahasiswa selepas menamatkan pengajian kelak.

“Selain itu, saya turut menekankan bagaimana untuk belajar dalam suasana yang kondusif, disiplin dan istiqamah serta perancangan dan strategi untuk mencapai kejayaan yang diimpikan,” ujarnya.

Sumber: Kosmo! Online