Indra Indri Albis Design - Fesyen Bandung Indonesia

Industri fesyen Islamik Indonesia telah berkembang ke arah membentuk identiti sebagai kiblat busana Muslim dan Muslimah yang lebih bergaya serta mematuhi garis panduan syariah.


Jenama fesyen dari Bandung, Indonesia, Indra Indri Albis Design tampil dengan koleksi terbaharu, Mojang Bandung menerusi kolaborasi bersama empat jenama lain dalam program pertunjukan fesyen Product Bandung Local Brand Go International di Anggerik Mall Shah Alam, Selangor pada 5 Oktober lalu.

Menampilkan isteri vokalis band popular dari Indonesia, Pasha Ungu, Adelia Wilhelmina sebagai duta promosi, perekanya Indri Albis memberitahu, koleksi Mojang Bandung merupakan lambang busana wanita Bandung yang berakhlak dan berperibadi baik.

“Indra Indri Albis Design merupakan label pakaian Muslim dan Muslimah yang telah bertapak sejak 16 tahun lalu. Kami mengetengahkan pakaian dengan perincian sulaman tangan yang eksklusif untuk setiap busana.

“Melalui program Product Bandung Local Brand Go International pada tahun ini, kami ingin melebarkan empayar fesyen Indra Indri Albis Design di Malaysia, sekali gus memperkenalkan rangkaian produk Islamik dari Bandung,” katanya.

Indra Indri Albis Design: Instagram | Facebook | Laman web

Menampilkan enam persalinan lelaki dan wanita, setiap pakaian dihasilkan sendiri oleh pereka bermula dengan rekaan, pemilihan fabrik dan sulaman.

Mengetengahkan penggunaan fabrik sutera, kapas dan kain jacquard seperti embos serta beludru, setiap persalinan Indra Indri Albis Design direka sesuai trend fesyen semasa.


Indri menjelaskan, koleksi kali ini merupakan rangkaian pakaian eksklusif daripada jenamanya.

Penggunaan fabrik sutera untuk koleksi kali ini banyak bermain dengan sutera maxmara dan satin manakala gabungan kain kapas pula adalah praktikal untuk pemakaian harian, selesa serta tidak panas.

Malah, pemilihan rona warna yang lebih cerah menampilkan sisi berani si pemakai, sekali gus menonjolkan lagi motif sulaman tangan yang terdapat pada setiap busana wanita dan lelaki.

“Perincian sulaman tangan adalah signatur kepada rekaan kami. Setiap motif sulaman biasanya akan diilhamkan mengikut lokasi negara yang bakal dikunjungi untuk pertunjukan fesyen Indra Indri Albis Design.

“Kami mahu menjadikan sulaman sebagai hiasan busana yang masih relevan dan setiap kali koleksi dikeluarkan setiap perincian akan dihasilkan mengikut aliran fesyen semasa,” jelasnya.

Sumber: Kosmo! Online