Khemah Solar Mudah Alih

Bencana bah kuning melanda negeri Kelantan meninggalkan memori yang sukar dilupakan buat mangsa dan pihak terlibat biarpun hampir dua tahun peristiwa itu berlalu.


Tiga hari sebelum kejadian, Nur Farhana Mhd. Hassan, 27, penuntut tahun akhir Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) pulang ke kampungnya di Wakaf Baru sempena cuti semester.

Walaupun kawasan kediamannya tidak terjejas akibat banjir, namun kebanyakan jalan ditenggalami air, sekali gus menyebabkan dia sekeluarga sukar bergerak dan terpaksa berlindung di rumah.

Begitupun, nasib mereka sekeluarga lebih baik berbanding penduduk di kebanyakan kawasan seperti Kuala Krai dan Gua Musang yang terputus bekalan makanan dan air bersih, malah ada yang kehilangan tempat tinggal.

Dari situlah timbul ilham Nur Farhana untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dengan mencipta Khemah Solar Mudah Alih sesuai dengan kemahirannya dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Elektrik.

“Saya dapati berlaku gangguan bekalan elektrik di kawasan banjir disebabkan tiang elektrik ditenggelami air. Pusat penempatan banjir tidak terlepas dari menghadapi masalah ini.

“Selain itu, terdapat juga pencawang jana kuasa yang terpaksa dihentikan operasinya bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti renjatan elektrik,” katanya kepada Kosmo! di kampus UniKL BMI, Gombak.

Nur Farhana telah menamatkan pengajian di UniKL BMI tahun lalu dan berkhidmat dengan sebuah syarikat telekomunikasi di Petaling Jaya, Selangor.

Jelasnya inovasi rekaannya boleh menjana kuasa elektrik daripada cahaya matahari dan dapat bertahan antara empat hingga lapan jam dengan janaan tenaga maksimum sebanyak 1,000 watt.

Dia menjelaskan, jumlah kuasa tersebut bersamaan dengan jumlah kuasa yang diperlukan untuk memasak nasi menggunakan periuk elektrik. Manakala gajet seperti telefon bimbit pula hanya memerlukan dua hingga lima watt bekalan kuasa.

Komponen utama Khemah Solar Mudah Alih itu terdiri daripada panel solar yang dipasang merintangi atas khemah dan disambungkan kepada wayar yang menghubungkan sistem inverter atau penyongsang arus elektrik.

“Fungsi inverter ialah menukar arus ulang-alik yang diperoleh dari tenaga solar kepada arus terus yang kemudiannya disalurkan kepada pengguna menerusi plag bersoket,” ujarnya.

Cahaya samar

Rakan penyelidiknya yang juga Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik UniKL BMI, Abdul Malik Mohd. Ali berkata, dalam ciptaan berasas solar, bekalan cahaya matahari menjadi faktor penentu mutlak sama ada ia boleh digunakan atau tidak.

“Sesetengah orang mungkin berasa ragu dengan keupayaan tenaga solar untuk beroperasi ketika hujan. Namun, sebenarnya inovasi sedemikian memerlukan cahaya untuk menjana tenaga bukannya haba.

“Dalam hal ini, ia tidak memerlukan panas terik. Cukup jika hari siang dan langit cerah. Namun, jika ia menerima cahaya maksimum, bateri dapat dicas penuh sepantas sejam sahaja.

“Sahaya samar minimum 100 lumen iaitu keadaan matahari antara pukul 8 hingga 9 pagi sudah cukup untuk menjana tenaga khemah mudah alih ini.

“Kami juga mencadangkan, ia dicas penuh sebelum diberi kepada mangsa banjir bersama kit bantuan peralatan lain. Ia bersifat lasak dan boleh dilempar dari helikopter,” katanya.

Tambahnya, pengguna boleh mengetahui had aras bateri dengan melihat lampu diod pemancar cahaya (LED) yang dipasang pada panel inverter sebagai petunjuk.

Menurutnya, plat solar panel bersifat fleksibel dan boleh digulung bersama khemah manakala sistem inverter boleh dibuka dan dipasang semula dan isi di dalam beg galas menjadikannya ia mudah dibawa seberat kira-kira dua kilogram.

Abdul Malik berkata, ia juga sesuai digunakan peminat sukan mendaki atau aktiviti perkhemahan yang memerlukan mereka berada lama di dalam hutan.

Sistem penapis air

Dalam pada itu, beliau sedang merancang melengkapkan khemah tersebut dengan sistem penapis air mini yang boleh memproses air banjir menjadi air bersih.

“Sistem penapis itu berkebolehan menghapus kuman seperti E.coli, menapis bahan bendasing dan membuang warna, rasa serta bau daripada air yang belum terawat.

“Penapis air itu dijangka siap tidak lama lagi. Ia juga akan menggunakan tenaga solar untuk beroperasi, manakala air yang diproses boleh terus diminum,” katanya.

Inovasi itu memenangi pingat perak bagi kategori Produk Perlindungan Alam Sekitar dan Tenaga Boleh Diperbaharui pada Pertandingan Penciptaan, Inovasi Teknologi dan Kejuruteraan Melalui Pameran (CiTEX) 2016 bulan lalu.

Walaupun masih berada pada peringkat prototaip, ia sudah dipatenkan dan sedia untuk dikomersialkan kepada pihak industri yang berminat.

Sementara itu, Dekan UniKL BMI, Prof. Madya. Dr. Mohd. Izhar A. Bakar berkata, pihaknya menyokong penuh usaha pembangunan teknologi berasas tenaga boleh diperbaharui terutamanya solar yang berpotensi untuk diketengahkan kepada industri.

Prospek cerah

“Jika kita boleh meningkatkan kebolehan sesuatu inovasi bagi menaikkan tahap kecekapan penuaian tenaga, tidak mustahil ia mempunyai prospek yang cerah dan boleh dimanfaatkan pihak industri secara meluas,” katanya.

Pihaknya turut menjalin kerjasama dengan pemain industri, Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari menerusi Pusat Kecekapan Tenaga yang ditubuhkan di universiti tersebut.

Kerjasama itu turut menjurus kepada rancangan penyelidikan dan pembangunan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga sesuai dengan keperluan teknologi semasa.

“Selain program diploma dan ijazah, kami turut menyediakan kursus jangka pendek dengan memberi penekanan kepada aspek kemahiran teknikal dan latihan amali bagi membolehkan pelajar mempraktikkan kemahiran yang dipelajari secara optimum.

“Pengisian program dan silibus yang dirangka disesuaikan mengikut keperluan industri bagi membantu pelajar mempersiapkan diri untuk melangkah jauh dalam bidang diceburi.

Sumber: Kosmo! Online